UNSUR SEJARAH DAN WATAK
Apabila mengkaji mengenai mana-mana aliran pemikiran yang ada di dunia pada hari ini, tidak kajian tersebut mesti disertai dengan analisis pada sejarah Barat, kerana hampir kesemua aliran pemikiran yang wujud merupakan produk daripada sejarah Barat. Untuk pluralisme secara khusus, selain merupakan sebuah produk sejarah Barat pada kurun ke 18, ada teori yang dikemukakan oleh Dr Hesham Sakr, pakar psikologi dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang mengatakan bahawa pluralisme bermula seawal kurun ke 15 di India dengan kemunculan agama Sikh (yang cuba menyetarakan antara agama Islam dan Hindu). Pluralisme di India timbul dalam bentuk agama baru yang menyamatarafkan agama-agama yang ada, bukan seperti yang berlaku di Barat, di mana aliran pemikiran yang wujud adalah terpisah daripada agama.
Ada 3 faktor utama yang melatari kemunculan arus pluralisme dalam sejarah Barat;
1. Pertumpahan darah yang berlaku pada masyarakat Barat ketika itu adalah disebabkan dasar eksklusif dalam DAKWAAAN KEBENARAN, yang dimonopoli atas nama agama (Truth Claim). Contoh dakwaan kebenaran yang ketara adalah tiada keselamatan (salvation) melainkan mereka yang menganut agama Kristian Katolik. Isu yang sama juga dirakamkan dalam Al-Quran,
"Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar" [Al-Baqara:111)
2. Sikap saling memusuhi dan tidak toleran masyarakat dalam menerima kepelbagaian agama (Religious Intolerance). Ini mengakibatkan negara yang mempunyai penganut agama yang berlainan tidak tenteram dan sering bertelagah sesama sendiri.
3. Peranan pluralisme yang sangat
signifikan (Significant Role) dalam meleburkan permusuhan
yang berlaku. Pluralisme juga dilihat mampu mengurangkan peperangan yang
berlaku antara Kristian Katolik dengan Protestan, Mormon, Orthodoks dan
sebagainya. Selain itu, ia juga dilihat berkesan menangani permusuhan Barat dengan Islam yang disifatkan dengan terrorisme dan ekstremisme.
Terdapat dua watak utama yang melatari aliran pluralisme ini, iaitu Wilfred Cantwell Smith dan John Hicks. W.C Smith mengatakan
bahawa perkataan Islam yang ada di dalam Quran merupakan sebuah kata terbitan
yang bermaksud penyerahan (submission) pada Tuhan. Ini bermakusd, Islam bukanlah sebuah sistem yang
menyeluiruh yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia seperti politik,
ekonomi, sosial, peurndangan, hubungan luar dan lain-lain. Jadi secara tidak
langsung, Yahudi dan Krisitan juga adalah "muslim" kerana mereka juga
telah menyerahkan diri mereka kepada "Tuhan". John Hicks pula telah
memanipulasi kata-kata ulama' sufi terkenal, Syeikh Jalāluddin Ar-Rūmī "The lamps maybe different,
but the Light is the same, it comes from the beyond" untuk menjaja fahaman pluralisme. Sedangkan frasa
tersebut merujuk kepada watak Musa vs Firaun yang mungkin berubah mengikut peredaran zaman, namun
perwatakan/karakter Musa vs Firaun (kebenaran lawan kebatilan) akan kekal sepanjang
sejarah. Hicks menyalahtafsirkan frasa ini dengan tujuan menjaja hujah pluralisme
yang dipegangnya pada umat Islam.
DASAR DAN PAKSI FALSAFAH PLURALISME
Akar pluralisme adalah LIBERAL. Secara ringkasnya,
masyarakat Barat ketika Zaman Pertengahan merasakan bahawa agama telah mengongkong mereka daripada maju dalam kehidupan. Agama menjadi candu pada masyarakat. Akal, logik serta
rasional telah bermaharajalela lalu menentang agama yang disifatkan sebagai rigid. Pluralisme secara khusus,
bermula dengan pemisahan masyarakat dengan sumber agama yang berautoriti. Kehidupan
mestilah tidak terkongkong dengan agama, pihak serta nas-nas yang berautoriti.
Masyarakat mestilah liberal dan bebas pada dalam semua sudut, tanpa campurtangan agama.Tokoh falsafah ulung, Prof Dr Syed Naquib Al-Attas menyifatkan perkembangan ini sebagai, 'segala realiti dan kebenaran kini hanya berasaskan akal rasional, dan akal telah
menggantikan peranan Tuhan."
Selain itu, agama hanya dibataskan pada
PENGALAMAN KEAGAMAAN seseorang (Religious Experience), bukan sebagai sebuah ajaran yang diwahyukan oleh
Tuhan. Ini bermaksud, tiada kesalahan pada pengamalan ibadah yang pelbagai,
kerana interpretasi semua orang tentang beribadah pada Tuhan itu berbeza. Fahaman
ini sangat bertentangan dengan Islam, yang secara keseluruhannya bersumberkan
wahyu Allah yang suci dan bukan disandarkan pada mana-mana individu.
Antara paksi yang
tidak kurang pentingnya dalam pluralisme adalah RELATIVITI. Relatif dalam menyatakan
kebenaran. Tiada agama yang boleh mendakwa ajaran mereka adalah benar secara
mutlak, dan memaksa orang lain menerima "kebenaran" yang dibawa oleh
mereka. Ini bermaksud, semua agama adalah benar dan akan membawa
penganutnya ke syurga. Tidak wujud istilah mereka yang akan diazab dan dihumban
ke neraka. Bagi pluralis, mereka berpegang dengan prinsip "The truth is relative, and
the relativity is true."
Seterusnya, pluralisme juga berdiri atas dasar ABSTRAK. Kebenaran
bukan suatu perkara yang konkrit sepanjang masa dan tempat. Sesuatu perkara itu mungkin dianggap benar pada hari semalam, namun tidak semestinya pada hari ini perkara
tersebut masih kekal kebenarannya. Dasar sebegini amat mencelarukan dan
merosakkan tingkah laku manusia. Hal ini boleh dilihat dalam isu LBGT, di mana
sebelum kurun ke 20, isu LGBT ini dianggap sebagai sebuah kesalahan dalam apa
jua agama. Namun hari ini, bukan sekadar seks songsang, seks dengan binatang
juga dihalalkan atas nama hak asasi manusia.
JARUM PLURALISME DI MALAYSIA
Tidak dapat dinafikan, arus pluralisme sudah mula mengasak secara deras di bumi Malaysia. Secara sedar atau tidak, arus ini semakin menular dalam masyarakat Malaysia yang dikatakan sering bertelagah kerana sosiopolitiknya bercorak multi-religious. Antara jarum-jarum yang dapat dikenalpasti adalah dengan KECELARUAN MAKNA, secara tidak sedar. Kita dapat melihat terdapat ramai yang cuba menyamakan pluralisme dengan plurality iaitu kepelbagaian agama (religious diversity) dan sikap toleransi beragama (religious tolerance). Ini boleh dilihat pada kenyataan Dr Chandra Muzaffar dalam kenyataan beliau yang tersebar dalam sebuah laman portal berita online. Begitu juga dengan kenyataan Dato' Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang menggesa Majlis Agama Islam Selangor untuk mendefinisikan apa itu liberalisme dan pluralisme, sedangkan umum sudah mengetahui apa yang dimaksudkan dengan dua-dua istilah itu. Istilah ini akan dimanipulasi sehinggalah tujuan akhir pluralisme itu tercapai, iaitu menyetarakan semua agama yang wujud di Malaysia.
DIALOG ANTARA AGAMA (Interfaith Dialogue) juga antara alat yang sering digunakan oleh pluralis. Dialog ini tidaklah menjaja pluralisme secara mutlak, namun apabila dialog dianjurkan dengan tujuan untuk mencari common ground antara agama, maka ini boleh mengundang unsur-unsur pluralisme untuk memonopoli dialog tersebut. Akhirnya kebenaran akan berpihak kepada agama yang memenangi hujah dalam dialog antara agama tersebut. Jika dialog dianjurkan bertujuan untuk menunjukkan kebenaran agama Islam (salah satu wasilah dakwah), maka itu tidak menjadi sebarang masalah, bahkan digalakkan seperti apa yang dilakukan oleh Dr. Zakir Naik dan Brother Shah Kirit.
Jarum ketiga yang boleh dikenalpasti adalah MONOPOLI ISU. Apabila ada isu berkaitan yang timbul, unsur-unsur pluralisme akan disuntik secara halus dan tanpa disedari, Lebih berbahaya lagi, kadang-kadang ia dilihat seolah-olah sebuah unsur yang islamik, sehingga terdapat beberapa orang Islam yang terpedaya dengan kenyataan tersebut. Sebagai contoh, isu kematian mendiang Karpal Singh yang mengundang polemik ramai pihak. Ada yang cuba mengatakan mendiang Karpal tidak akan dimasukkan ke neraka, dengan justifikasi bahawa beliau merupakan seorang yang adil (dalam istilah demokrasi) dan memperjuangkan hak rakyat yang tertintas. Takkan Allah yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui akan memasukkan seorang yang baik ke dalam neraka? Kenyataan seperti ini sangat sinonim dengan apa yang diperjuangkan oleh W.C Smith. Beliau mengatakan bahawa bukan mereka yang beriman dan beragama Islam sahaja yang masuk ke dalam syurga, bahkan mereka yang BAIK dan mentaati "Tuhan" juga berkelayakan untuk mendapat nikmat di dalam syurga. Ini secara jelas bertentangan dengan nas yang sudah termaktub dalam Al-Quran dan Hadith.
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya." [Ali-Imran 116]
TUNTUTAN DAN DESAKAN dari beberapa NGO juga dilihat sebagai salah satu jarum pluralisme di Malaysia. Dalam isu ini. Sisters In Islam (SIS) dilihat jelas menjulang pluralisme apabila menegapalai 14 tuntutan Interfaith Council (IFC) serta beberapa kenyataan mereka yang berbaur pluralisme. Selain itu, Islamic Renaissance Front (IRF) serta Insitiut Kajian Dasar (IKD) juga antara pertubuhan yang lantang memperjuangkan kesamarataan antara agama. Antara tuntutan oleh pihak-pihak ini yang boleh disebut secara ringkas di sini adalah seperti isu kalimah Allah, pentafsiran semula Al-Quran yang diihat hanya dimonopoli oleh golongan ulama', penghapusan perkataan Islam dalam MyKid, festival Seksualiti Merdeka dan beberapa isu lain yang jelas menunjukkan belang mereka di sebalik kebaikan yang diperjuangkan.
BERINTERAKSI DENGAN PLURALISME
Pelbagai pihak perlu berperanan untuk membendung fahaman pluralisme ini daripada berleluasa. Antara pihak yang perlu berperanan adalah umara' (pemimpin), ulama' (ilmuwan) serta individu itu sendiri. Umara' perlu menggunakan kuasa yang ada untuk menghalang mana-mana pihak atau acara yang cuba menyebarkan fahaman pluralisme, seperti yang dilakukan oleh MAIS yang mengharamkan SIS serta semua petubuhan yang terbabit dalam memperjuangkan fahaman yang menyimpang daripada Islam. Ulama' pula perlu memberikan kesedaran, bimbingan, serta amaran kepada masyarakat tentang bahayanya fahaman ini pada semua penganut agama, samada islam atau agama-agama lain. Manakala individu perlu sentiasa cakna dengan isu semasa dan tidak jemu untuk menambahkan ilmu agama, supaya sentiasa sedar dengan ancaman yang wujud di sekeliling.
RUJUKAN
- Fi Zilāl Al Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb
- At-Taaddudiyah Ad-Dīniyyah wa Ittijāhatuha wa Mauqif Al-Islām minha, Prof Dr. Hesham Hosni Sakr
- Islam dan Pluralisme Agama, Dr. Khalif Muammar
- Pluralisme Agama, Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah, Pertubuhan MUAFAKAT Malaysia
AMAR ISMAT BIN MOHD. NASIR
Jabatan Aqidah dan Falsafah,
Kuliyyah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.
1 comments so far
EmoticonEmoticon