Saya lihat secara umumnya ramai yang sudah membicarakan
tentang sekularisme dan menjelaskannya dengan baik. Namun disebabkan ada
beberapa pihak yang enggan merujuk bahan yang sepatutnya menjadi rujukan asasi
bagi gerakan Islam, maka saya cuba menjadi pemudahcara untuk menulis tentang
sekularisme dari sumber-sumber yang lain. Semoga mereka dapat menerima tulisan
ini dengan baik.
DASAR DAN KOMPONEN
SEKULARISME
Idea sekularisme menurut Prof Dr Abdul Rashid Moten, berdiri
di atas tiga dasar; Yang pertama orientasi duniawi dan manusiawi-menafikan
ukhrawi, kedua adalah sains Barat manakala yang ketiga adalah liberalisme.
Beliau menerangkan ketiga-tiga dasar ini dengan lebih
mendalam dalam bukunya Political Science, An Islamic Perspective; “The
first postulate sanctified humanity as the ultimate reality and argues
that the significance and ultimate aim of human beings should be sought with
reference to the present life and social well-being without, reference
to religion or to the life in the hereafter. Western science espouses a
belief in natural causation and consequent emphasis on the generalisability and
applicability of the methodological pattern of Newton's physics for the
discovery of truth. The emphasis is upon reason, observation and
experiment to the neglect of revelation, tradition or authority. Liberalism,
the third constituent, is founded upon humanism, a belief in the integrity and
sanctity of the free individual and upon inherent human rights to life,
liberty and pursuit of happiness.”
Pemikir dan ahli falsafah Islam, Prof Dr Syed Muhammad
Naquib Al-Attas pula mengembangkan idea tentang komponen-komponen sekularisme
daripada penulis buku The Secular City, Harvey Cox. Cox menyatakan
bahawa terdapat tiga komponen sekularisme iaitu, disenchantment of nature,
desacralization of politics, dan deconsecration of values.
Disenchantment of nature, atau penyingkiran
elemen-elemen ruhaniyah daripada alam tabi’i merupakan terjemahan die Entzauberung
der Welt yang diambil daripada Max Weber, seorang ahli sosiolog Jerman.
Al-Attas menyatakan bahawa “the freeing of nature from its religious
overtones; and this involves the dispelling of animistic spirits and gods and
magic from the natural world, separating it from God and distinguishing man
from it, so that man may no longer regard nature as a divine entity, which thus
allows him to act freely upon nature, to make use of it according to his needs
and plans, and hence create historical change and 'development’.”
Al-Attas berpendapat bahawa penyingkiran elemen-elemen ruhaniyah daripada alam
ini merupakan komponen terpenting dalam
sekularisasi dan inilah yang mencetuskan kucar-kacir dalam peradaban Barat dan
agama Kristian.
Beliau menambah lagi, “By the desacralization of
politics they mean the abolition of sacral legitimation of political power
and authority, which is the prerequisite of political change and hence also
social change.”
Akan tetapi, Prof Al-Attas menegaskan bahawa wujudnya pentauliahan agama pada urusan
wilayah dan imarah dalam kerangka agama Islam. Rasulullah SAW dianggap sebagai utusan Allah yang mendapat wahyu daripadaNya untuk disampaikan pada umat manusia, bukan sebagai anak Tuhan yang mempunyai autoriti untuk disembah. Manakala pemimpin yang dilantik dalam kalangan umat adalah sebagai mereka yang diamanahkan untuk menjalankan hukum-hukum Allah, bukan sebagai bayangan Tuhan yang memerintah dunia dengan kekudusan mutlak, yang juta tidak boleh melakukan apa-apa sahaja melainkan dengan mengikut divine and sacred authority yang telah ditetapkan (iaitu Rasulullah SAW).
Beliau mengulas pula tentang deconsecration of
values, “they mean the rendering
transient and relative all cultural creations and every value system which for
them includes religion and worldviews having ultimate and final significance,
so that in this way history, the future, is open to change, and man is free to
create the change and immerse himself in the 'evolutionary' process.”
Ini bermakna kesemua nila-nilai kemanusiaan, method menanggapi kebenaran termasuk agama dan
pandangan alam menjadi relatif dan subjektif kepada seseorang individu, dan harus tandus daripada apa-apa unsur keagamaan
dan spiritual.
FAKTOR PEMILIHAN
SEKULARISME SEBAGAI ALTERNATIF DAN KRITIKAN TERHADAPNYA
Ada beberapa faktor yang menjadikan seseorang yang
beragama memilih sekularisme sebagai matlamat dalam politik. Antara faktor
tersebut adalah ;
1.
Kekecewaan melihat sistem
politik yang berasaskan “agama” tidak memberikan kemajuan dan kemodenan yang
sepatutnya dikecapi.
2.
Kagum dengan apa yang
telah dihasilkan oleh Barat apabila mengamalkan sekularisme dalam sistem
pemerintahan, dengan munculnya era Renaissance.
3.
Sikap sebahagian individu
dan institusi beragama yang menggunakan agama untuk tujuan peribadi dan political
mileage tertentu, yang menyebabkan agama itu dipandang buruk dan serong oleh
masyarakat.
4.
Merasakan sekularisme
sebagai alternatif sesuai untuk mengatasi masalah dan konflik yang sering
berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk.
Berdasarkan faktor-faktor ini, maka kebanyakan rakyat dan
pemerintah hatta islamis sekalipun merasakan sekularisme merupakan kerangka
terbaik bagi membentuk sebuah negara pada zaman moden ini. Tetapi timbul satu
persoalan penting, benarkah alternatif yang telah dipilih oleh mereka ini?
Apabila kita berbicara tentang kemandulan agama dalam
memberikan kemajuan, kita sepatutnya melihat kepada agama yang dikatakan mandul
tersebut secara spesifik, bukan secara umum. Kemunculan sekularisme sememangnya berkait dengan sejarah
panjang agama Kristian, yang didakwa menjadi antitesis kepada kemajuan ilmu,
kebudayaan, teknologi dan ketamadunan. Agama Kristian yang dipimpin oleh gereja
Roman Katolik telah menghalang perkembangan intelek yang menjadi asas kepada pembangunan
tamadun.
Disebabkan ini, Rashid Ghannouchi menyatakan bahawa hegemoni
yang dipaksakan oleh gereja ke atas masyarakat Eropah itu merupakan sebuah
justifikasi bagi kebangkitan sekularisme dan Renaissance. Beliau menambah lagi,
"There might have been genuine intellectual, psychological, and
historical justifications for the rebellion against the religious
establishment, a rebellion, then, deemed essential for the emancipation of man
and the progress of society."
Ini bermakna; individu dan institusi agama Kristian yang
bertanggungjawab kepada percambahan benih sekularisme dalam kebudayaan dan
ketamadunan Barat. Islam tiada kaitan langsung dengan kemunculan ideologi sekularisme. Bahkan
ketika Eropah sedang bergelut untuk mencapai kebangkitan, umat Islam yang
berjiran dengan mereka di Eropah juga seperti di Andalus dan Pulau Sicily
sedang menikmati ketamadunan yang tinggi di bawah naungan Islam.
Al-Attas pula berpendapat bahawa sebenarnya agama
Kristian yang ditentang oleh gerakan rakyat itu (yang diakhiri dengan
kemunculan sekularisme), hakikatnya bukanlah agama Kristian yang asli. Bahkan
ianya merupakan interpretasi liberal yang tiada asanya oleh gereja-hanya untuk
mengingkatkan hegemoni mereka kepada rakyat-. Di dalam buku Islam and Secularism,
Al-Attas mengatakan “Secularization has its roots NOT in biblical faith, but
in the interpretation of biblical faith by Western man; it is not the fruit of
the Gospel, but is the fruit of the long history of philosophical and
metaphysical conflict in the religious and purely rationalistic worldview of Western
man.”
Kenyataan Al-Attas ini menjawab persoalan bahawa kejatuhan
Khilafah Uthmaniyyah (yang membawa pemerintahan berasaskan agama) yang dikaitkan
dengan kebangkitan Mustafa Kemal Atarturk yang membawa idea sekularisme.
Realitinya di penghujung pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah, secara spesifiknya
selepas zaman Sultan Sulayman Al Qanuni (memerintah dari 1520-1566), para sultan,
pembesar serta muslimin sendiri majoritinya sudah berada jauh dari landasan
agama Islam yang sebenar.
Jadi, kekaguman muslimin kepada apa yang dicapai oleh
Barat melalui sekularisme sebenarnya hanyalah paradoks semata-mata. Agama
samawi yang disadur dengan pemahaman falsafah dan metafizik Greek diganti dengan
ideologi baru, yang bersumberkan asas pemikiran rasional yang sama. Agama tidak
sepatutnya menjadi kambing hitam dalam persengketaan ini, kerana hakikatnya
agama yang sebenar-iaitu Islam yang dipelihara sehingga hari ini dan
memansukhkan semua agama samawi terdahulu- sangat bertepatan dengan akal
rasional manusia serta meraikan pemikiran logik dan intelek.
KONFLIK MASYARAKAT MAJMUK
Seringkali konflik masyarakat majmuk menjadi alasan serta
justifikasi sebahagian pihak untuk mengambil sekularisme dan pluralisme sebagai
penyelesaian. Realitinya, kepelbagaian agama dan bangsa bukanlah punca sebenar
kepada konflik yang berlaku. Tetapi cara mengurus kepelbagaian itu yang menjadi
punca, semakin bijak pluraliti diurus, semakin kurang konflik yang akan berlaku
dalam kalangan masyarakat majmuk.
Sebagai contoh, negara Malaysia sudah mempunyai satu
dokumen yang menjadi rujukan dan teras kepada setiap warganegara, tidak kira
daripada mana-mana agama atau bangsa. Dokumen tersebut-iaitu Perlembagaan Persekutuan-perlu
dirujuk setiap kali berlakunya konflik antara masyarakat, sebagaimana yang
dilakukan oleh Rasulullah dengan warganegara Madinah daripada kalangan muslimin
ataupun selainnya melalui Piagam Madinah.
Apa-apa isu sensitif yang berlaku antara masyarakat
majmuk perlu dibaca selari dengan klausa yang wujud di dalam perlembagaan. Ini
akan membolehkan semua warganegara ikhlas yang menghargai negara ini, mengurus
perbezaan yang ada di antara mereka dengan matang dan professional.
Perlembagaan sudah menjelaskan dengan baik tentang pengiktirafan agama Islam
sebagai agama persekutuan, batas-batas pengamalan setiap agama selain agama
Islam, kebebasan beragama dengan had tertentu dan lain-lain lagi. Tidak
sepatutnya berlaku provokasi dan kontroversi yang berterusan jika semua
warganegara memahami intipati perlembagaan ini yang telah ditulis sejak
berpuluh tahun yang lalu.
KESIMPULAN
Sekularisme telah membuktikan kerugiannya dari segi
politik, ekonomi dan sosial jika diimport ke dalam negara-negara Islam. Sepatutnya
pihak yang dikatakan progresif dan menyeru kepada tanwir ini perlu melihat dengan
lebih luas akan kerangka kenegaraan berteraskan Islam, yang sebenarnya
mengandungi banyak sistem dan nilai positif yang boleh diaplikasi dalam konsep
bernegara pada hari ini. Masa depan untuk Islam.