Wednesday, 3 June 2020

KENAPA AMERIKA GAGAL BERINTERAKSI DENGAN WABAK COVID-19 DAN RUSUHAN GEORGE FLOYD?

Belum sempat kerajaan US meredakan pandemik Covid-19, timbul pula isu George Floyd yang menyebabkan rusuhan dan ketegangan kaum berlaku di bandar-bandar dalam US. Harta awam dirosakkan, kedai-kedai dibakar, serta pejabat kerajaan diserbu oleh perusuh.

Sedangkan baru sahaja tahun lepas 2019, ada sebuah statistik yang dikeluarkan oleh Global Health Security Index yang menyatakan bahawa US adalah negara yang paling bersedia jika berlakunya “pandemic outbreak”. Kajian ini lebih memfokuskan kepada kelengkapan perubatan dan bilangan pegawai kesihatan yang ada dalam sesebuah negara.


Namun hakikatnya seperti yang semua sudah maklum. Hingga tarikh 3 Jun 2020, jumlah kes Covid 19 di US sudah mencecah 1.8 juta kes, dan jumlah kematian pula mencecah 100 ribu kurang lebih.

Jika difikirkan, bagaimana sebuah negara maju, yang menjadi kiblat kepada pemikiran liberalisme dan hak asasi manusia, serta diiktiraf  sebagai negara paling bersedia menghadapi pandemik boleh berhadapan dengan situasi kritikal yang melibatkan Covid-19 dan rusuhan George Floyd ini?

Di sinilah masalahnya timbul, iaitu kefahaman terhadap hakikat dan tabiat manusia. Ini merupakan pembolehubah yang mungkin tidak diambil kira apabila mereka mendefinisikan kemajuan, hak asasi dan kesediaan menghadapi pandemik. Disebabkan itu, apabila kemelut yang sebenar timbul, data serta statistik yang ada bercanggah sama sekali dengan realiti yang berlaku.

NILAI KEMANUSIAAN ADALAH PADA AGAMANYA

Persoalan mengenai hakikat manusia adalah persoalan evergreen yang sudah dibincangkan oleh ahli agama dan falsafah sejak dahulu lagi. Apakah elemen yang menjadikan seseorang itu manusia dan membezakannya dengan makhluk lain? 



Menurut Plato, erti kemanusiaan adalah pada ilmu pengetahuan. Aristotle pula berpendapat bahawa kemanusiaan itu diertikan dengan eudaimonia (kebahagiaan), di mana seseorang itu melakukan perbuatan secara rasional berpandukan kepada nilai-nilai moral (acting rationally according to virtue). Aristo meletakkan definisi yang menarik, tetapi ianya dilihat terhad kepada aspek rasional manusia. Benar, mahiyah manusia itu adalah pada akal dan rasional. Namun menghadkan takrif kemanusiaan hanya kepada perbuatan rasional dan moral, dilihat menyempitkan skop insan yang luas spektrumnya. 

Erti kemanusiaan sebenar terletak pada agama. Intgerasi wahyu-akal yang memberikan panduan kepada manusia, bagaimana untuk menjadi insan yang sebenar. Insan yang kemuliaannya bukan pada warna kulit, tetapi kepada ketaqwaan. Integrasi wahyu-akal juga yang memberikan guideline dalam kepada manusia dalam berinteraksi dengan pandemik, walaupun dalam keadaan kemudahan kesihatan yang sederhana.

Kefahaman yang betul terhadap hakikat dan tabiat manusia ini akan memberikan kita solusi yang tepat kepada sesuatu masalah. Liberalisme yang dianuti oleh US, walaupun secara permukaannya memuliakan manusia, tetapi ia tidak dapat menghapuskan rasisme serta tidak dapat menyelamatkan mereka daripada pandemik yang menular. Bahkan disebabkan hak asasi palsu inilah mereka dilanda kemelut yang tidak berkesudahan.


Atas sebab itu, penilaian kita kepada kemajuan, kemodenan, kelestarian ekonomi, dan ketamadunan tidak boleh sekadar berpandukan aspek material semata-mata, Tetapi ia perlu mendasar kepada hakikat dan tabiat manusia, kerana manusia merupakan asas utamanya. Negara majoriti muslim juga perlu kembali kepada penilaian sebegini dan tidak boleh terus mengikut model Barat yang sedia ada.

Wednesday, 6 May 2020

IBNU QUTAYBAH MENOLAK DAKWAAN GOLONGAN ANTI-QURAN

Golongan anti Al-Quran wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Di dalam sirah, kita melihat pelbagai jenis tohmahan yang dilemparkan oleh kuffar kepada Al-Quran. Ada yang mengatakan ianya adalah kitab sihir, rekaan Nabi SAW, mantera-mantera ramalan, dan lain-lain tohmahan.

Sejak daripada itu, ramai ulama’ telah bangkit mempertahankan kemuliaan Al-Quran. Antara ulama’ prolifik yang menulis untuk menjawab golongan mulhidin yang menolak Al-Quran ini adalah Imam Ibnu Qutaybah Ad-Dinawari rhm 276H/889M. Kitab yang beliau karang dinamakan Takwil Musykil Al-Quran.


Imam Ibn Qutaybah rhm bukan alim pertama yang menulis berkenaan perkara ini. Penulisan khusus untuk menjawab syubhat yang dilemparkan mengenai Al-Quran ini dikatakan bermula dengan penulisan Imam Muqatil Bin Sulayman rhm 150H/767M (Al-Jawabat fi Al-Quran), Imam Sufyan Bin Uyaynah rhm 198H/814M (Jawabat Al-Quran), dan Imam Qatrob rhm 206H/821M (Ar-Radd ala Al-Mulhidin). 

Tetapi sayangnya, ketiga-tiga manuskrip ini tidak sampai kepada kita. Ia hanya diketahui melaui nukilan yang ada dalam kitab-kitab tulisan ulama’ selepas itu. Ini menjadikan kitab Imam Ibnu Qutaybah rhm sebagai manuskrip tertua yang sampai kepada kita berkenaan jawapan syubhat Al-Quran.

Kitab Takwil Musykil Al-Quran dimulakan dengan menyebut kelebihan bangsa dan bahasa Arab, serta syair-syair untuk membuktikan wajh al-i’jaz (sudut mukjizat) Al-Quran. Kemudian disifatkan pula syubhat golongan mulhidin yang melemparkan pelbagai tohmahan kepada Al-Quran.

Seterusnya, Imam Ibn Qutaybah rhm menulis jawapan yang detail untuk setiap syubhat melalui beberapa kategori seperti bab Qiraat, bab al-lahn (kesilapan bahasa), bab percanggahan dan tanaqudh, bab perumpamaan Al-Quran (mutasyabih), bab majaz dan pelbagai lagi. Pendek kata, hampir semua syubhat telah dijawab oleh Imam Ibn Qutaybah rhm, termasuk syubhat yang tidak pernah didengari pada zaman moden ini.

Sebagai contoh, di dalam surah Ar-Rahman ayat 39, Allah mengatakan manusia dan jin tidak akan dipersoalkan tentang amalan mereka ketika hari Kiamat. Tetapi di dalam surah Al-Hijr ayat 92-93, Allah menyatakan semua manusia dan jin akan dipersoalkan tentang semua amalan mereka. Imam Ibn Qutaybah rhm menjawab, bahawa semasa hari Kiamat, ada waktu sesi soalan berlaku, dan ada waktu sesi soalan dan alasan sudah tidak diterima, iaitu ketika sudah ditetapkan hukuman yang setimpal selepas penghakiman dilakukan.

Benar kata Imam Az-Zurqani rhm dalam Manahil Al-Irfan, jika syubhat ilmuwan dan jaguh bahasa ketika zaman silam pun tidak dapat mematahkan kebenaran Al-Quran, apatah lagi pada zaman moden kini. Maka terbuktilah Al-Quran itu merupakan mukjizat hingga hari Kiamat…

Sunday, 3 May 2020

MENGENAI JAWAHIR AL-QURAN (PERMATA-PERMATA AL-QURAN)

Bacaan menarik untuk dikongsi sempena Ramadhan kali ini adalah kitab Jawahir Al-Quran wa Duraruhu, karya Imam Abu Hamid Al-Ghazali rhm. Secara ringkasnya, ia adalah panduan membaca dan memahami Al-Quran mengikut perspektif Imam Al-Ghazali.

Di dalam pendahuluan kitab, Imam Al-Ghazali rhm menyatakan bahawa kitab ini terbahagi kepada 3 bahagian. Bahagian pertama adalah muqaddimat yang terdiri daripada asas-asas pemahaman isi kandungan Al-Quran. Bahagian kedua pula mengenai maqasid-iaitu senarai ayat-ayat Al-Quran yang disusun mengikut jauhar dan durrah yang telah dibahaskan dalam bahagian pertama. Bahagian ketiga pula adalah penerangan secara detail bahagian kedua, yang dimuatkan dalam sebuah kitab berasingan yang bertajuk Kitab Al-Arba’in fi Usuliddin.



Imam Al-Ghazali rhm memulakan kitab Jawahir ini dengan memberi tamsil mengenai Al-Quran, bahawa ia umpama lautan luas yang dalam. Laut yang dalam ini terpecah kepada beberapa sungai, di mana sungai-sungai tersebut diibaratkan sebagai semua ilmu yang ada di dunia ini. Ilmu awwalin dan akhirin yang ada di dunia ini adalah bermuarakan isi kandungan Al-Quran.

Ramai daripada kalangan umat muslimin yang berasa cukup dengan melihat “laut yang luas” ini dari pantainya sahaja. Mereka tidak mahu menyelami “laut” ini hingga ke dasar untuk mencari permata dan mutiara yang wujud di dasar lautan tersebut. Ada pula di antara yang mereka yang ingin menyelaminya, namun tidak mengetahui cara yang betul supaya mereka tidak sesat di pertengahan jalan.

Menurut Imam Al-Ghazali rhm, permata merah (kibrit ahmar) yang paling berharga dalam Al-Quran adalah mengenal Allah yang Maha Esa…

Saya menjemput semua sahabat untuk sama-sama menyelami lautan Al-Quran dan mencapai kefahaman yang benar mengenai makrifatullah di bulan Ramadhan ini. Kitab Jawahir Al-Quran ini merupakan salah satu panduan penting daripada alim pakar yang sudah menjumpai mutiara paling berharga dalam Al-Quran.

Monday, 6 April 2020

KITAB AL-MASAI’L AL-KHAMSUN FI USUL AD-DIN (50 ISU DALAM USULUDDIN)

Al-Masa’il Al-Khamsun fi Usuliddin merupakan salah satu karya ilmu Kalam yang ditulis oleh Imam Fakhruddin Ar-Razi rhm. Ia merupakan antara kitab ringkas beliau dalam ilmu Kalam berbanding karya-karya lain seperti Al-Arba’un fi Usuliddin, Ma’alim Usuliddin, Asas At-Taqdis, Nihayatul-Uqul fi Dirayah Al-Usul dan lain-lain.

Karya ini pada asalnya ditulis dalam bahasa Parsi, kemudian diterjemahkan ke bahasa Arab oleh salah seorang anak murid Imam Ar-Razi, untuk manfaat yang lebih luas. Sekadar kajian semasa, tidak dinyatakan siapakah nama anak murid yang menterjemahkan teks asal daripada bahasa Parsi tersebut.

Walaupun secara asas perbincangannya terdapat persamaan antara kitab Al-Masa’il Al-Khamsun, Al-Arba’un dan Ma'alim, tetapi ketiga-tiganya ditulis dengan penghayatan yang berbeza. Al-Masa'il Al-Khamsun yang paling ringas, diikuti oleh Al-Arba’un, dan yang paling detail adalah Ma'alim Usuliddin.

Kesemuanya disusun mengikut tertib bab yang biasa dalam kitab Kalam, bermula dengan bab berkaitan ilmu dan An-Nazor (kajian), kemudian Umur Al-Ammah (Perkara Umum), seterusnya Al-Ilahiyat (Ketuhanan), diikuti dengan An-Nubuwwat (Kenabian), selepas itu As-Sam’iyyat (Perkara Ghaib), dan diakhiri dengan Al-Imamah (Kepimpinan).

Ketiga-tiga kitab ini adalah bermanfaat untuk semua penuntut dan pengkaji ilmu Kalam, walaupun mempunyai rangka asas yang serupa. Isu yang dibincangkan ada yang berbeza, manakala jawapan yang dikemukakan juga berbeza menurut keperluan.


Di dalam gambar adalah tahqiq terkini ke atas Al-Masa’il Al-Khamsun, yang ditulis oleh Syeikh Ahmad Asy-Syazuli dan Dr Saed Fudah. Kedua-duanya adalah tokoh besar dalam ulum aqliyyah pada hari ini, serta merupakan muhaqqiq yang aktif mentahqiq dan menulis hasyiah (komentar) kitab-kitab turath kalam dan falsafah.

Monday, 30 March 2020

MAQASID SYARIAH YANG INDAH, RABBANI DAN SYUMUL

Semasa di Mesir, saya pernah melazimi pengajian kitab Al-Muwafaqat fi Usul Asy-Syariah (karya Abu Ishaq Asy-Syatibi rhm), yang diseliakan oleh Prof Dr Mahmoud Abd Rahman. Beliau merupakan ketua Jabatan Usul Fiqh, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Azhar, Kaherah.


Beliau pernah memberikan kami assignment-untuk membaca dua kitab karya Raghib Al-Asfahani rhm; Tafsil An-Nasy'atain wa Tahsil As-Sa'adatain dan Az-Zari'ah ila Makarim Asy-Syariah, dan menulis transkrip pengajian tentang Maqasid Syariah yang diajar oleh Syeikh Mustafa Al-Bihyawi, (ulama’ Maghribi), serta mencari 100 fatwa para ulamak silam yang terbina atas ijtihad maqasidi (seperti fatawa oleh Al-Izz Ibn Abdus Salam rhm).

Ini semata-mata untuk memberikan pelajar kefahaman yang menyeluruh kepada binaan Maqasid Syariah yang rabbani dan syumul. Maqasid Syariah tidak datang dengan hanya membaca 2,3 kitab tanpa merujuk kepada sumber aslinya iaitu Al-Quran, As-Sunnah dan rujukan muktabar yang lain. 

Bahkan untuk membicarakan tentang Maqasid, seseorang itu-seperti kata Dr Mahmoud-perlu menguasai sekurang-kurangnya Al-Quran dan hadith secara kulli dan juzie, mengetahui fatawa yang terbina atas ijtihad maqasidi, serta memahami sunan kauniyyah (sunnah penciptaan) yang mengandungi banyak unsur maqasid syariah di dalamnya.

Ia jelas menunjukkan bahawa Maqasid Syariah itu adalah bertepatan dengan sunnah penciptaan manusia. Manusia hanya akan mampu merealisasikan tujuan penciptaannya jika berada dalam ruang lingkup kehidupan bersyariah. Maqasid (tujuan) akhir syariah itu adalah untuk menjadikan manusia itu insan yang sebenar dan sempurna. Insan yang mengenali kedudukan dirinya dan Tuhannya. Kemuncak insaniah adalah ubudiyah kepada Allah SWT.

Ini menafikan dakwaan sesetengah pihak yang cuba menzahirkan syariah sebagai sesuatu yang bertentangan dengan kemanusiaan, dan yang lebih teruk ada yang cuba menggambarkan seolah-olah Maqasid Syariah itu terpisah daripada Syariah itu sendiri. Ini adalah kefahaman yang cetek dan masih di gigi air dalam lautan ilmu Syariah yang dalam serta luas.

Selain itu, ini juga memberikan isyarat yang jelas bahawa ilmu Maqasid Syariah merupakan kemuncak kepada ilmu Syariah-kerana ia membicarakan tentang rahsia pensyariatan serta kehendak Tuhan-, yang memerlukan seseorang itu menguasai pelbagai perkara sebelum membicarakan tentangnya. Ia tidak layak dibicarakan tanpa bimbingan yang jelas oleh mujtahid yang benar alim ilmu syariahnya. 

Wallahua'lam.

Friday, 27 March 2020

IMAM AHMAD RA DAN DIDIKAN SEORANG IBU

Siapa yang tak kenal dengan Imam Ahmad Bin Hanbal? Beliau adalah Imam Ahlus Sunnah, jaguh hadith dan penulis ensiklopedia hadith yang dinamakan dengan Musnad Ahmad. Beliau juga merupakan pengasas kepada Mazhab Hanbali. Ayahnya meninggal ketika beliau berumur 3 tahun. Beliau diasuh oleh ibunya sejak dari kematian ayahandanya.


Ibunya telah banyak memberikan tunjuk ajar dalam pembentukan syakhsiah Imam Ahmad. Ibunya akan mengejutkan beliau untuk solat Subuh, dan membawanya ke masjid yang agak jauh dalam keadaan sejuk untuk memastikan beliau dididik dengan solat berjemaah.

Dengan bimbingan ibunya juga, beliau telah melengkapkan hafazan Al-Quran semasa berumur 10 tahun. Beliau juga telah mempelajari hadith dari tokoh-tokoh ulama' hadith di sekitar Baghdad, tanah tumpah darahnya dengan pantauan ibunya.

Tidak cukup dengan itu, akhirnya ibu beliau memberikan keizinan untuk Imam Ahmad bermusafir ke luar Baghdad untuk menuntut ilmu. Walaupun tidak disisipkan dengan wang, ibunya membekalkan beliau dengan sedikit bekal makanan. Ibunya tidak memiliki harta untuk disertakan dalam perjalanan Imam Ahmad, kerana kefakiran mereka. Sesiapa yang mengkaji biografi Imam Ahmad, pasti akan mengetahui bagaimana miskinnya hidup Imam yang agung ini.

Ibunya berpesan" Aku serahkanmu di bawah jagaan Allah yang Maha Esa.." Bondanya cukup mengetahui, sesuatu perkara yang dijaga oleh Allah, ianya tidak akan hilang dan akan tiba dengan selamat di destinasi dengan izin Tuhannya.


Akhirnya, bermulalah kembara Imam Ahmad menjadi seorang imam yang sangat disegani oleh umat Islam keseluruhannya. Berkat bimbingan seorang ibu tua yang menginginkan anaknya mencari ilmu untuk bekal dunia dan akhiratnya.

اللهم اغفر لوالدي وإرحمهما كما ربياني صـغيرا

Wednesday, 25 March 2020

SOLAT DI RUMAH KETIKA WABAK ADALAH MANIFESTASI RAHMAH ILAHI

Ramai daripada kita yang merasakan bahawa situasi wabak Covid-19 yang menghalang berlakunya solat berjemaah dan solat Jumaat sebagai satu hukuman daripada Allah. Allah murka dengan umat muslimin atas dosa-dosa mereka, lantas Allah “menghalau” mereka daripada rumah-rumahNya termasuk Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Itu adalah satu pandangan, tetapi situasi sekarang ini juga boleh dibaca daripada perspektif yang lain.

Kita selalu memandang Allah sebagai Tuhan yang sentiasa murka, suka menghukum dan lain-lain ibarat yang tidak mengambarkan keseluruhan sifat-sifat Allah yang sempurna. Nauzubillah min zalik. Walhal Allah adalah Tuhan yang maha penyayang, yang sangat mengasihi dan rahmah dengan hamba-hambaNya.

Tafsiran khusus wabak sebagai murka Allah ini juga bertentangan dengan beberapa hadith yang menunjukkan perkara yang sebaliknya. Bahkan sebenarnya wabak yang menimpa umat adalah tanda-tanda rahmat Ilahi menurut Rasulullah SAW. Dalam Sahih Bukhari, dari Aisyah RA berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang wabak ta’un, lalu baginda mengkhabarkan kepadaku bahawa wabak adalah azab yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah juga menjadikannya sebagai RAHMAH kepada orang-orang beriman. Barangsiapa yang berada dalam tempat yang dilanda wabak, lalu dia duduk dalam rumahnya dalam keadaan sabar dan mengharapkan ganjaran Allah serta mengetahui bahawa tiada apa yang boleh memberi musibah kepadanya melainkan Allah, maka ganjarannya adalah seperti ganjaran yang orang yang mati syahid.”

Di dalam hadith di atas, dengan jelas disebut bahawa wabak adalah rahmat Allah kepada orang-orang beriman. Manakala azab yang dikatakan tidak semestinya bermaksud murka dan laknat Allah, ia boleh juga ditafsirkan sebagai hukuman sebagai pengajaran dalam spektrum rahmah Ilahi yang luas. Peringatan kepada mereka yang lama dalam keadaan lalai dan leka dalam mengingati Allah.


Wabak juga berlaku pada golongan sahabat RA dalam sejarah umat Islam. Jika wabak ditafsirkan khusus sebagai murka Allah, ada satu persoalan yang timbul. Adakah Allah murka dengan para sahabat RA yang telah disaksikan kesolehan dan keadilan mereka seperti Abu Ubaidah Al Jarrah, Muaz Bin Jabal, Yazid Bin Abu Sufyan, Syurahbil Bin Hasanah dan lain-lain sahabat RA?

Lihat kata-kata Abu Ubaidah Al-Jarrah AR mengenai wabak ta’un amwas yang melanda bumi Syam pada zamannya; “Wahai manusia, sesungguhnya sakit (wabak) ini adalah rahmat kepada kamu, dan inilah tabiat dakwah nabi kamu, dan asbab kepada kematian orang-orang soleh sebelum kamu, dan Abu Ubaidah meminta kepada Tuhannya untuk memberikan beliau bahagiannya (ajalnya).”

Muaz Bin Jabal juga memperkatakan perkara yang sama, seperti yang diriwayatkan dalam Musnad Ahmad, bahawa “sakit (wabak) ini adalah rahmah dan kesaksian serta tabiat dakwah nabi kamu”.

Bahkan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani pernah menulis sebuah kitab tentang kelebihan wabak ta’un yang bernama “Bazlu Al-Ma’un fi Fadhl At-Ta’un”.

Persoalan yang timbul, bagaimana wabak ini menjadi rahmat Ilahi, dalam keadaan kita tidak mampu menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid-masjid, terutamanya di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi?

Dalam syariat Islam, kita dituntut untuk mengambil rukhsah dalam keadaan-keadaan darurat. Mengambil azimah dalam keadaan darurat hukumnya boleh jadi makruh, dan boleh juga jadi haram bergantung kepada keadaan yang spesifik. Menunaikan solat di rumah adalah salah satu daripada rukhsah yang ada dalam agama.

Penutupan masjid, penangguhan solat Jumaat dan solat berjemaah adalah antara faktor terpenting untuk memelihara kesihatan dan mengelak daripada tersebarnya wabak. Tidak dinafikan bahawa kesemua ini adalah antara syiar penting umat Islam, namun luasnya rahmah Allah hingga syiar-syiar penting ini boleh ditangguhkan semata-mata untuk kesihatan dan kesejahteraan hamba-hambaNya.

Atas kasih sayang dan rahmah-Nya, Allah mensyariatkan rukhsah solat di rumah untuk kesejahteraan para makhluk daripada wabak yang melanda. Wabak yang timbul daripada tangan kotor makhluknya juga…


Artikel asal oleh Prof Muhammad Khayr Musa (https://www.facebook.com/1567509546895117/posts/2480951372217592/)
Terjemahan dan adaptasi oleh Amar Ismat Mohd Nasir

Wednesday, 18 March 2020

COVID-19 DAN DOA MUSTAJAB ORANG SOLEH


Keadaan wabak COVID 19 yang meruncing di Malaysia ini mengingatkan saya tentang sebuah kisah yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dalam kitab Sifat As-Sofwah dan Imam Az-Zahabi dalam kitab Siyar A’lam An-Nubala’. Kisah ini diriwayatkan oleh seorang tabien, Imam Muhammad Bin Al-Munkadir rhm mengenai seorang tukang kasut yang doanya mustajab. 

Pada suatu malam di Masjid Nabawi, Imam Muhammad hadir untuk menunaikan solat.  Setelah selesai qiamullail, beliau berehat di salah sebuah tiang yang ada dalam Masjid Nabawi. Ketika itu datang seorang lelaki faqir (berdasarkan pakaiannya), beliau menunaikan solat, dan kemudian berdoa kepada Allah SWT:

“Ya Allah, orang-orang Madinah telah berada dalam keadaan kemarau..dan mereka telah berdoa meminta hujan kepadaMu.
Ya Allah, aku bersumpah kepadaMu, aku tidak akan meletakkan tanganku hinggalah hujan turun di kota Madinah ini…”


Apabila Syeikh Muhammad mendengar doa ini, beliau terkejut dan menyangka bahawa lelaki faqir ini gila kerana doanya yang seakan-akan mengugut Allah untuk menurunkan hujan. Namun apa yang berlaku adalah, belum sempat lelaki tersebut menurunkan tangannya, guruh telah berbunyi di langit, dan hujan turun membasahi bumi Madinah yang kering kontang. Lelaki tersebut menangis, lalu berkata:

“Ya Allah ini bukan daripada diriku tetapi adalah kurniaanMu jua. Siapalah aku, dan apalah aku ini dalam keadaan Engkau memakbulkan permintaanku. Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan pujian dan ketinggianMu. Ya Allah, kurniaan ini adalah daripada pemberianMu, bukan daripada usahaku, sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Mulia lagi Maha Pemurah..”

Imam Muhammad takjub dengan lelaki ini. Lelaki tersebut meneruskan ibadahnya hingga masuk waktu Subuh. Selepas solat Subuh, Imam Muhammad ingin mengekorinya, namun dia telah hilang daripada pandangan mata. 

Pada malam keesokan harinya, Imam Muhammad menyandarkan dirinya seperti biasa di sebuah tiang dalam Masjid Nabawi sambil menunggu kehadiran lelaki tersebut. Lelaki itu datang dan melakukan ibadah seperti malam sebelumnya, hingga tiba waktu Subuh. Selepas selesai solat Subuh, Imam Muhammad mengekori lelaki tersebut secara senyap untuk mengetahui tempat tinggalnya. Setelah tahu di mana beliau tinggal, Imam Muhammad pulang dan berhajat untuk menziarahinya apabila hari sudah pagi nanti.

Pada pagi itu, Imam Muhammad pun hadir ke rumah lelaki berkenaan. Rupa-rupanya lelaki tersebut bekerja sebagai tukang jahit kasut. Melihat kedatangan Imam Muhammad, lelaki tersebut bertanya, “Wahai syeikh, adakah engkau ingin aku menjahit khuf engkau?” Imam Muhammad membalas dengan soalan, “Adakah engkau orang yang berada di Masjid Nabawi malam semalam dan berdoa agar hujan diturunkan?” 

Mendengar jawapan itu, lelaki tersebut terus berang dan berkata; “Apa kaitan engkau dengan lelaki tersebut?” Pelbagai soalan diajukan hingga menyebabkan Imam Muhammad beredar untuk meredakan kemarahan lelaki itu. Pada malam hari sewaktu iktikaf, Imam Muhammad tidak menemui lelaki tersebut yang biasanya akan hadir untuk beribadah di Masjid Nabawi.

Pada pagi berikutnya, beliau hadir ke rumah lelaki tersebut, tetapi dia tiada. Jiran lelaki tersebut yang ada berhampiran bertanya kepada Imam Muhammad; “Apa yang engkau lakukan kepada lelaki itu? Selepas berjumpa dengan engkau, dia terus mengemas barangnya dan beredar daripada sini". 

Kisah ini membuktikan bahawa wujudnya individu-individu soleh yang makbul dan mustajab doanya, tetapi namanya tidak tercatat dalam sejarah. Kisah ini hanya dicatatkan dalam kitab sebagai kisah seorang abid yang terpilih di Madinah tanpa sebarang nama seperti yang biasa direkodkan.

Moga-moga ada orang soleh di zaman ini, yang mampu berdoa untuk mengeluarkan kita daripada musibah ini. Disamping usaha dan kesedaran kita untuk menangkis jangkitan wabak COVID-19 ini, kita juga amat memerlukan doa-doa mustajab daripada individu-individu soleh yang mungkin tidak dikenali namanya, tetapi didengari doa dan permintaannya.