Aqidah merupakan sempadan yang membezakan antara keimanan dan kekufuran. Apabila berlaku kecacatan di dalam aqidah, dikhuatiri seseorang boleh tergelincir ke jurang kekufuran. Aqidah perlu sentiasa suci dan bersih daripada segala penyelewengan yang mengandungi unsur-unsur syirik.
Akan tetapi, ada beberapa pihak yang menggunakan terma dan konotasi aqidah untuk memonopoli isu-isu cabang aqidah yang merupakan khilaf yang diakui wujud dalam agama Islam. Ini menyebabkan istilah aqidah yang sepatutnya menggambarkan asas agama serta unsur penyatuan, telah bertukar menjadi unsur perpecahan yang sangat berbahaya, hingga membawa kepada isu takfir dan tabdi' (membid'ahkan perbuatan) yang tidak berkesudahan.
Tulisan ini cuba untuk menggariskan beberapa paksi aqidah, yang sepatutnya diketahui dan dipegang oleh setiap muslim. Ia cukup untuk menjadikan seseorang muslim, walaupun mereka berbeza dalam beberapa perkara cabang aqidah yang tidak membawa kepada kekufuran. Paksi aqidah ini bersumberkan Al-Quran, As-Sunnah, serta beberapa rujukan aqidah yang muktabar dalam tradisi keilmuan Islam.;
- Beriman kepada Allah yang Esa, yang bersifat dengan segala sifat-sifat kesempurnaan. Tiada pencipta yang berhak disembah melainkan-Nya. Dia suci daripada segala kekurangan.
- Allah berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki, samada perkara yang telah atau akan berlaku. Kemahuan-Nya tidak tertakluk kepada apa-apa syarat. Dia boleh dilihat oleh para mukminin ketika di syurga kelak, sebagai nikmat kurniaan terbesar atas keimanan mereka di dunia dahulu.
- Syurga dan neraka adalah khabar yang benar, serta merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah. Ahli syurga dan neraka kekal di dalamnya. Hari Kebangkitan secara jasmani dan ruhani juga merupakan khabar yang benar yang perlu diimani oleh setiap muslim.
- Para khulafa' (pemimpin) selepas Rasulullah SAW mengikut darjat kemuliaan mereka adalah Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, kemudian Ali bin Abi Thalib.
- Muslim tidak mengkafirkan seseorang pun daripada ahli kiblat, kecuali mereka yang mengingkari perkara asas dan muktamad yang disepakati dalam agama, dan apabila mereka melakukan perkara yang tiada takwilan lain melainkan kekufuran.
- Allah tidak menyerupai makhluk dalam apa-apa keadaan sekalipun, walaupun dari segi laras bahasanya seolah-seolah ada persamaan antara Allah dan makhluk. "Persamaan" ini hanyalah merupakan kelemahan manusia dalam memahami hakikat bahasa yang sesuai untuk mentakrifkan zat dan sifat Allah SWT.
EmoticonEmoticon