Ramai yang mengatakan tentang isu pemerkasaan mahasiswa
atau student empowerment, baik
dari kalangan individu ataupun persatuan, kerajaan dan pembangkang.
Masing-masing membawa skop pandangan tersendiri terhadap isu ini, dengan hujah
untuk menguatkan pandangan tersebut.
PENILAIAN PUNCA SEBENAR
Saya berpendapat,
kemerosotan mahasiswa perlu dinilai secara holistik dan menyeluruh. Penilaian
tidak boleh dibuat
hanya pada aspek akademik atau aktivisme semata-mata. Salah penilaian
akan membawa kepada natijah yang salah, lantas membuahkan rawatan yang tersasar
dari usul masalah. Dikhuatiri rawatan yang sepatutnya mengubati masalah,
sebaliknya menimbulkan penyakit masalah yang baru dan lain pula.
Pada pemerhatian saya, punca terbesar
kemerosotan mahasiswa adalah kerana kekeringan agenda di peringkat akademik dan
aktivisme. Tiada agenda jelas yang ingin diperolehi dari pembelajaran akademik,
serta aktivisme melulu tanpa mengambil kira hakikat aktivisme yang sebenarnya.
Kerana inilah, kita dapat melihat lahirnya dari rahim institusi pengajian
ini, mahasiswa cemerlang yang hanya
terperuk di perpustakaan tanpa bercampur dengan masyarakat, mahasiswa aktif
dalam persatuan tetapi gagal dalam akademik, serta mahasiswa yang hanyut dengan
dunia game dan movie yang
melampau.
Ada juga mahasiswa yang kononnya berjuang untuk kebebasan akademik,
tetapi rupanya kebebasan yang diperjuangkan itu sempit dan tidak lain hanya
berlegar di sekitar lingkaran politik kepartian. Hakikat kebebasan akademik
yang sepatutnya diperjuangkan adalah kemudahan akses untuk pelajar yang
mengambil sesebuah bidang pengajian khusus, untuk mendalami subjek di luar
pengkhususannya dengan mudah. Ini adalah kerana menara gading merupakan lubuk
ilmu yang agung berbanding sekolah rendah dan menengah. Hanya mahasiswa yang
beragenda dan cakna dengan objektif
kewujudannya di universiti (iaitu untuk berkhidmat kepada umat dan masyarakat)
akan tahu kenapa penguasaan dari pelbagai bidang pengajian amat diperlukan
untuk memberikan sumbangan yang terbaik pada umat.
Ilmu juga pada hakikatnya dinamik, dan menggerakkan minda serta jasad
mereka yang memperolehinya. Ilmu yang hakiki tidak jumud dan rigid, yang
mengurung penuntutnya dalam dinding perpustakaan semata-mata. Jadi, ilmu itu
sebenarnya menjadi hujjah kenapa ilmuwan perlu turun dan membimbing masyarakat
awam yang jahil, bukannya menjadi alasan untuk lebih eksklusif dan membiarkan
umat dibimbing oleh mereka yang bukan ahli dalam bidang tersebut. Ilmu itu
adalah sebuah asbab yang kukuh untuk mencambahkan aktivisme pada kalangan
ilmuwan.
Aktivisme yang berpaksikan ilmu sebenar, tidak boleh disia-siakan pada
aktiviti hiburan dan kebajikan semata-mata tanpa agenda yang jelas berlandaskan
Al-Quran dan As-Sunnah. Saya bukan ingin mengkritik badan-badan amal serta
kebajikan, bahkan sebenarnya memang banyak pembelaan pihak-pihak yang
memerlukan dapat diberikan dengan projek hasil inisiatif badan-badan kebajikan
ini. Tetapi, agenda islah umat tidak akan mampu dilaksanakan melainkan jika
aktivisme dakwah digencarkan, bukan sekadar di peringkat mahasiswa atau belia,
tetapi di semua peringkat dari kanak-kanak hinggalah ke peringkat dewasa.
Aktivisme dakwah merupakan aktivisme yang paling mulia, serta yang paling
menepati kehendak ilmu (iaitu supaya disebarkan) seperti yang disabdakan olen
baginda Rasul S.A.W.
Saya sedar, ramai juga dari ahli gerakan Islam di kampus-kampus
universiti yang tergolong juga dalam kalangan mereka yang saya sebutkan di
atas. Namun, saya tegaskan, ahli gerakan Islam juga tidak mampu melepaskan diri
dari menjadi mereka yang merosot nilai mahasiswanya. Jadi tidak pelik jika
berlakunya simptom-simptom yang sama hatta pada penggerak Islam di kampus dan
kolej universiti. Akan tetapi, kewujudan mereka ini tidak menafikan peri
pentingnya agenda di sebalik akademik dan aktivisme dalam kalangan mahasiswa.
Ini hemat saya. Apa pula hemat anda dalam isu ini?
EmoticonEmoticon