MUQADDIMAH
Setiap kali munculnya
bulan Ogos saban tahun, pelbagai naratif kemerdekaan yang akan muncul daripada
semua pihak. Ada yang mengupasnya dari perspektif sejarah, ada pula yang
membawakan perspektif pencapaian negara sepanjang kemerdekaan, semuanya bagi
menanam semangat patriotik dalam jiwa rakyat Malaysia.
Tetapi hakikatnya,
kebanyakan naratif ini hanyalah romantisisme kemerdekaan yang sentiasa diulang
setiap kali tarikh 31 Ogos berkunjung tiba, tanpa mengetahui apakah esensi
kemerdekaan yang hakiki, serta perspektif Islam dalam bernegara. Kedua-dua item
ini sangat penting, supaya negarawan yang patriotik jelas bagaimana kerangka
sebenar membina sebuah negara yang beridentitikan Melayu Islam, bukan negara
liberal plural yang menghakis jatidiri dan identiti.
KONSEP BERNEGARA DALAM
ISLAM
Adakah Islam
memerlukan sebuah negara? Jika ya, kenapa Islam memerlukannya?
Persoalam ini
merupakan persoalan yang sangat penting untuk merungkai salah faham yang hasil
percampuran faham Islam dengan faham liberalisme dan sekularisme. Islam bukan
sekadar agama dalam skop individu, tetapi merupakan agama yang juga dinamik
dalam skop sosial, meliputi publik dan privasi.
Kerana itu, Islam
tidak sekadar melihat kesalahan-kesalahan dalam jenayah yang dihukum dengan
hukum Hudud misalnya, sebagai semata-mata kesalahan individu. Tetapi ianya
boleh juga menjadi kesalahan dalam
komuniti sosial sekitar individu tersebut.
Kembali kepada
persoalan keperluan Islam terhadap negara. Ya, Islam memerlukan negara, atas
illah perlaksanaan syariat Islam (yang menjadi suruhan di dalam nas secara
qatie) yang sempurna hanya akan dapat dicapai dengan adanya sebuah kerajaan dan
negara. Walaupun di dalam Al Quran tidak dijelaskan dengan sorīh istilah Dār
Al-Islām, namun persoalan yang timbul, bagaimanakah hukum-hakam qadha' dan
jenayah mampu dilaksanakan jika pemerintahan dan kekuasaan bukan milik umat
Islam? Di manakah juga kita meletakkan sirah baginda Rasul sebagai pembina
negara Islam pertama jika kita menyatakan Islam tidak memerlukan sebuah negara?
Selain itu, illah Islam memerlukan sebuah negara juga atas dasar kesyumulannya
yang merangkumi maslahat duniawi (kerajaan dan urusan pentadbiran) serta ukhrawi
(keselamatan dari azab neraka).
Persoalan seterusnya
yang timbul selepas soalan di atas, apakah pula konsep negara yang Islam
kehendaki? Di sini kebanyakan ulama', fuqaha' dan mufakkir Islam berkhilaf,
bahkan khilaf ini berlanjutan lebih-lebih lagi dalam menyesuaikan konsep negara
Islam dalam kerangka moden negara bangsa yang dipaksakan perlaksanaannya kepada
setiap negara di seluruh dunia. Mufakkir Islam Asy-Syahid Sayyid Qutb rhm
berpendapat bahawa negara Islam adalah negara yang menjalankan undang-undang
Islam dan berhukum dengan syariat Islam, manakala pengasas gerakan Jamaat Islam
Maulana Abul A'la Al-Mawdudi menyifatkan konsep teodemokratik (menggabungkan
separuh konsep negara teokratik dan demokratik) adalah paling hampir dengan konsep negara Islam.
Maqasid negara Islam
pula adalah untuk mendirikan syiar agama, menyebarkan keadilan dan tadbir urus
yang baik, mengembangkan dakwah Islam kepada manusia seluruhnya, serta berjihad
mempertahankan Islam dari sebarang bentuk ancaman samada dari dalam ataupun
luar.
HAKIKAT KEMERDEKAAN
Sebagaimana yang
disebut dalam muqaddimah tadi, kemerdekaan mempunyai perspektif yang pelbagai.
Ada yang menyifatkannya sebagai sebuah kebebasan dari cengkaman penjajah, tidak
kurang juga yang mengatakan merdeka untuk menentukan jatuh bangun negara
sendiri tanpa campur tangan dari pihak luar. Benar kemerdekaan adalah
kebebasan, twtapi tidak cukup sekadar itu. Kemerdekaan hakikatnya adalah pemeliharaan
jatidiri dan identiti umat Melayu Islam. Sejauhmana kita berjaya memelihara
jatidiri dan identiti dalam 59 tahun kemerdekaan yang sudah dikecapi?
Taruhan kemerdekaan
pula adalah pada survival umat Melayu Islam dalam meniti arus
globalisasi dan liberalisasi, bukan semata-mata pada perubahan atau pengekalan
kuasa yang berlaku melalui pilihanraya dan peti undi. Isunya bukan pada parti
mana yang anak muda pilih, tetapi pada cara pemilihan itu dilakukan dalam skop
survival umat. Apa guna sebuah bangsa yang mempunyai rumah yang tersergam
indah, bangunan pencakar langit, jawatan yang besar, khazanah dan
perbendaharaan negara yang melimpah ruah tetapi maruah bangsa tergadai,
identiti dan jatidiri lebur, serta kedaulatan negara diserah
pada orang lain
untuk dicaturkan.
REALITI MALAYSIA HARI
INI
Realiti Malaysia hari
ini, boleh diperhalusi dari dua sudut yang berbeza. Sudut pertama, pimpinan
negara (ahli politik kerajaan mahupun pembangkang), manakala sudut kedua
rakyat ataupun umat yang menjadi pengikut kepada pemimpin.
Realitinya, pemimpin samada
dari pihak kerajaan atau pembangkang dibayangi masalah korupsi nepotisme, serta ketirisan dalam pemerintahan.
Tanpa perlu menyebutkan contoh secara spesifik, semua sudah boleh merumuskan
bahawa masalah ini sudah mencapai tahap yang kronik, dan perlu pada rawatan
sesegera mungkin.
Pemimpin Melayu Islam
pula secara khusus, kebanyakannya berfikir secara stereotype dan terikut pada
rentak serta trend semasa dalam memimpin. Secara zahirnya, mereka nampak rancak
dalam berpolitik, berdakwah, berdemo,
berdialog namun pada hakikatnya keadaan umat makin lemah dan terancam tanpa
disedari. Masjid, maahad-maahad tahfiz makin galak dibina, program-program
serta rancangan realiti islamik semakin banyak, namun agenda Islam masih tiada
kemajuan, hanya berputar dalam pusingan yang sama. Pimpinan tertipu dengan
agenda islamisasi tempelan yang tidak memberi sumbangan signifikan dalam
memgembalikan hauzah al-muslimīn (hegemoni muslimin).
Sudut kedua pula, iaitu
rakyat juga mempunyai masalah yang sama. Secara umumnya, rakyat terbahagi kepada
dua kelompok. Kelompok pertama adalah kelompok yang langsung tidak mengambil
endah perkembangan perihal negara samada semakin maju atau mundur,
dan membiarkan diri terus hanyut dengan urusan harian di tempat kerja atau
belajar.
Yang menjadi keutamaan hanyalah periuk nasi masing-masing tanpa menghiraukan
keadaan sekeliling.
Kelompok kedua, adalah
mereka yang sedar dan kritis dalam isu pembangunan negara. Namun mereka ini
kebanyakannya terpengaruh dengan kerangka fikir yang diimport dari Barat, lalu
meletakkan ketamadunan Barat sebagai indeks dan neraca dalam memajukan negara.
Ini menyebabkan rakyat mengabaikan agenda Islam, lantas menyebabkan Islam dan
semangat ketimuran tidak lagi menjadi humum utama dalam fikiran rakyat.
Ustaz Abdullah Zaik
Abdul Rahman, Presiden ISMA pada Mesyuarat Agung ISMA 2006 telah menyatakan,
"Demokrasilah (Barat) yang telah mengajar kita derhaka kepimpinan
Islam (khilafah), membolos diri dari keaslian intima` kita kepada Islam,
berpecah dari kesatuan Islam dan murtad terhadap nilai pegangan. Apa yang tidak
boleh dipaksa dengan wasilah damai dipaksa dengan kekuatan tentera. Inilah yang
sedang kita saksikan di pentas dunia hari ini. Di bawah slogan kempen demokrasi
dan kebebasan, umat Islam tertipu dan membawa campur tangan musuh dalam negara
sendiri."
Wal hasil, rakyat
keliru dan terperangkap dalam kemelut di antara kepentingan umum umat dan
percanggahan kepentingan politik. Rakyat tidak dapat membezakan pilihan-pilihan
yang ada, samada ianya menepati maslahat umat atau hanya memenuhi hasrat
politik tertentu yang tidak membawa apa-apa manfaat pada agenda Islam.
Akhirnya umat lemah lalu diambil kesempatan atas kelalaiam dalam meneliti
perancangan musuh.
Rakyat juga berpecah,
seolah-olah perpaduan pada sesetengah parti politik dianggap sebagai suatu yang
haram dan bertentangan dengan mazhab politik, manakala perpecahan adalah satu
solusi yang ideal untuk perubahan sosio politik negara ke arah yang lebih baik.
Setiap kali ada pelan perpaduan yang cuba dibangkitkan (terutama yang
melibatkan parti Melayu Islam), ketika itulah muncul suara-suara sumbang yang
ingin menggagalkan usaha perpaduan yang hakikatnya akan sangat memacu agenda
Islam dengan lebih dinamik.
MASA DEPAN MALAYSIA
YANG DIINGINKAN
Persoalan akhir yang
timbul, apakah masa depan Malaysia yang diinginkan selepas kita mengetahui
segala perkara ini?
Secara ringkasnya, ada
empat perkara yang wajar dilaksanakan oleh kesemua pihak daei kalangan pimpinan
mahupun rakyat untuk memastikan Malaysia kekal dalam kemerdekaan sebagaimana
yang Islam sarankan.
1.
Kembali semula mengamalkan Islam
secara menyeluruh, kerana hanya dengan Islam yang sebenar negara terjamin untuk makmur.
2.
Mengambil Islam seperti yang
diambil oleh Rasulullah SAW, dan mengambil pandangan yang sederhana dan
pertengahan daripada ijtihad para ulama', serta berpegang
kepada usul tanpa tenggelam dengan perbahasan masalah furu' yang tidak
berkesudahan.
3.
Melayu Sepakat Islam Berdaulat.
Para pemimpin Melayu sewajibnya bersepakat di dalam isu-isu yang melibatkan
umat Melayu Islam, jika tidak mampu bersatu dalam sebuah entiti atau
organisasi.
4.
Waspada terhadap ancaman asing
terhadap perpaduan dan identiti negara sepeti liberalisme, pluralisme,
sekularisme, chauvinsime, gerakan kristianisasi dan juga syiah.