Tuesday, 7 July 2015

SURAT TERBUKA KEPADA ISLAMIS

Pasca Rabī3 Arabī (Arab Spring), dunia disajikan dengan kegagalan Islamis dalam membawa wacana politik yang dikatakan progresif untuk menyelesaikan masalah sosial rakyat, membangunkan ekonomi negara dan menegakkan keadilan dan urustadbir yang cekap.

Dunia menyaksikan kekalahan FJ Party (Ikhwan Muslimin) di Mesir, Renaissance Party (An-Nahdhah) di Tunisia, kecelaruan beberapa Islamis di Algeria, kemelut dalaman yang dihadapi oleh HAMAS di Gaza dan islamisasi beransur-ansur yang dilakukan oleh Turki tergugat dengan keputusan pilihanraya yang tidak menyebelahi AK Parti. Ini menyebabkan ramai daripada masyarakat keliru dan celaru bagaimana projek Islam ini boleh berjaya dan menggantikan wacana politik autoritarianisme dan nepotisme yang saban hari menghancurkan negara. Islamis dilihat tidak kompeten dalam mengharungi politik untuk menggantikan regim yang memerintah.


Situasi ini yang berlaku di sekitar Tanah Arab, juga sudah menjadi fenomena di Malaysia. Pola ini semakin hangat pasca Muktamar PAS pada Jun 2015 yang lalu, apabila golongan Islamis Fundamentalis memenangi kerusi Jawatankuasa PAS Pusat. Bukan saja golongan asatizah lepasan Timur Tengah di dalam PAS menjadi sasaran kritikan, bahkan label-label seperti konservatif, tidak progresif, mundur, lapuk dan pelbagai lagi label telah dipukul rata kepada semua asatizah dalam pelbagai lapangan dan gerakan. Ditambah lagi dengan ahli-ahli parti Islam dan pakatan sendiri yang menjuarai suara ini, dan disahut pula oleh golongan masyarakat pertengahan yang rata-rata sering dimanipulasi oleh media perdana dan alternatif yang berkepentingan.

Hal ini menyebabkan islamisasi yang cuba dilakukan oleh pelbagai gerakan Islam di Malaysia tergugat, apabila masalah dalaman parti disensasikan dan dipukul rata pada semua Islamis yang beraktivisme di Malaysia. Rakyat juga semakin keliru, adakah Islam boleh menyelesaikan masalah harian mereka, atau adakah mereka perlu beriman dengan demokrasi liberal atau komunis sosial sebagai alternatif dalam pemerintahan? Dan yang paling mendukacitakan, apabila kelompok Islamis sendiri yang pernah aktif bergelanggang dalam parti dan gerakan Islam berduyun-duyun mencari wadah baru yang lain serta sinis terhadap projek Islam yang selama ini menjadi wirid mereka dalam usrah dan daurah yang dianjurkan.

Untuk mengelakkan pola ini menjadi pandemik kepada rakyat Malaysia secara umunya, islamis perlulah melupakan perbezaan furū' (cabang) yang berlaku dalam kalangan mereka, dan bersepakat bersama untuk melakar agenda islamisasi yang kompeten dalam menghadapi globalisasi yang meruncing dan mengancam kedaulatan negara Malaysia yang beridentitikan Islam. Selagi Islamis tidak bersatu, selagi itu chauvinis, sekularis, liberalis dan sosialis akan mengasak untuk menghilangkan jatiditi muslim di Malaysia.

Selain itu, untuk mengatasi masalah kebolehpasaran golongan asatizah secara khususnya dan islamis secara umumnya, semua mereka  mestilah menguasai dua aspek penting, iaitu kemahiran berorganisasi dan penguasaan ulūm syarak.
Melihatkan komen-komen dari ahli-ahli PAS, ada yang mengatakan ramai asatizah muda yang pulang dari Timur Tengah kebanyakannya lemah dalam urus tadbir organisasi, dan hanya lebih gemar mengkritik dari mencadangkan inisiatif penambahbaikan, serta kurang terlibat bersama komuniti masyarakat dalam majlis keramaian setempat.
Maka untuk itu, di samping keperluan mengasah ilmu dan kefahaman dalam nas-nas syarak, asatizah juga hendaklah meraih pengalaman mengurus organisasi, berinteraksi dengan komuniti yang luas (bukan sekadar komuniti negeri masing-masing sahaja), serta melibatkan diri dalam kegiatan sosial setempat. Baru ketika itu asbab untuk menjadi agen untuk mengubah umat akan jadi sempurna.
Mu'az bin Jabal berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ingatlah, bahawa lingkaran Islam selalu berputar, maka berputarlah bersama Al-Quran ke mana pun ia mengarah (samada di atas atau di bawah). Ingatlah, bahawa Al-Quran dan kekuasaan akan berbeza arah (berpisah). Maka dengan itu, janganlah kamu memisahkan diri dari Al-Quran. Ingatlah, bahawa kelak akan berkuasa atas kamu pemimpin-pemimpin yang akan memutuskan untuk diri mereka sesuatu yang tidak diputuskan untuk kamu. Jika kamu membangkang kepada mereka, maka sudah tentu mereka akan membunuh kamu. Akan tetapi, apabila kamu mematuhinya, maka mereka pasti akan menyesatkan kamu. Para sahabat bertanya: "Apa yang harus kami lakukan pada waktu seperti itu wahai Rasulullah? "Baginda menjawab: "Lakukanlah seperti yang dilakukan oleh para pengikut Isa bin Maryam, di mana mereka menyebar dengan membawa gergaji, lalu memikul kayu. Kerana, mati dalam ketaatan kepada Allah jauh lebih baik daripada hidup dalam keadaan bermaksiat kepadaNya";- [Hadith riwayat Tabrani]


AMAR ISMAT BIN MOHD NASIR,
Jabatan Aqidah dan Falsafah,
Kuliyyah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon