Tuesday, 19 March 2019

BAGAIMANA PARA ANBIYA' MEMBINA PERADABAN

Apabila kita meneliti kisah-kisah Bani Israel di dalam Al-Quran, ia sebenarnya mengisahkan bagaimana nabi-nabi Bani Israel membimbing mereka membina sebuah peradaban yang makmur, lengkap dengan elemen dan ciri-ciri fizikal dan spiritualnya.

Bermula dengan diusir dari Mesir, mereka menuju ke tanah baru, Palestin atau lebih dikenali sebagai The Promised Land. Pada mulanya mereka dihina dan diusir juga di sana, namun Allah melantik Talut sebagai pemimpin mereka, walaupun beliau bukan dalam kalangan keluarga aristokrat dan tidak mempunyai harta yang banyak.

Selepas Talut berjaya mengalahkan Jalut dan tenteranya dengan bantuan Allah, tampuk kekuasaan beralih kepada Nabi Daud AS, dan akhirnya Bani Israel mencapai kemuncak peradaban mereka di bawah pemerintahan Nabi Sulaiman AS.




Walaupun mempunyai jajahan pemerintahan yang melangkaui pelbagai makhluk yang wujud di dunia ini, ia tidak pernah menjadikan Nabi Sulaiman lupa ajaran yang dibawa oleh baginda dan nabi-nabi sebelum baginda, bahawa alam ini keseluruhannya adalah milik mutlak Allah. Baginda hanya diamanahkan untuk menggunakannya sebagai alat untuk memakmurkan dunia dengan agama yang Allah redhai.


قَالَ الَّذِي عِندَهُ عِلْمٌ مِّنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُ قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ (40)

“Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".


Tidakkah kita mengambil pengajaran betapa pentingnya aqidah tauhid dalam pembinaan peradaban, daripada kisah nabi-nabi yang diutuskan kepada Bani Israel ini?

Sunday, 10 March 2019

FEMINISME DARI KACAMATA SEJARAH

Apabila melihat gerakan Feminisme yang bearak baru-baru ini, mengingatkan saya bagaimana wanita diperlakukan dalam sejarah peradaban Barat secara khususnya, dan dunia secara umumnya sebelum kedatangan Islam.



Mereka diseksa, dinafikan hak asasi mereka, menjadi mangsa patriarki dan feudalisme yang mengeksploitasi wanita demi kepentingan mereka. Wanita tiada nilai, diperlakukan seperti binatang dan objek yang tiada nyawa. Lihatlah helaian-helaian sejarah setiap peradaban yang ada di dunia, anda akan lihat bagaimana perkara ni berlaku.

Selepas Renaissance berlaku, hak asasi dan liberalisasi mula menjadi zeitgest zaman itu. Feminisme serta emansipasi wanita juga bercambah seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, menumpang arus reformasi kebebasan yang wujud ketika itu.

Wanita meminta keadilan dan kesamarataan, dilenyapkan patriarki, diberikan hak sama rata bahkan lebih lagi, wujud juga tuntutan ekstrem yang jauh daripada logik dan munasabah akal demi memenuhi kehendak kebebasan mutlak.

Semua ini menggambarkan dua sisi ekstrem yang ada dalam sejarah peradaban manusia; ada waktunya meletakkan wanita sebagai sehina-hina ciptaan, dan sekarang pula mereka dianggap sebagai semulia-mulia ciptaan. Tiada apa sempadan yang boleh membatasi kehendak dan hak mereka walaupun atas nama agama dan budaya.

Sedangkan Islam hadir dengan satu paradigma yang sangat baik terhadap wanita, dengan menjadikan mereka mulia, separuh daripada umat manusia, dan yang melahirkan separuh yang lain. Namun mereka tetap ciptaan yang berbeza dengan lelaki, ada tugas dan tanggungjawab yang unik dan tersendiri yang perlu dilakukan. Mereka juga dibataskan dengan suruhan agama, emansipasi dalam kerangka wahyu Ilahi.