LGBT DAN LIBERALISME
Liberal tidak semestinya sentiasa
progresif. Demokrasi Liberal pula bukanlah kemuncak sejarah manusia seperti
yang ditulis oleh Francis Fukuyama, dan yang dikatakan konservatif (walaupun
saya tidak setuju dengan istilah ini) tidaklah bermakna mundur ke belakang.
Lihatlah bagaimana akhirnya
liberalisme membawa kepada pengiktirafan golongan minoriti LGBT di Amerika dan
menjadi legal dalam undang-undang. Pada tanggal 27 Jun 2015, Mahkamah Tinggi
Amerika Syarikat telah memutuskan bahawa perlembagaan mengiktiraf kedudukan dan
hak LGBT, dan sekaligus membenarkan perkahwinan sejenis di kesemua 50 buah
negeri AS. Ini salah satu bukti jelas betapa liberalisme membawa manusia yang
dikatakan sudah mencapai kemuncak peradaban mundur ke belakang, ke zaman purba
prasejarah
Jika sebelum ini, liberalis dan
sekutunya cuba berlepas diri dari dilabel sebagai pemangkin gejala rogol dan
rompak (kerana liberalisme menafsirkan liberal dengan kebebasan
perbuatan individu tanpa sekatan kerajaan atau pihak berwajib), maka untuk isu
LGBT, tidak syak lagi pendokong tegarnya adalah golongan liberalis dengan alasan
komuniti LGBT ini tidak mengganggu ketenteraman rakyat lain (kerana had
kebebasan dalam liberalisme adalah kebebasan orang lain), serta hujah dangkal yang
mengatakan bahawa komuniti ini dilahirkan secara fitrahnya memang songsang dan
mereka perlu diraikan haknya.
Apapun hujah rasional yang cuba
dikemukakan oleh komuniti LGBT dan golongan liberalis ini, kesemuanya adalah
hujah dangkal yang tidak berasakan atas hujah akal dan agama yang sejahtera. Tiada
agama di dunia ini, agama Islam atau selainnya yang membenarkan amalan seks
songsang, serta akal yang sihat juga tidak dapat menjustifikasikan wujudnya
kecenderungan kepada jantina sejenis sejak lahir. Yang wujud hanyalah lintasan
hati yang disuburkan oleh faktor persekitaran dan normalisasi masyarakat yang
tidak menganggap LGBT sebagai satu kesalahan jenayah yang jijik. Konsepnya sama
seperti istilah psikologi “cognitive dissonance”, yang membawa maksud suatu
kesalahan itu akan dianggap benar jika majoriti orang melakukan ‘kesalahan’
tersebut.
KEMUNDURAN DAN DEMOKRASI LIBERAL
Gelagat sebegini mengembalikan
kita ke zaman prasejarah, walaupun kita hidup pada zaman moden yang serba maju
dan canggih. Dengan teknologi yang ada, kita mampu mengenali dunia, galaksi
serta cakerawala, namun kita semakin tidak mengenali diri sendiri, kalah pada
nenek moyang kita yang hidup pada zaman prasejarah yang lebih mengenali fitrah
manusiawi. Adakah zaman akan datang kita terpaksa pula menerima kewujudan
golongan paedophilia, zoophilia dan necrophilia atas hujah
hak asasi terlampau?
MENCONTOHI PERJUANGAN KOMUNITI
LGBT?
Terdapat satu tulisan oleh seorang
pimpinan gerakan mahasiswa Islam yang cuba memberikan sebuah sudut pandang
baru, yang kononnya mengkehendaki golongan dan pelobi anti LGBT untuk mencontohi
pelobi pro LGBT dalam menegakkan hujah dan membuat desakan bagi merealisasikan
tuntuan mereka. Tiga poin yang dikemukakan adalah ruang undang-undang,
pemerkasaan kajian atau penyelidikan dan perbaiki hubungan sosial sivil.
Bukanlah membakulsampahkan tulisan
itu, namun dilihat tulisan itu seolah-olah ditujukan pada konservatif pro agama
dan status quo, yang dilihat tidak cekap dalam memanfaatkan ruang
undang-undang, malas membuat membuat kajian dan sering menimbulkan huru-hara.
Ini dapat dibuktikan dengan di akhir tulisan tersebut, beliau membawakan konsep
‘Rahmat Untuk Semua’, yang sering digunakan sebagai justifikasi hujah untuk
cuba berlaku “tasahul” (longgar) dalam urusan agama.
Sebenarnya isu yang paling penting
adalah kembali kepada asas negara kita iaitu Rukun Negara. Rukun ini dikongsi
oleh semua bangsa dan agama (bukan rukun Islam atau Iman yang hanya dipercayai
oleh Melayu Islam), yang mana salah satunya adalah keluhuran perlembagaan, di
mana secara jelas perlembagaan tidak membenarkan sebarang aktiviti seks songsang
dalam negara. Isunya bukanlah pada memanfaatkan ruang undang-undang, tetapi isu
utama adalah menghormati Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Kenaapa perlu meminda undang-undang yang sudah disepakati oleh semua bangsa
sejak kemerdekaan, sedangkan kita sudah mengetahui tuntutan sebegitu (dalam kes
ini tuntutan LGBT) akan mengkucar-kacirkan peradaban manusia?
Tiada isu yang perlu diungkit dalam
kajian dan penyelidikan, kerana kajian yang menunjukkan keburukan LGBT
tersangat banyak dalam jurnal-jurnal universiti dan penyelidikan doktor pakar
dari sudut kesihatan dan kemasyaraktan. Bahkan ketamadunan manusia juga akan
hancur dari segi demografi, asal-usul keturunan dan lain-lain aspek jika seks
songsang dibiarkan berleluasa dan legal dalam undang-undang. Tiada fiqh ijtihad
atau isu fitrah, bukan sahaja dalam agama Islam, bahkan dalam agama-agama lain
yang mengiktiraf golongan LGBT ini untuk terus menonjolkan kesongsangan mereka
secara terbuka.
Keamanan sosial sivil pula hanya
dicapai, apabila semua rakyat menghormati dokumen tertinggi sesebuah negara (dalam
konteks Malaysia adalah Perlembagaan Persekutuan). Keamanan tersebut tidak
dapat dicapai jika tuntuan-tutntan hak asasi terlampau ini sentiasa wujud dalam
masyarakat, terutamanya dari kalangan minoriti yang kecil. Tuntutan-tuntutan
sebegini yang sentiasa menjadikan negara tidak tenteram dan huru-hara.
Pejuang hak asasi perlu membezakan
hak layanan kepada tahanan LGBT dan hak asasi kewujudan golongan LGBT itu
sendiri. Seringkali mereka memperjuangkan hak kewujudan golongan LGBT, namun
membawakan hujah dan contoh kes mak nyah atau pondan yang dicabul oleh
penguasa. Ini adalah falasi dalam argumen dan tertolak sama sekali, serta tidak
boleh dijadikan hujah untuk membela kewujudan golongan yang mengamalkan seks
songsang. Sepatutnya mereka memperjuangkan hak banduan/tahanan dalam lokap
supaya sentiasa dilayan dengen berhemah seperti yang ditunjukkan oleh
Rasulullah S.A.W, bukannya memperjuangkan kewujudan mereka yang terang-terang
bertentangan dengan akal rasional dan wahyu Tuhan.
KESIMPULAN
Paradoks liberal yang terbesar
adalah memaksa orang lain untuk menganut liberalisme juga. Memaksa majoriti
rakyat mengikitraf kewujudan, menerima ‘fitrah kewujudan’ mereka dan membiarkan
mereka lakukan apa yang dihajati atas alasan hak asasi dan kebebasan bersuara.
Retorik!
AMAR ISMAT BIN MOHD NASIR,
Jabatan Aqidah dan Falsafah,
Kuliah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.
EmoticonEmoticon