Berikut adalah beberapa cebisan pengalaman yang dapat saya noktahkan serta huraikan sepanjang semester pertama untuk sesi pengajian di Al-Azhar bagi sesi 2015-2016 ini.
ORIENTASI PENGAJIAN
Minggu pertama sebagai mahasiswa Tahun 4 Kuliah
Usuluddin di Universiti Al-Azhar Kaherah banyak mengingatkan saya tentang luas
dan dalamnya cakupan ilmu agama ini.
Masakan ilmu seluas ini, boleh dikuasai dengan
segulung syahādah selepas 4 tahun dirāsah? Jikalau
pelajar sains kesihatan mampu ditempatkan di hospital dan klinik kesihatan
pasca 6 tahun pengajian, saya berani jamin tidak semua graduan pengajian islam
mampu berwacana tentang ilmu yang dipelajari selepas menggenggam ijazah dalam
masyarakat.
Bukanlah mengajak untuk sengaja mengulang tahun,
tetapi memberi isyarat bahawa dirāsah ad-dīniyyah tidak akan
tamat sehinggalah kita dikambus ke liang lahad, biar apa pun sijil pengajian
yang kita dapat. Masa-masa semasa dirāsah amat berharga untuk
hanya disia-siakan dengan perkara yang tidak menyumbang pada diri dan umat.
PENGKHUSUSAN KULIYYAH
Khusus untuk Kuliyyah Usuluddin, semasa tahun
ketiga pengajian, siswa akan diberi pilihan untuk memilih satu daripada empat
pengkhususan; jabatan Tafsir, jabatan Hadith, jabatan Aqidah dan Falsafah,
serta Jabatan Dakwah.
Apabila diperhatikan manhaj yang dipelajari,
kesemua pilihan pengkhususan ini merupakan sintesis lengkap untuk melahirkan
duat yang mantap dari jānib fikri dan amali.
Jānib fikri seorang
daie diasah dengan Tafsir, Hadith dan Aqidah. Setelah fikrah daie tersebut
sejahtera, maka dia akan ke lapangan amali untuk berdakwah pada umat. Segala
method dakwah yang praktikal diaplikasikan, dengan fundamental fikrah yang
penting iaitu quran, sunnah dan pemikiran islami.
Sedarkah kita, Al-Azhar bukan ingin melahirkan
siswazah dalam bidang akademik semata-mata, tetapi hakikatnya melahirkan duat
yang bermanfaat buat umat?
فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ
وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا
"Maka bagaimanakah (keadaan pada hari akhirat
kelak) apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul
mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga
datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?"
[An-Nisā';41]
TIADA SISTEM
Antara kelebihan Uni Al-Azhar yang "tiada
sistem", adalah keterbukaan duktūr menerima kehadiran mahasiswa dari
syukbah/kuliah lain.
Mahasiswa yang ingin hadir ke muhādharah
syukbah/kuliah lain walaupun beliau bukan dari syukbah/kuliah tersebut,
sangatlah dialu-alukan. Ini alternatif yang praktikal jika duktūr yang
sepatutnya hadir tiada atau mahasiswa terlewat hadir dan tidak dapat masuk ke
dewan kuliah.
Persoalannya, berapa ramai daripada mahasiswa yang
cintakan ilmu dan mampu memanfaatkan masa sedemikian rupa?
HAKIKAT DEGREE DAN PHD DALAM BIDANG AGAMA
Doktor Tauhid kami di syukbah Aqidah Dan Falsafah
Universiti Al Azhar, Prof Dr Mahmoud Husein mengatakan "syahādah degree hanyalah
sijil untuk membaca. Manakala syahādah PhD adalah sijil untuk
menulis. Kamu semua belum memulakan lagi langkah ilmu yang besar ini."
Sentap. Saya setuju dengan sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa penulisan merupakan sebuah keperluan pada setiap peringkat, walaupun kita masih belum memiliki apa-apa akreditasi pengajian untuk bidang yang diceburi. Tulisan-tulisan ini yang akan memebentuk pemikiran masyarakat seawal tunas persekolahan, sebelum dicemari dengan dakyah-dakyah pelik yang berkumandang di kaca televisyen. monitor internet dan corong radio.
Tetapi, bagi saya pendapat Prof Dr Mahmoud Husein ada benarnya, di sudut yang berbeza. Mutu dan kualiti penulisan tidak akan dapat digilap melainkan selepas satu tempoh pengajian yang lama dan berterusan. Penulis prolifik tidak akan mampu menulis karya yang sempurna jika tafaqquhnya belum cukup mendalam serta diiktiraf oleh mereka yang alim. Kerana itulah beliau menyuarakan pendapatnya yang sebenarnya tepat pada sudut kualiti dan mutu penulisan.
Tetapi, bagi saya pendapat Prof Dr Mahmoud Husein ada benarnya, di sudut yang berbeza. Mutu dan kualiti penulisan tidak akan dapat digilap melainkan selepas satu tempoh pengajian yang lama dan berterusan. Penulis prolifik tidak akan mampu menulis karya yang sempurna jika tafaqquhnya belum cukup mendalam serta diiktiraf oleh mereka yang alim. Kerana itulah beliau menyuarakan pendapatnya yang sebenarnya tepat pada sudut kualiti dan mutu penulisan.
Sejarah Islam menyaksikan kebanyakan ilmu Islam
didominasi oleh Al-Ajam (bukan Arab). Al-Allāmah dalam pelbagai bidang ilmu,
jaguhnya hampir semua bukan Arab seperti Sa3d Ad-Dīn At-Taftāzānī dalam ilmu
Kalam, Ibnu Manzūr pengarang karya agung Lisān Al-Arab, serta yang
masyhur Imam Bukhari dan Muslim dalam ilmu hadith.
Realiti
yang sama berlaku dalam kuliah di Al-Azhar juga. Rakan-rakan dari bilād min
warā' an-nahar serta negara lain seperti Kazakhstan, Afghanistan, Nigeria,
Turki, Indonesia dan Singapura sangat aktif dan cemerlang dalam pengajian.
Cuma sayangnya, ulama' dari bangsa Turkic dan
rantau Caucasus ini jarang kita ambil peduli dan teliti ilmu dan amal dakwahnya
sedangkan mufakkir dakwah terkenal Ustaz Muhammad Ahmad
Ar-Rasyid pernah memperdengarkan pada kita kisah Fādhil Pasha dari
Dagestan.
ILMU AL-IJTIMA3 (SOSIOLOGI) DAN ILMU AN-NAFS (PSIKOLOGI)
Ilmu Sosiologi dan Psikologi sangat penting untuk
individu/jemaah yang menitikberatkan dakwah dan tarbiyah. Mempelajari
tentang tabiat masyarakat, struktur dan latar sosial yang ada dalam
masyarakat akan memberikan gambaran jelas tentang sasaran dakwah. Ini amat
penting untuk meletakkan manhaj yahg bertepatan dengan sasaran dakwah.
Ilmu Psikologi juga memainkan peranan dalam
tarbiyah dan pembangunan insan. Mempelajari teori tentang sikap, karakter,
hubungan sikap dengan suasana sekeliling akan mengajar murabbi skill yang
penting untuk meningkatkan potensi manusia.
Buktinya, kita melihat susuk dakwah agung seperti
Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna dan Sayyid Qutb yang merencana keberjayaan
dakwah Ikhwan Muslimin ke seluruh ceruk di Mesir serta seantero dunia. Begitu
juga Ali Shariati yang dikatakan sebagai "RausyanFikr" dalam
kebangkitan Iran, yang meneliti faktor-faktor sosial yang terpendam dalam
masyarakat. Walaupun mereka bukanlah ahli sosiologi, tetapi mereka membuktikan
mereka lebih layak digelar sosiologue berbanding pakar
sosiologi yang lain yang mungkin berputar di sekitar teoretikal dan konseptual.
Kedua-dua ilmu ini ada diajar dalam Kuliyyah
Usuluddin Syukbah Aqidah dan Falsafah, sayangnya tidak teliti dalam
pengajarannya dan sedikit dianaktirikan berbanding ilmu-ilmu lain.
1 comments so far
EmoticonEmoticon