Apabila berbicara mengenai Ramadan, kita selalu diperagakan dengan berpuasa dalam konteks individu. Seorang indvidu muslim perlu berlapar, dahaga dan menjaga dirinya daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Namun sebenarnya, Ramadan juga mempunyai konteks umat yang perlu diperhalusi. Ramadan tidak sekadar membentuk individu untuk mempunyai kekuatan kerohanian yang tinggi, namun juga memacu keunggulan umat dalam konteks yang lebih luas.
Sebelum dibicarakan konteks keunggulan umat, siapakah umat yang dimaksudkan dalam Islam?
SIAPAKAH UMAT?
Umat adalah himpunan individu-individu dalam bentuk komuniti sosial yang mempunyai aspirasi yang sama. Dalam konteks Islam, umat Islam adalah mereka yang berkongsi aspirasi-iaitu cita-cita Islam yang sama. Mereka mengimani al-Quran dan al-Sunnah yang sama, dan cuba sedaya upaya untuk mengaplikasi ajaran tersebut dalam kehidupan.
Berkenaan ini, al-Rāghib al-Iṣfahānī (2021) menyatakan bahawa umat adalah kelompok manusia yang dikumpulkan atas sesuatu perkara sama ada agama, waktu atau tempat samada perkara tersebut ditentukan atau dipilih secara sukarela.
Umat mempunyai kehendak, yang dipandu oleh syariah serta dibimbing oleh ulamāʾ dan ilmuwan. Kehendak umat ini perlu diwujudkan, dipelihara dan dikembangkan melalui kewujudan al-khilāfah. Daripada kefahaman ini, mewujudkan institusi umat yang mempunyai kehendak serta cita-citanya sendiri adalah keperluan penting sebelum mewujudkan al-khilāfah. Kepimpinan yang baik datang daripada kewujudan umat yang kukuh, bersatu mempunyai kehendak merdeka yang selaras dengan syarak.
Apa kesan ketidak wujudan umat, atau umat itu wujud tetapi tidak kukuh dan tidak mempunyai agenda yang sama dan serupa?
Seperti apa yang berlaku dalam kes baru-baru ini melibatkan dakwaan penghinaan terhadap agama lain. Kita mengkritik perbuatan menghina ritual agama lain, tetapi dalam masa yang sama tindakan tegas perlu juga diambil terhadap mereka yang menghina simbol suci agama Islam. Tetapi, disebabkan umat yang berpecah serta suara yang tidak senada menyebabkan mereka dihina di bumi sendiri. Umat Islam mungkin lebih ramai di negara ini, tetapi disebabkan agenda dan projek mereka berbeza, maka umat tidak kukuh. Umat wujud, namun agenda mereka dirobek akibat daripada perpecahan dan persengketaan yang berlaku.
RAMADAN MENGAJAR KITA MEMBANGUNKAN KEUNGGULAN UMAT
Dengan konteks sebegini bagaimana Ramadan mengajar kita untuk membangunkan semula keunggulan umat dan institusinya?
Setiap ibadah mempunyai maṣlaḥah kepada manusia, samada manusia boleh mengetahuinya atau tidak. Maṣlaḥah ini datang dalam bentuk individu, dalam masa yang juga dalam konteks umat. Sebagai contoh, pensyariatan puasa di bulan Ramadan. Ramadan tidak sekadar datang untuk membantu kita meraih ketakwaan dalam konteks individu semata-mata. Tetapi Ramadan yang disyariatkan oleh Allah SWT juga mempunyai dimensi dalam konteks umat yang perlu dicapai daripadanya.
Dalam masa yang sama, setiap ibadat perlu dilaksanakan sebagai satu lunas perhambaan (al-taʿabbud) kepada Allah SWT. Walaupun ada maṣlaḥah dunia yang boleh diperolehi melalui ibadah tersebut, namun jika diniatkan bersama dengan niat al-taʿabbud, perkara tersebut boleh mengurangi pahala ibadah. Sebagai contoh,puasa Ramadan jika diniatkan untuk memperolehi kesihatan tubuh badan, maka ia boleh mengurangkan pahala ibadah puasa walaupun memang puasa boleh menyihatkan. Ini bermakna maṣlaḥah itu boleh diperolehi melalui ibadah, tetapi tidak diniatkan pada awal ibadah untuk menjaga pahala dan tulus ikhlas kepada Allah SWT.
Apakah maṣlaḥah dalam dimensi umat yang boleh dicapai dengan puasa Ramadan?
Antara dimensi umat yang mampu diterapkan melalui puasa Ramadan adalah sifat ketaqwaan secara kolektif. Perasaan lapar, dahaga dan letih yang sama dirasai oleh semua umat di seluruh dunia dalam tempoh satu bulan. Kesemua umat Islam berpuasa sebagai satu penzahiran kehambaan kepada Allah SWT dan mengharapkan ganjaran-Nya di Akhirat. Kebersamaan ini tidak dapat dilihat secara mata kasar, etapi mempunyai pertalian kukuh kerana berlaku secara kolektif di seluruh dunia.
Selain itu, puasa Ramadan juga membentuk perasaan kebanggaan (al-ʿizzah) dan jatidri (al-huwiyyah)dalam kalangan umat. Pada peringkat awal Islam, puasa fardu yang disyariatkan bagi umat Islam adalah puasa hari Asyura. Puasa hari Asyura ini merupakan puasa yang bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam, tetapi dilakukan juga oleh orang-orang Yahudi. Menurut Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, pemansuhan kewajipan puasa hari Asyura kepada kewajipan puasa Ramadan berlaku tahun kedua hijrah.
Pemansuhan ini menanam perasaan bahawa umat ini memiliki syariat tersendiri, tidak ikut mana-mana kelompok atau umat lain. Dalam perkara kebaikan pun (dalam konteks ini ibadah berpuasa), umat Islam tidak seharusnya sama dengan orang lain. Umat yang hidup atas agenda dan telunjuk orang lain selamanya tidak akan bangkit. Hakikatnya, umat ini mempunyai jatidiri yang tersendiri, memiliki manhaj, bentuk, lambang dan sifat yang tersendiri. Ramadan hadir menanam perasaan ini, mengangkatnya serta menguatkannya dalam konteks umat.
INFAQ YANG MEMPERKASA UMAT
Berkait infaq pula, ia juga membantu memperkasakan dan membangunkan institusi umat. Infaq bukan sekadar memberi keringanan bagi kesusahan individu, tetapi adalah instrumen penting dalam mengukuhkan umat dari aspek ekonomi dan sosial.
Dalam al-Quran, Allah SWT menganjurkan umat Islam untuk berinfaq dalam keadaan terbuka atau tersembunyi bagi membasmi kemiskinan umat dan merealisasikan perkembangan ekonomi. Infaq yang dilakukan secara tersembunyi bertujuan untuk memelihara niat supaya ikhlas. Infaq terbuka juga diiktiraf dalam Islam seperti yang ada dalam al-Quran walaupun ramai yang menganggapnya tidak bagus kerana ia boleh menggangu niat ikhlas pemberi. Namun, infaq ini digalakkan kerana dalam konteks umat kerana harta itu sampai kepada tangan penerima serta sebagai qudwah yang baik kepada umat. Harta dan manfaat tersebut sudah bertukar hak milik, menandakan umat sudah mendapat hasilnya. Adapun, niat pemberi infaq samada ikhlas atau tidak adalah rahsia peribadi beliau dengan Tuhan.
Allah SWT berfirman mengenai infaq yang dilakukan secara terbuka atau tersembunyi:
إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: "Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."
(Surah al-Baqarah: 271)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Maksudnya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara tersembunyi atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.
(Surah al-Baqarah: 274)
Mengenai ayat ini, Dr Wahbah al-Zuhaylī menafsirkan dalam al-Tafsīr al-Munīr (jilid 2 m/s 105): Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Sesiapa yang melakukan infaq – samada pada waktu malam atau siang, secara tersembunyi atau terbuka, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tidak ada ketakutan baginya di hari Akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu miliki dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua.
Infaq membantu umat untuk membentuk keharmonian sosial dan meninggikan nilai kemanusiaan. Atas sebab itu, pemberian infaq digalakkan dalam bentuk perkara yang disayangi. Jika infaq hanya berlaku berkait barang buangan (waste) sahaja, maka perkembangan sosial tidak akan berlaku dengan harmoni. Firman Allah SWT mengenai infaq perkara yang paling disukai ini:
لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ
Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.
(Surah ʾĀlī-ʿImrān: 92)
Selain itu, Allah SWT juga melarang infaq yang disertai dengan perkataan yang menyinggung dan menyakiti penerima. Keharmonian sosial umat dan nilai kemanusiaan merupakan perkara yang dititikberatkan dalam konteks infaq ini. Tidak sepatutnya berlaku infaq dan sedekah dalam umat tetapi dalam masa yang sama perkara tersebut menyebabkan huru hara sosial dan merendah-rendahkan manusia lain. Atas sebab itu, Allah SWT menyatakan bahawa perkataan yang baik dan kemaafan adalah lebih baik dari infaq yang disertai perkataan yang buruk. Allah SWT berfirman mengenai ini dan memberikan perumpamaan:
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَآ أَنفَقُوا۟ مَنًّۭا وَلَآ أَذًۭى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ٢٦٢. قَوْلٌۭ مَّعْرُوفٌۭ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌۭ مِّن صَدَقَةٍۢ يَتْبَعُهَآ أَذًۭى ۗ وَٱللَّهُ غَنِىٌّ حَلِيمٌۭ ٢٦٣يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُبْطِلُوا۟ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلْمَنِّ وَٱلْأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌۭ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٌۭ فَتَرَكَهُۥ صَلْدًۭا ۖ لَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَىْءٍۢ مِّمَّا كَسَبُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٢٦٤
Maksudnya: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
(Surah al-Baqarah: 272-274)
Infaq juga boleh membantu untuk penerusan kitaran ekonomi. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya."
Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmidhī (1376) dan Abū Dāwūd (2880).
Sedekah jariah yang dimaksudkan di sini adalah sedekah yang sentiasa mengalir, membawa maksud sentiasa dimanfaatkan oleh umat walaupun selepas kematian pemberi. Ini bermakna Islam tidak sekadar menitikberatkan sedekah secara umum, tetapi sedekah yang sentiasa diteruskan dalam kitaran ekonomi umat. Atas sebab itu, pemberi sedekah perlu memperhalusi sedekah yang diberikannya, sebagai jaminan pahala untuk dirinya dan penerusan ekonomi umat dalam masa yang sama.
KESIMPULAN
Ramadan bukan sekadar ibadah peribadi tetapi juga medan untuk membina keunggulan umat Islam secara kolektif. Ia mendidik umat untuk bersatu dalam ketakwaan, menanamkan rasa jati diri yang kuat, serta memperkasakan umat melalui infaq dan sedekah. Dengan memahami dimensi umat dalam ibadah Ramadan, umat Islam dapat membentuk umat yang lebih kukuh, bersatu, dan berdaya saing, sekaligus memastikan pembangunan Islam yang lebih mantap di masa hadapan.
EmoticonEmoticon