Wednesday, 13 November 2019

DEMOKRASI DAN KEFAHAMAN ISLAM

Demokrasi selalu dianggap sebagai kemuncak pencapaian manusia dalam sistem politik. Mana-mana negara yang belum mengamalkan sistem demokrasi liberal secara penuh, maka negara itu akan dianggap mundur dan ketinggalan zaman, walaupun itu hanya persepsi. Lihat saja apa yang digambarkan oleh media massa tentang negara Cuba, Korea Utara, Iran, Pakistan dan lain-lain, mereka disinonimkan dengan kemunduran dan kemiskinan yang jelas.

Akibat daripada perang persepsi ini, masyarakat dan ahli politik global meletakkan demokrasi sebagai matlamat yang perlu dicapai, atas nama kemajuan umat manusia. Negara-negara pemuka demokrasi juga menyebarkan seruan untuk menganut demokrasi liberal ini ke seluruh pelusuk dunia. Negara-negara Islam juga tidak terkecuali daripada menerima dakyah demokrasi ini.



Apa yang kita faham daripada demokrasi ini sebenarnya?

Kita selalu menanggapi demokrasi sebagai sebuah cara pentadbiran negara dan pemilihan pemimpin. Demokrasi memberikan kuasa kepada rakyat untuk bersama-sama menentukan masa depan pemerintahan negara, menukar pemimpin secara aman dan lain-lain. Tidak dapat dinafikan, unsur-unsur ini adalah sisi positif yang boleh dimanfaatkan daripada demokrasi seperti yang tertera dalam kata-kata yang masyhur:
" الكلمة الحكمة ضالة الحكيم فحيث وجدها فهو أحق بها"
Terjemahan: “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada orang yang bijaksana, di mana sahaja dia mendapatinya maka dialah yang lebih berhak dengannya.”

Namun, perlu diketahui bahawa sistem demokrasi ini bukan sekadar sistem pemerintahan dan pentadbiran semata-mata. Ia datang sebagai sebuah pakej menyeluruh, merangkumi falsafah dan ideologi di sebaliknya. Falsafah yang melatari demokrasi adalah liberalisme, yang lebih sinonim dikenali dengan liberal demokratik. Fahaman ini membawa elemen penafian autoriti Tuhan dan agama, kesamarataan manusia, relativiti akhlak dan nilai, dan lain-lain elemen yang berkaitan.

Apabila dilihat dari kaca mata falsafah, liberal demokratik sangat bertentangan dengan intipati ajaran Islam, walaupun tidak dinafikan konsep pemilihan pemimpin dan pertukaran kuasa secara aman itu secara zahirnya selari dengan Islam. Selaku muslim, kita tidak boleh terlalu mabuk dengan permainan demokrasi hingga kita mencairkan aqidah yang sepatutnya menjadi struktur hidup seorang muslim. 

Ketika demokrasi meminta kita untuk meninggalkan syariat, memberikan wala’ kepada kafir yang menentang hukum Allah, dan meletakkan neraca akhlak kepada pilihan individu dan majoriti, adakah kita sanggup mengenepikan demokrasi? Atau kita sudah menganut agama demokrasi, dan rela menganaktirikan agama yang menjadi anutan kita selama ini?

Pilihan di tangan anda.

Sunday, 15 September 2019

HIMPUNAN PENYATUAN UMMAH 14 SEPTEMBER 2019 #HPU914

Tahniah atas penyatuan UMNO PAS. Saya bukanlah peminat kepada kedua-dua parti ini, tetapi fakta dan sejarah memberitahu kita bahawa UMNO dan PAS adalah parti terbesar orang Melayu, dan mendapat lebih kurang 70% (sekitar 5 juta) undi Melayu pasa PRU yang lepas. Mereka masih menjadi pilihan utama majoriti orang Melayu sehingga hari ini.

1. Adakah Penyatuan Ummah ini menghalalkan kleptokrasi dan rompakan yang dibuat oleh pemuka-pemuka UMNO (jika sabit kesalahan)?


-Tidak. Muslim tidak boleh bersetuju dan redha dengan kemungkaran yang nyata. Tetapi keadaan ini tidak menafikan masih ada ahli UMNO dan PAS yang benar-benar ikhlas berjuang untuk maslahah bangsa, agama dan negara. Mereka ini mewakili majoriti ahli parti, dan muafakat ini perlu untuk menyatukan hati-hati yang ikhlas supaya kekuatan umat lebih terzahir. Begitu juga pakatan yang dilakukan oleh PH, tidak semua ahli parti yang terlibat bersih daripada tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Tetapi kenapa naratif itu tidak dibangkitkan?



2. Jika PH boleh berpakat untuk satu tujuan: menjatuhkan Najib dan BN serta menegakkan prinsip-prinsip kemanusiaan universal, kenapa UMNO dan PAS tidak boleh bersatu atas dasar Melayu dan Islam? 
-Naratif yang cuba dibawa adalah permuafakatan yang dilakukan akan membentuk polarisasi kaum dan agama. Ini tidak tepat, kerana Ketuanan Melayu tidak pernah menyebabkan bangsa lain terpinggir. Lihatlah fakta dalam ekonomi dan sejarah, bagaimana bangsa lain dijadikan sebagai anak emas oleh warganagera Melayu di Melaysia. Permuafakatan ini timbul kerana situasi sekarang dilihat tidak menyebelahi tuan asal tanah Melayu yang tercinta ini.

3. PH dilihat tidak ada counter-narrative yang kukuh dalam menghadapi gelombang penyatuan ummah ini. Menteri Agama dan yang seangkatan dengannya cuba sedaya upaya untuk menghilangkan persepsi Melayau Islam tergugat di bawah kerajaan PH, namun usaha tersebut dilihat gagal. Orang Melayu Islam secara zahirnya melihat kedudukan mereka terancam walaupun masjid masih tidak dirobohkan dan azan masih lagi dikumandangkan. Saya tidak setuju juga dengan terma penyatuan ummah, namun naratif yang dibawakan oleh UMNO dan PAS-bahawa mereka mewakili hampir keseluruhan umat Islam di Malaysia- tidak mampu dibalas oleh sesiapa. Ada pihak yang cuba membalas, namun arus ini begitu kuat hingga menenggelamkan kritikan-kritikan yang hadir.

4. Piagam Muafakat masih terlalu surface dan berbaur retorik. Tidak nampak pelan strategik praktikal yang digariskan. Namun tidak dinafikan ia adalah permulaan yang baik untuk survival politik Melayu Islam di Malaysia.

5. Gelombang Melayu Islam makin hangat. Bermula dengan isu tulisan Jawi, mereka bangkit dengan kempen BMF untuk mengembalikan kuasa ekonomi. Kuasa politik pula cuba diraih kembali dengan Penyatuan Ummah ini. Sejauh manakah politik Melayu akan datang? Kita tunggu dan lihat.

Tuesday, 6 August 2019

MACHIAVELLI CHINA

Kita selalu ingat yang falsafah Confucianisme, Taoisme dan Buddhisme yang  mendasari tamadun China. Namun hakikatnya bukan begitu.

Apabila diperhati dengan lebih halus, sebenarnya tamadun Cina mengamalkan falsafah pragmatik di mana mereka akan menggunakan falsafah tertentu dalam sesetengah keadaan, dan falsafah yang lain pada keadaan yang berbeza. Matlamat utama mereka adalah untuk mengukuhkan kuasa dan membesarkan empayar, dan falsafah-falsafah yang ada akan digunakan sebagai jalan untuk memenuhi cita-cita tersebut. 



Dalam fasa kekacauan dan perpecahan, Taoisme akan diangkat. Manakala dalam fasa keamanan, Confucianisme yang akan menguasai wacana masyarakat. Ketika dalam fasa kemuncak perebutan kuasa, maka Legalism (Machiavellianisme atau Realpolitik China) pula akan bermaharajalela. 

Kita sukar menjelaskan perubahan falsafah hidup yang berlaku sepanjang sejarah China, melainkan jika noktah ini difahami. Hari ini agaknya falsafah apa pula yang kerajaan China dan diaspora mereka di serata dunia gunakan?

Tuesday, 23 July 2019

MEMAHAMI POLEMIK AQIDAH VS POLITIK


Setelah membaca kertas kerja dan mendengar ceramah Ustaz Fauwaz Fadzil (UFF), saya dapat menyimpulkan ada beberapa noktah yang saya tidak bersetuju dengan beliau. Saya mengiktiraf kelimuwan beliau yang mendalam dalam ilmu Syariah, namun bagi saya ada kebenaran yang perlu dirungkai tentang polemik aqidah vs politik ini. هو شيخنا حبيب إلينا، ولكن الحق أحب إلينا منه‫..


  1. Benar, di dalam kitab aqidah, tiada bab tentang as-siyasah. Tetapi yang ada hanyalah bab al-imamah (kepimpinan). Ia asalnya adalah perbahasan dalam kitab fiqh, tetapi dimasukkan perbahasannya ke dalam kitab aqidah untuk membezakan pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan pegangan Syiah dan Khawarij. Di dalam bab ini dijelaskan perbezaan pegangan ahlus sunnah dan pegangan yang selainnya berkaitan imamah.
  2. Namun begitu, taqsimat itu ada konteksnya yang perlu difahami. Seperti kata Imam Al-Laqqani dalam syarah beliau atas matan  beliau sendiri Jauharah At-Tauhid, bahawa imamah yang dimaksudkan adalah perlantikan imam (nasbul imam) yang khusus adalah tidak termasuk dalam perkara aqidah. Ini jelas menafikan pegangan Syiah yang menyatakan bahawa imamah itu berlaku dengan nas (imam itu dilantik melalui nas), bukan dengan ijtihad dan baiah. Ini bermakna, sesiapa yang mengingkari imamah atau kepimpinan seseorang itu, maka dia telah kufur kerana mengingkari nas. 
  3. Sedangkan dalam aliran Ahlus Sunnah, perlantikan imam dalam daerah ijtihad, jadi sesiapa yang tidak bersama kepimpinan tersebut, tidaklah jatuh kafir. Paling jauh mungkin dilabel bughah dan pemberontak sahaja, namun beliau masih muslim.
  4. Jelas di sini, apa yang dimaksudkan bahawa isu imamah bukan aqidah bukanlah bermaksud keseluruhan isu imamah dan siyasah itu dalam tidak berada dalam ruang lingkup aqidah, tetapi beberapa isu-isu tertentu sahaja seperti ta’yin al-imam (perlantikan imam secara khusus). 
  5. UFF ada menukilkan kata-kata Imam Al-Ghazali dalam Al-Iqtisod fi Al-I'tiqad dalam muqaddimah bab Al-Imamah. Saya ingin menambah, selepas daripada muqaddimah tersebut, Imam Al-Ghazali ada membawakan perbahasan penting tentang kewajipan untuk melantik imam. Bagi Imam Al-Ghazali, melantik imam adalah kewajipan syarie, kerana imam akan menyusun atur pentadbiran dunia, yang secara langsung akan menyebabkan nizam ad-din (urus tadbir agama) menjadi tersusun. Urus tadbir agama merupakan perkara yang diperintah oleh Allah secara qat’ie, jadi perkara yang membawa kepada urus tadbir agama (perlantikan imam) juga menjadi wajib. Bukankah  perkara yang wajib dan dinaskan itu termasuk dalam daerah aqaid?
  6. Imam Al-Ghazali hanya menyatakan tentang keperluan melantik pemimpin, bukan kewajipan memilih individu tertentu sebagai pemimpin. Perlu dibezakan antara naratif Imam Al-Ghazali dan apa yang dipegang oleh Syiah Imamiyah.
  7. Saya berpegang, dan menegaskan bahawa dalam siyasah, ada perkara-perkara yang dinaskan. Kita tidak boleh mengatakan politik itu bukan aqidah secara borong.. Ia kenyataan yang benar, tetapi tidak benar dalam masa yang sama. Perlu kepada tafsilan dan penjelasan supaya golongan sekularis dan liberalis tidak mengambil kesempatan dengan hujah ini.
  8. Apa contoh isu politik yang bersangkut-paut dengan aqidah? Secara ringkasnya seperti yang disebut di atas, iaitu kewajipan melantik imam yang berkelayakan untuk memimpin urustadbir dunia dan agama. 
  9. UFF ada menyatakan tidak semua sekularisme itu membawa kepada kekufuran. Benar, hukum takfir ini jelas memerlukan kepada pelbagai prosedur untuk disabitkan kekufuran seseorang. Tetapi yang lebih penting adalah sejauh mana kita memahami falsafah di sebalik kemunculan sekularisme itu sendiri. Adakah agama Islam dan tasawwurnya sama seperti gereja Katolik yang menyebabkan kita juga perlu mengimport Renaissance dan Reformation ke dunia kita? Saya harap UFF boleh menilai kembali ijtihad ini, yang saya kira tidak tepat, bahkan tidak sesuai untuk diperkatakan dalam suasana serangan kepada institusi agama yang berlaku sekarang ini.
  10. Menafikan keseluruhan politik daripada aqidah boleh menyebabkan suburnya gerakan liberalis dan sekularis yang memang ingin mendiamkan agama daripada ruang publik masyarakat. Kita harus berhati-hati supaya tidak dipergunakan oleh mereka yang berkepentingan untuk meninggikan agenda mereka.

 Wallahua’lam, kita mohon petunjuk Allah.



Amar Ismat 
23 Julai 2019

Monday, 8 July 2019

BAGAIMANAKAH KONSEP BUDI DITERJEMAHKAN DALAM PERADABAN MELAYU?

Pertama sekali, kita perlu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan budi dalam kebudayaan Melayu. Budi adalah satu konsep sturuktural yang berpaksikan eleman batiniah (dalaman) yang dipancarkan melalui elemen lahiriah.

Elemen batiniah membawa maksud kepercayaan jiwa (al-qalb) dan akal fikiran (al-aql) untuk membuat keputusan dan pertimbangan yang tepat, Elemen lahiriah yang terzahir pula adalah seperti perlakuan, pertuturan, kesopanan dan kesantunan itu dirangkumkan dalam kategori budi bahasa dan budi pekerti. 

Peradaban Melayu lebih terkenal dengan aspek adab dan budi berbanding aspek material yang biasanya disandarkan kepada tamadun-tamadun selain Melayu. Peradaban Melayu lebih masyhur dengan persoalan tatasusila, moral, dan etika yang dilengkapkan dengan aspek keagamaan yang mendasari jiwa dan roh peradaban Melayu.


Adab dan budi Peradaban Melayu ini jelas terpancar dalam hikayat-hikayat dan prosa sastera tradisional Melayu. Banyak pepatah yang menggambarkan worldview orang Melayu tentang akhlak seperti “hutang emas dibawa belayar hutang budi dibawa mati” serta "hancur badan dikandung tanah, budi baik terkenang jua”, serta pelbagai lagi peribahasa yang lain.

Bahkan istilah peradaban itu sendiri, yang merupakan istilah bahasa Melayu yang tidak ada dalam bahasa-bahasa lain, menggambarkan kefahaman orang Melayu silam terhadap konsep kemajuan berasaskan adab dan budi ini. 

Peradaban bukan sekadar persoalan tentang kemuncak pencapaian dan penghasilan manusia dalam aspek politik, ekonomi, sains serta teknologi, namun ianya juga adalah satu manisfestasi ketinggian akal dan budi yang diterapkan kepada kelompok manusia berpaksikan ajaran agama.

Dalam Hikayat Hang Tuah juga diceritakan bagaimana sepatutnya akhlak dengan sultan dan pemerintah. Hang Jebat dibunuh oleh Hang Tuah, kerana Hang Jebat melakukan keganasan dalam istana yang ditawannya. Antara mesej tersirat daripada peristiwa ini adalah “penderhakaan” kepada negara/sultan merupakan satu jenayah serta anarki (yang dilakukan oleh Hang Jebat) mesti dibanteras demi kestabilan negara.

Namun begitu, ilmuwan Melayu tidak berhenti di situ. Bahkan mereka juga mengatakan bahawa prinsip keadlian mesti ditegakkan hatta kepada pemerintah melalui pepatah “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Keadilan mesti berlaku kepada semua kelompok masyarakat seperti dalam prinsip syariat Islam.

Selain itu, terdapat juga karya-karya yang membincangkan tentang ilmu ketatanegaraan ataupun bahasa modennya good governance seperti Tajus Salatin, Bustanus Salatin dan Thamarat Al Muhimmah, sama seperti karya Ghiyathul Umam karya Imam Al Haramain Al-Juwayni rhm.

Inilah mesej agung tentang peradaban yang dapat kita analisis daripada pepatah dan karya-karya ilmuwan Melayu silam. Namun sayangnya selepas kedatangan penjajah, kita telah mengambil sudut pandang Barat mengenai kemajuan dan ketamadunan. Ini menyebabkan kita menjadikan Barat sebagai model, lalu menjauhkan kita daripada hakikat peradaban yang pernah dikecapi oleh nenek moyang kita suatu masa dahulu.

Kita perlu mengembalikan semula peradaban kita yang telah hilang, dengan cara dan manhaj kita sendiri. Takkan Melayu hilang di dunia.

Rujukan:
1. Hassan Ahmad: Karya Agung Melayu: Cerminan Keunggulan Akal Budi Bangsa Melayu Sepanjang Zaman.
2. Zainal Abidin Borhan: Memantapkan Peradaban Melayu.

Thursday, 18 April 2019

INTERAKSI AL-QURAN DAN SAINS

Bucailleism memang tidak sepatutnya digunakan dalam membuktikan kebenaran Al-Quran. Perkara ini sudah dibahas oleh ramai mufassir moden seperti Sayyid Qutb rhm di dalam Fi Zilal Al-Quran dan lain-lain tafsir.

Cuma mengatakan Al-Quran dan sains itu tiada kaitan dan terpisah kerana sifat tabii kedua-duanya berbeza, itu adalah dakwaan yang kurang tepat.



Az-Zurqani di dalam kitabnya Manahil Irfan ada menulis tentang interaksi Al-Quran dan Sains. Berikut adalah beberapa pandangan yang dibawakan oleh beliau:
1.     Tema dan objektif utama Al-Quran adalah mukjizat dan hidayah. Segala tema serta objektif lain merupakan cabang yang terhasil daripada dua tema utama ini.
2.     Al Quran bukan sebuah rujukan sains untuk mentafsirkan kejadian alam secara terperinci. 
3.     Al Quran tidak menjadikan sains sebagai tema utamanya kerana teori sains itu berubah dari semasa ke semasa, sedangkan wahyu dan kebenaran itu tetap, absolut dan satu walaupun berbeza tempat dan masa.
4.     Walaupun begitu, Al Quran ada menyuruh dan menggalakkan agar kajian sains dilakukan terhadap fenonema alam dan diri manusia itu sendiri.
5.     Al Quran juga ada menceritakan tentang beberapa kejadian alam dan sains, yang mana kejadian itu membawa kepada bukti bahawa wujudnya Pencipta yang menjadikan alam ini sedemikan rupa. Sains diceritakan untuk memenuhi objektif utama Al Quran iaitu hidayah.
6.     Apabila menceritakan tentang sains, Allah menggunakan perkataan yang ringkas tetapi padat, yang boleh menghasilkan pelbagai bentuk kajian. Sebagai contoh, Allah menggunakan perkataan "أزواجا" ketika mengatakan tentang ciptaanNya. Ulama silam menyatakan bahawa azwaja yang dimaksudkan adalah dualisme seperti langit-bumi, siang-malam, jasmani-rohani dll. Manakala ulama kontemporari pula menyatakan bahawa azwaja bermaksud berpasang-pasangan iaitu jantan betina.

Wallahua'lam, kita mohon petunjuk Allah.





Wednesday, 10 April 2019

MODERNISME, DEMOKRASI ILMU DAN KONTEKSTUALITI NAS

Kita biasa mendengar ayat sebegini:
"Agama ini bukan milik ilmuwan dan ulama' sahaja. Ia berhak ditafsirkan oleh semua pihak, dan semua golongan boleh memberikan pandangan mereka dalam isu-isu agama."

Mereka yang lebih ekstrem pula menyatakan "buat apa kita nak rujuk ulama' silam dalam isu agama? Zaman mereka dah berlalu dan fatwa mereka semua sudah lapuk!“

Golongan sebegini, yang menafikan autoriti ilmuwan Islam dalam mentafsirkan agama atas alasan kontekstualiti nas dan demokrasi ilmu ini sebenarnya adalah golongan yang kurang memahami jurang ilmu antara generasi kita dan generasi salaf.



Atas nama konteks, adaptasi, realiti yang berlainan, maqasid, paradigma dan lain-lain, mereka menafikan tradisi keilmuan Islam klasik yang telah menjaga khazanah agama, serta mencipta pelbagai manhaj untuk memastikan agama dan segala alat yang berkaitan untuk memahaminya diwariskan kepada generasi seterusnya.

Mereka merasakan autoriti ijtihad sepatutnya masih terbuka luas, agama masih terbuka pada intrepretasi bebas atas nama demokrasi ilmu, walaupun sebenarnya ijtihad mutlak hampir tiada pada zaman ini. Ijtihad yang ada pada hari ini hanyalah ijtihad yang bercampur dengan taqlid. (meminjam kata Dr Mahmoud Abd Rahman, ketua Jabatan Usul Fiqh Universiti Al-Azhar).

Yang hairannya, dalam masa yang sama mereka ini keras menentang golongan yang tidak berilmu memberikan pendapat tentang isu kesihatan seperti golongan anti-vaksin, doula, flat-earth dan lain-lain. Tetapi khusus dalam isu agama, mereka memperjuangkan demokrasi ilmu dan menolak autoriti khusus dalam bidang agama. Bukanlah mempertahankan golongan pseudo-sains tersebut, namun yang menjadi persoalannya, mengapa terjadi dikotomi sebegini?

Ini adalah beberapa intipati aliran modernisme atas nama Islam. Pada satu sudut, modernis muslim cuba untuk mengeluarkan umat Islam daripada kongkongan taqlid dan kejumudan, namun mereka tersilap apabila menafikan autoriti ilmuwan silam sebagai rujukan agama yang penting.

Sebagai pelajar dalam bidang agama, kita perlu berhati-hati dengan dakyah seumpama ini. Zahirnya indah, namun penuh dengan jarum halus yang berusaha  untuk meruntuhkan kewibawaan warisan ilmu silam.

Wednesday, 3 April 2019

ISRAK DAN MIKRAJ: BELAIAN ALLAH KEPADA RASULULLAH SAW

Sempena Israk dan Mikraj pada hari ini, terkenang pula saat menapakkan kaki di bumi Thaif pada tahun lepas. Perjalanannya jauh, menaiki bas dari Makkah menelan masa 3-4 jam. Jalan yang dilalui pula di lereng-lereng bukit. Sepanjang perjalanan hanyalah pasir dan batu yang kering-kontang, tiada tanaman yang tumbuh subur melainkan sedikit.


Rasulullah SAW pergi ke Thaif dari Makkah, mencari sasaran dakwah baru setelah Quraisy (yang merupakan keluarga baginda) menolak dakwah Islam. Perjalanan yang panjang itu, yang disangka penduduknya merupakan prospek dakwah yang baik, menyambut baginda dengan cercaan dan balingan batu. 

Selepas peristiwa itu, baginda SAW berehat di sebuah pohon dan mengadu kepada Allah dalam sebuah ungkapan syair yang sangat menyentuh jiwa:

“Wahai Allah Tuhanku, kepada-Mu aku mengadukan kelemahan diriku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku di hadapan sesama manusia. 

Wahai Allah Yang Maha Kasih dari segala kasih, Engkau adalah pelindung orang-orang yang lemah dan teraniaya. Engkau adalah pelindungku. Tuhanku, kepada siapa Engkau serahkan diriku? Apakah kepada orang jauh yang membenciku atau kepada musuh yang menguasai diriku. 

Tetapi asal Kau tidak murka padaku, aku tidak perduli semua itu. Kesehatan dan karunia-Mu lebih luas bagiku, aku berlindung dengan cahaya-Mu yang menerangi segala kegelapan, yang karenanya membawa kebahagiaan bagi dunia dan akhirat, daripada murka-Mu yang akan Kau timpakan kepadaku. Engkaulah yang berhak menegurku sehingga Engkau meridhaiku. Tiada daya dan upaya kecuali dari-Mu”.



Manusia mana yang tidak luluh hatinya apabila dilakukan sedemikiran rupa. Datang dengan niat yang baik, tiada apa-apa kepentingan. Namun disambut dengan penuh hina..luka di badan dan perasaan. Tambahan pula ketika itu, tempat baginda berpaut kasih iaitu Khadijah RA dan Abu Talib telah meninggal dunia. Kalaulah manusia biasa boleh merajuk dengan majikan mereka, masakan pula Rasul yang bekerja untuk Allah boleh merajuk dengan majikannya sendiri?

Selepas peristiwa ini, Allah telah menganugerahkan baginda dengan kurniaan ISRAK dan MIKRAJ, sebagai pujukan dan rangsangan kepada Rasulullah SAW. Allah memahami hati budi baginda. Allah memberi peluang kepada Rasulullah untuk bertemu dengan para anbiya' terdahulu, yang telah melalui jalan yang sama serta berhadapan dengan pelbagai dugaan dan mehnah seperti baginda.

Itulah tabiat dakwah dan perjuangan, ia tidak akan bergerak melainkan di hadapannya ada ujian dan cabaran..

Salam Israk dan Mikraj 1440H.

Tuesday, 19 March 2019

BAGAIMANA PARA ANBIYA' MEMBINA PERADABAN

Apabila kita meneliti kisah-kisah Bani Israel di dalam Al-Quran, ia sebenarnya mengisahkan bagaimana nabi-nabi Bani Israel membimbing mereka membina sebuah peradaban yang makmur, lengkap dengan elemen dan ciri-ciri fizikal dan spiritualnya.

Bermula dengan diusir dari Mesir, mereka menuju ke tanah baru, Palestin atau lebih dikenali sebagai The Promised Land. Pada mulanya mereka dihina dan diusir juga di sana, namun Allah melantik Talut sebagai pemimpin mereka, walaupun beliau bukan dalam kalangan keluarga aristokrat dan tidak mempunyai harta yang banyak.

Selepas Talut berjaya mengalahkan Jalut dan tenteranya dengan bantuan Allah, tampuk kekuasaan beralih kepada Nabi Daud AS, dan akhirnya Bani Israel mencapai kemuncak peradaban mereka di bawah pemerintahan Nabi Sulaiman AS.




Walaupun mempunyai jajahan pemerintahan yang melangkaui pelbagai makhluk yang wujud di dunia ini, ia tidak pernah menjadikan Nabi Sulaiman lupa ajaran yang dibawa oleh baginda dan nabi-nabi sebelum baginda, bahawa alam ini keseluruhannya adalah milik mutlak Allah. Baginda hanya diamanahkan untuk menggunakannya sebagai alat untuk memakmurkan dunia dengan agama yang Allah redhai.


قَالَ الَّذِي عِندَهُ عِلْمٌ مِّنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُ قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ (40)

“Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".


Tidakkah kita mengambil pengajaran betapa pentingnya aqidah tauhid dalam pembinaan peradaban, daripada kisah nabi-nabi yang diutuskan kepada Bani Israel ini?

Sunday, 10 March 2019

FEMINISME DARI KACAMATA SEJARAH

Apabila melihat gerakan Feminisme yang bearak baru-baru ini, mengingatkan saya bagaimana wanita diperlakukan dalam sejarah peradaban Barat secara khususnya, dan dunia secara umumnya sebelum kedatangan Islam.



Mereka diseksa, dinafikan hak asasi mereka, menjadi mangsa patriarki dan feudalisme yang mengeksploitasi wanita demi kepentingan mereka. Wanita tiada nilai, diperlakukan seperti binatang dan objek yang tiada nyawa. Lihatlah helaian-helaian sejarah setiap peradaban yang ada di dunia, anda akan lihat bagaimana perkara ni berlaku.

Selepas Renaissance berlaku, hak asasi dan liberalisasi mula menjadi zeitgest zaman itu. Feminisme serta emansipasi wanita juga bercambah seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, menumpang arus reformasi kebebasan yang wujud ketika itu.

Wanita meminta keadilan dan kesamarataan, dilenyapkan patriarki, diberikan hak sama rata bahkan lebih lagi, wujud juga tuntutan ekstrem yang jauh daripada logik dan munasabah akal demi memenuhi kehendak kebebasan mutlak.

Semua ini menggambarkan dua sisi ekstrem yang ada dalam sejarah peradaban manusia; ada waktunya meletakkan wanita sebagai sehina-hina ciptaan, dan sekarang pula mereka dianggap sebagai semulia-mulia ciptaan. Tiada apa sempadan yang boleh membatasi kehendak dan hak mereka walaupun atas nama agama dan budaya.

Sedangkan Islam hadir dengan satu paradigma yang sangat baik terhadap wanita, dengan menjadikan mereka mulia, separuh daripada umat manusia, dan yang melahirkan separuh yang lain. Namun mereka tetap ciptaan yang berbeza dengan lelaki, ada tugas dan tanggungjawab yang unik dan tersendiri yang perlu dilakukan. Mereka juga dibataskan dengan suruhan agama, emansipasi dalam kerangka wahyu Ilahi.

Thursday, 28 February 2019

DEWESTERNISASI DAN ISLAMISASI MANTIQ


Ilmu Mantiq merupakan satu simbol bagaimana cara umat Islam berhadapan dengan anasir asing dari Barat.

Sebahagian ulama’ Islam tidak menolak bulat-bulat ilmu daripada Barat, bahkan mereka mengambil dan memanfaatkannya setelah melalui beberapa proses yang sepatutnya.


Mereka akan menapis ilmu tersebut daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam, kemudian menulisnya semula dengan format baru yang menepati aqidah dan syariat Islam. Dalam bahasa falsafahnya-dewesternisasi, kemudian islamisasi ilmu.

Mantiq, sepetimana yang diketahui-merupakan ilmu yang disusun oleh Aristotle, telah melalui proses dewesternisasi dan islamisasi hingga menghasilkan ilmu Mantiq Islam. Mantiq baru ini menjadi asas penting untuk memhami karya turath klasik Islam, dan begitu signifikan hingga hari ini.