Thursday, 15 March 2018

ULAMA' POLITIK, UNTUK DAKWAH ATAU PARTI?


Baru-baru ini, ada berlaku sedikit kekecohan (dalam wall fb saya) tentang isu ulama/ilmuwan terlibat dengan politik. Mungkin punca kekecohan ini adalah kerana berita Ustaz Hairul Nizam, seorang mahasiswa Mesir berjaya dalam viva master beliau di Uni Al-Azhar, serta khabar Dr Maszlee Malik, seorang ahli akademik dan penganalisis politik tanah air menyertai PPBM.

Berikut adalah sedikit ulasan saya mengenai keterlibatan ulama/ilmuwan dalam politik.


TAKRIF POLITIK

Sebelum masuk kepada isu, kita perlu mentakrifkan terlebih dahulu apa itu politik. Perlu diingatkan, bahawa amalan kepartian adalah BERBEZA dengan politik (as-siyāsah). Imam Al-Banna berkata di dalam risalahnya [Buat Mahasiswa], "Wujud perbezaan antara amalan kepartian dan politik. Adakalanya kedua aspek ini seiringan dan adakalanya tidak. Adakala seorang lelaki itu berpolitik dengan ertikata yang sebenar tetapi dia bukan menjadi ahli mana-mana parti. Adakalanya seorang lelaki itu menjadi ahli parti tetapi dia tidak tahu menahu soal politik. Mungkin ada yang menggabungkan kedua-duanya sekali. Dengan itu dia menjadi ahli politik yang berparti atau ahli parti yang berpolitik. Apabila saya berbicara tentang politik, saya merujuk kepada ertikata politik yang mutlak iaitu mengambil berat soal dalaman dan luaran ummah tanpa terikat dengan mana-mana parti."[1]

Apabila kita memahami perbezaan antara amalan kepartian dan politik, maka kita mudah menangani dikotomi agama-politik yang seringkali disalahfahami oleh kebanyakan orang. Dengan ini, kita memahami ulama’ umat semisal Imam Al-Juwaynī, Imam Al-Ghazālī, Imam Al-Māwardī, dan lain-lain ulama' mujtahidin juga 'berpolitik' dalam ertikata siyasah yang mutlak dan luas.

Kerisauan yang timbul daripada sebahagian mereka yang anti keterlibatan ulama/ilmuwan dalam politik, adalah kerana kecenderungan sebahagian ulama/ilmuwan untuk memberikan fatwa atau ijtihad yang syaz (ganjil) dan marjuh (tidak rajih), demi kepentingan parti politik mereka. Ini kerisauan yang berpijak di atas realiti, di mana kita melihat pelbagai ijtihad yang berubah mengikut kepentingan politik semasa, sedangkan sepatutnya kebenaran itu tetap dan tidak berubah.

Untuk menangani kerisauan ini, sepatutnya ada beberapa institusi ulama’ berkecuali (bukan di bawah kelolaan mana-mana parti politik) yang aktif memperjelaskan peranan, hak dan tanggungjawab kerajaan serta rakyat, memerhatikan setiap tindakan pemerintah agar apabila mereka melakukan yang baik mereka boleh ditaati dan apabila mereka melakukan kesilapan mereka boleh dikritik. Mereka juga boleh memberikan fatwa berkenaan isu semasa untuk panduan pemerintah dan rakyat. Sebagai contoh di Malaysia, institusi ini adalah seperti Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Jabatan Mufti setiap negeri[2], NGO Islam, badan-badan kajian Islam serta penceramah bebas.


PERANAN ULAMA POLITIK

Ulama/ilmuwan yang menyertai parti politik pula, sangat dinasihatkan untuk jujur dengan ilmu yang mereka miliki. Apabila memberi pandangan, mereka perlu mengutamakan ilmu dan kebenaran, bukan semata-mata ingin meraih undi dengan menunggangi agama. Budaya sebegini  sangat berbahaya, dan membawa fitnah yang besar kepada agama itu sendiri. Begitu juga mereka tidak boleh mencela ulama/ilmuwan lain yang tidak menyertai parti politik, kerana sebagaimana yang dinyatakan di atas, politik itu luas dan bukan hanya sempit pada amalan kepartian. Dakwah boleh terus berjalan walaupun tiada parti politik yang berjenama Islam.

Walaupun konotasi keterlibatan ulama/ilmuwan dalam politik agak negatif, tetapi sebenarnya ia juga mempunyai maslahat yang tersendiri. Imam Al-Ghazālī di dalam kitabnya Al-Iqtisād fī Al-I’tiqād menyatakan bahawa antara syarat seorang pemimpin itu adalah mempunyai ilmu (ilmu syarak secara khusus), di mana pemimpin berilmu ini berada di kedudukan pertama untuk dilantik sebagai pemerintah yang ditaati. Namun, jika pemimpin itu jahil, maka beliau perlu mempunyai mustasyār (penasihat) dalam bidang agama. Penasihat ini perlu dirujuk oleh pemimpin dan beliau perlu beramal dengan apa yang dikatakan oleh penasihat ini.[3] Jikalau semua ulama/ilmuwan membisu dan berlepas diri daripada terlibat dalam politik kepartian, maka siapakah yang akan merapati dan membimbing secara dekat para pemerintah yang ada? Siapa pula yang akan membimbing anak-anak pemerintah yang berkemungkinan besar akan menjadi pemimpin pada masa akan datang?

Benar, mungkin ada seribu satu cara dan alternatif lain untuk menasihati pemimpin selain daripada menyertai parti politik. Namun, kita tidak boleh nafikan bahawa ini adalah salah satu cara yang wujud dan berkesan untuk proses bimbingan kepada pimpinan negara.

Justeru, terpulang kepada mana-mana ulama/ilmuwan untuk menimbang maslahah dan mafsadah yang timbul dengan penyertaan mereka ke dalam parti politik. Yang lebih penting adalah kewujudan institusi ulama’ yang bebas, berkecuali  dan aktif dalam membimbing rakyat serta pemerintah dalam kehidupan seharian kerana ijtihad mereka lebih dekat dengan kebenaran berbanding pandangan yang berkepentingan.

Akhirnya, kita perlu memahami kesyumulan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ia mencakupi politik, ekonomi, sosial, pendidikan, spiritual, akhlak, dan lain-lain. Islam berperanan menjaga kemerdekaan dan kedaulatan negara, menanamkan rasa harga diri, serta mengorak langkah ke arah mencapai matlamat agung yang akan menempatkan rakyat negara ini setanding dengan bangsa-bangsa lain atau negara-negara lain. Jika Islam ini bukan politik, bukan sosial, bukan ekonomi dan bukan ilmu pengetahuan jadi Islam ini apa? Adakah Islam ini hanya rakaat-rakaat yang dilakukan dengan hati yang kosong atau hanya sekadar lafaz?

Kerana inilah dikatakan, “agama itu asas, sedangkan kepimpinan itu adalah penjaganya. Segala sesuatu yang tanpa asas akan roboh binasa, manakala sesuatu yang tidak dijaga akan sia-sia”.[4]




[1] Hasan Al Banna, Himpunan Risalah, ms252
[2] Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Mufti adalah di bawah bidang kuasa raja-raja dan sultan, bukan di bawah bidang kuasa kerajaan.
[3] Imam Al-Ghazali, Al-Iqtisad fi Al-I’tiqad, ms398, Dar Minhaj, Jeddah.
[4] Ibid, ms 394.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon