Wednesday, 15 April 2015

UKHUWAH TONGGAK DAKWAH

ONTOLOGI UKHUWAH

            Ukhuwah secara lingusitik bermakna persaudaraan, ikatan dan tautan. Ukhuwah boleh disandarkan kepada mereka yang mempunyai hubungan pertalian darah seperti saudara kandung, ataupun tidak kerana ukhuwah dalam maknanya yang luas, meliputi kesemua ikatan walaupun tiada pertalian darah secara khusus.

            Namun secara ontologinya, istilah ukhuwah tidak sesuai untuk disandarkan kepada hubungan-hubungan biasa yang tidak didasarkan atas dasar aqidah. Sebagai contoh, seorang die-hard fan kelab terkemuka Chelsea akan mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan peminat Chelsea jika terserempak di stadium. Perbualan mereka menjadi rancak, lidah mereka menjadi senada dan jurus sokongan menjadi selari. Hubungan ini tidak diistilahkan dengan ukhuwah walaupun secara linguistiknya sudah tepat sandaran tersebut.

Mengapa istilah ukhuwah ini secara ontologinya berbeza dan tidak boleh dinisbahkan pada semua hubungan yang wujud di dunia ini?

            Ini adalah kerana, hakikat wujudnya ukhuwah itu sendiri adalah unik dan tidak sama dengan hubungan-hubungan biasa dan picisan yang lain. Ukhuwah didasari dengan benih ikhlas, disirami dengan titisan iman, disemai dengan baja thiqah, dan dimatlamatkan untuk mencapai keredhaan Allah. Lantas ini menjadikan istilah ukhuwah hanya layak dinisbahkan pada muslim dan mukmin, yang setiap harinya menjadikan Allah sebagai matlamat hidup dan Syariat sebagai perundangan harian. 


UKHUWAH TONGGAK DAKWAH


            Jika istilah ukhuwah hanya sesuai dinisbahkan pada muslim apabila diteliti dari sudut ontologinya, maka golongan duat yang berperanan sebagai agen taghyīr lebih perlu dan utama untuk mencapai hakikat ukhuwah ini. Ini sangat bertepatan dengan tindakan Rasulullah sebaik sahaja tiba di Madīnah, kerana Fiqh Tamkīn (Pengukuhan) sesebuah harakah dan hadhārah sangat bergantung kepada aspek aqīdah dan ukhuwah ini. Mesej dakwah tidak akan mampu tersebar luas ke seluruh pelusuk alam jika kedua-dua aspek ini tidak tersemat kukuh dalam jiwa para duat.

            Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rāsyid dalam tulisannya Al-Awāiq (Hambatan-Hambatan Dakwah) sering menyamakan amal ukhuwah ini sama seperti amal ibadah yang lain. Langkah seorang akh menuju ke rumah seorang akh yang lain untuk menziarahinya adalah sama pahalanya dengan langkahnya menuju ke masjid untuk beribadah, bahkan boleh jadi lebih besar ganjaran pahala yang akan diperlolehi. Ini bermakna, sebagaimana seorang akh mengambil berat akan amal ibadahnya sehari semalam, begitu jugalah dia sepatutnya mengambil berat akan saudaranya yang lain seperti ibadah itu sendiri. Ini amat bertepatan dengan sabda baginda Rasulullah dalam sebuah hadith;
"Dan sungguh seseorang di antara kalian berjalan untuk memenuhi hajat saudaranya lebih baik baginya dari beri’tikaf di masjidku selama satu bulan”. (HR. Al-Hakim)

            Bahkan di dalam tulisan beliau yang lain iaitu Ar-Raqāiq (Pelembut Hati), Syeikh Ar-Rāsyid menegaskan bahawa tasbih (baca: zikrullah) dan ukhuwah adalah manifestasi yang terbit dari iman, selain menyatakan ukuwwah adalah rukun terpenting di dalam harakah selepas solat dan tasbih. Bagi beliau, jurus amal ibadah dan ukhuwah ini terbit dari satu unsur yang sama, iaitu hati yang beriman. Ini bermakna ukhuwah adalah directly proportional (berkadar terus) dengan iman, dan begitu juga ukhuwah terdedah kepada futūr (lemah) dan akhlāt (percampuran; niat tidak ikhlas) seperti iman.

            Di sini, kita mampu mensinergikan tulisan Syeikh Ar-Rāsyid dengan rukun ukhuwah yang dipelopori oleh Asy-Syahīd Imam Hasan Al-Banna dalam Arkān Baiah. Imam Al-Banna juga menyifatkan ukhuwah adalah saudara kepada iman, dan melayakkan paras minima ukhuwah jika berada dalam keadaan futūr. 
"Yang aku maksudkan dengan ukhuwah ialah : Hati dan jiwa ditautkan dengan aqidah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan paling berharga. Ukhuwah adalah saudara bagi iman. Perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan. Tiada kesatuan tanpa kasih sayang.. Serendah-rendah ukhuwah adalah salāmatus sadr (bersangka baik), manakala setinggi-tinggi ukhuwah adalah īthār (menngutamakan saudara yang lain)"


ZUMRAH QALBUN WĀHID (PASUKAN SATU HATI)
           
            Apabila seorang akh memahami Fiqh Al-Ukhuwah Al-Imāniyyah ini, dia akan menyedari bahawa ikatan yang dibina sesama para duat ini bukanlah ikatan yang sembarangan, bahkan adalah ikatan yang akan menyebabkan hati-hati duat ini menjadi satu,. Mereka mampu menerima kelemahan akh yang kain, kerana mereka sedar akan kata-kata Fudhail Ibn Iyyadh; "Barangsiapa yang mencari saudara tanpa kelemahan, maka dia akan hidup kesunyian tanpa teman." Mereka berkongsi rasa yang sama. Mereka berbicara dengan laras bahasa yang senada, beramal dalam kerangka orbit yang serupa, kerana matlamat dan niat mereka tidak berbeza, iaitu keredhaanNya dan syurga Firdaus Al-A3la.

                 Maka jadilah mereka pasukan satu hati, yang bersatu dalam menaikkan panji Islam, lantas mencarik dan memecahkan tembok jahiliyyah dengan kekuatan aqidah dan ukhuwah yang sudah dibentuk dan dilentur di bawah naungan Allah. Mereka menjadi tenteraNya yang paling ampuh dan teguh, sebagaimana tentera para sahabat di zaman Rasul yang menyaksikan generasi unggul menawan dunia walaupun mempunyai kelengkapan material yang terbatas,
           


Artikel Terkait


EmoticonEmoticon