Thursday, 4 March 2021

FALSAFAH ISLAM MENURUT AL-RAGHIB ASL-ASFAHANI RHM (502H)

Saya baru selesai mengulang baca buku ini. Kali terakhir membacanya pada Ramadhan 2 tahun lalu (tahun 2019).


Pembacaan kali kedua ini lebih bermakna. Buku Tafsil Nasy’atain wa Tahsil Sa’adatain karya Ar-Raghib Al-Asfahani ini, walaupun nipis tetapi mempunyai manfaat yang sangat besar. Ia adalah sebuah kitab yang membincangkan tentang tiga topik utama, iaitu kewujudan, makrifah dan akhlak. Jika boleh diumpamakan, ia adalah persis sebuah karya yang sempurna ciri-ciri falsafahnya dari aspek ontologi, epistemologi dan aksiologi.





Buku ini dimulakan dengan perbincangan tentang hakikat kewujudan manusia. Apakah elemen alam yang membentuk manusia, peringkat kejadian manusia, tujuan penciptaan, kedudukan manusia dalam kewujudan dan lain-lain aspek ontologi. Manusia diumpamakan sebagai alam saghir, dan alam pula adalah insan kabir. (microcosm dan macrocosme). Para nabi dan rasul pula adalah kategori tertinggi bagi manusia, yang memiliki ciri-ciri kewujudan yang berbeza dengan manusia biasa, antaranya mereka dikurniakan dengan quwwah ruhaniyah (daya rohani) yang tinggi.


Daya rohani ini, seperti yang diceritakan dalam Al-Quran untuk Nabi Isa AS:

وَأَيَّدناهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ
Terjemahan: “Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus”


Manakala untuk Rasulullah SAW:

نَزَلَ بِهِ الرّوحُ الأَمينُ
Terjemahan: “Ia dibawa turun oleh ruh yang amanah.”


Ilmu yang diberikan kepada para nabi dan rasul juga melengkapkan epistemologi manusia. Cahaya wahyu menerangkan sinaran akal. Kesepaduan wahyu akal ini menghasilkan kefahaman ibadah yang betul, yang menjadi tujuan penciptaan manusia di dunia.

Kefahaman ibadah yang sahih akan membuahkan aksiologi yang tepat. Peradaban yang dibina mesti berlandaskan kesepaduan epistemologi ini, supaya kebahagiaan dapat dicapai. Kebahagiaan bukan hanya terhad pada aspek material dan dunia sahaja, tetapi ia mencakupi aspek spiritual, moral dan akhirat. Atas sebab itu, gandingan syarak  dan akal menjadi pelengkap kepada kompas kebahagiaan dan keinsanan manusia. Manusia tidak akan dapat membimbing sisi nafsu hayawani mereka melainkan dengan panduan ruh, yang berinteraksi dengan wahyu. 

Buku ini adalah intipati Falsafah Islam yang sebenar yang tidak mengandungi pandangan-pandangan ganjil mengikut Aristotelianism, mengikut pendapat saya. Hairan juga mengapa ia tidak semasyhur buku-buku rujukan falsafah yang lain semisal tulisan Al-Farabi dan Ibn Sina.

Ikuti karya saya di sini:https://t.me/amarismatdotcom



Artikel Terkait

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon