Friday, 31 October 2014

MERUNGKAI KHAZANAH FALSAFAH DAN WORLDVIEW ISLAM (SIRI 2)

TEORI KEMUNCULAN FALSAFAH

Berbicara tentang asal usulnya wujudnya falsafah di dunia ini, pasti akan dikaitkan dengan teori Barat yang mengatakan bahawa ilmu falsafah muncul semasa tamadun Yunani yang dimulakan oleh Thales of Miletus (624-546 BC), sebelum mencapai kemuncaknya dengan Socrates, Plato dan Aristotle.

Namun, ada teori lain yang boleh diperhalusi juga, tentang kemunculan falsafah sebenarnya bermula dari Timur. Teori ini dibuktikan melalui 3 aspek;
  1. TAKRIF falsafah, iaitu Love of Wisdom. Jika kita mengatakan tamadun Yunani yang melahirkan falsafah, maka kita menafikan keupayaan tamadun-tamadun purba lain yang muncul lama sebelum Yunani untuk berfikir dan belajar. Ini tidak logik kerana umum sudah maklum akan keagungan tamadun purba yang banyak mengeluarkan hasil-hasil yang hebat.
  2. FOKUS falsafah. Tamadun Purba seperti Tamadun Mesir, Indus dan Hwang Ho sudah lama ber'falsafah", namun falsafah mereka itu terkandung dalam AGAMA yang mereka anuti. Jadi secara zahirnya falsafah itu tdak wujud, namun hakikatnya ia wujud jika diamati dalam aliran agama tamadun tersebut. Tamadun Yunani pula telah memisahkan falsafah dan agama, menyebabkan falsafah itu wujud secara zat dan tidak dicampur adukkan dengan agama.
  3. PENULISAN falsafah. Tidak dinafikan, tamadun Yunani berjaya menulis dan merekodkan buah fikiran mereka dalam bentuk tulisan yang kemas dan diwaris sehingga kini. Tamadun-tamadun purba lain hanya merekodkan di dinding-dinding dan batu-bata yang berselerak sahaja. Ini  menyebabkan buah fikiran mereka itu tidak dapat dinisbahkan kepada perbahasan falsafah secara tersusun untuk dijadikan rujukan.

MENOLAK SALAH FAHAM TERHADAP FALSAFAH 



Perbahasan falsafah dalam Islam tidak sunyi daripada kritikan oleh beberapa ulama' yang terkemuka di dunia. Antara ulama' yang lantang mengkritik golongan tasawwuf, ahli kalam dan falsafah adalah Imam Ibnu Taimiyyah. Beliau menolak dan membantah dengan keras beberapa aliran yang berpunca dripada falsafah yang bertentangan dengan Al-Quran, As-Sunnah dan manhaj As-Salaf (aliran Muktazilah, Jabariyyah, Qadariyyah dan lain-lain). Imam Ibnu Taimiyyah bukan sekadar mengkiritik, namun menyertakan kritikan dengan hujah naqli dan aqli yang kukuh. Imam Al-Ghazali juga mengkritik beberapa salah faham yang berlaku dalam kalangan ahli falsafah dalam karangannya yang bertajuk Tahāfut Al Falāsifah (Kecelaruan Ahli-ahli Falsafah).

Namun begitu, kritikan yang dilontarkan oleh Imam Ibnu Taimiyyah tidak bersifat mutlak. Kritikan itu berlaku hanya pada aliran falsafah yang BERTENTANGAN dengan Al-Quran dan As-Sunnah secara jelas. Masalah timbul apabila ada beberapa ahli falsafah Islam yang mengambil pemikiran falsafah dari tamadun Yunani (Aristotle) secara bulat-bulat tanpa menapisnya mengikut kerangka Islam. Perbahasan metafizik dibahas mengunakan akal semata-,mata, sedangkan epistemologi Islam dalam hal tentang kewujudan alam ini berdasarkan pada wahyu Ilahi, bukan sekadar rasional akal semata-mata.

Imam Al-Ghazali pula hanya mengkritik cara fikir AHLI FALSAFAH, bukannya ilmu falsafah itu sendiri. Ilmu itu secara zatnya suci dan bersih, namun dikotorkan oleh tangan-tangan ahli falsafah yang menyimpang daripada tujuan asal pembelajaran ilmu falsafah secara holistik. Hakikatnya, Islam (baca:wahyu) tidak membekukan akal, bahkan Islam dengan sifat kesyumulannya MEMBIMBING akal untuk berfikir dengan cara yang betul. Ini menjadikan hubungan antara wahyu dan akal ini adalah takāmul, iaitu saling menyempurnakan antara satu sama lain. 

Allah berfirman,

إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya;  ..Aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-An3am: 50)

Indahnya Islam dalam mengatur cara hidup manusia. Apabila ulama' Islam 'berfalsafah' untuk agama, timbullah beberapa disiplin ilmu baru yang membantu agama Islam ini difahami oleh umatnya sendiri. Falsafah dalam Aqidah telah melahirkan Ilmu Kalam, falsafah dalam Fiqh telah membuahkan Usul Fiqh, falsafah dalam Hadith melahirkan Ulum Hadith manakala falsafah dalan Quran telah menghasilkan Ilmu Tafsir.


EPISTEMOLOGI ISLAM

Antara perbahasan yang amat penting dalam ilmu falsafah ialah perbahasan epsitemologi. Epistemologi secara ringkasnya bermaksud FALSAFAH ILMU, yang membahaskan tentang isu yang berkait dengan tabiat ilmu manusia, seperti apa itu ilmu, sumber-sumber ilmu, sifat-sifat utama ilmu, jalan memperolehi ilmu,batas-batas ilmu, kemungkinan memperolehi ilmu dan lain-lain yang berkaitan.

Epistemologi Islam sangat isitmewa dengan epistemologi lain yang wujud. Buerbeza bukan sekadar pada satu perkara, bahkan berbeza dari semua sudut, sebagai contoh sumber dan tujuan akhirnya. Epistemologi Islam dirangka bertepatan dengan kehendak agama itu sendiri.

Dalam perbahasan epistemologi, Islam tidak mengehadkan sumber ilmu pada sumber-sumber empirikal (berdasarkan kajian dan pengalaman) dan rasional (logik akal) semata-mata, namun Islam telah menambah satu sumber ilmu yang amat penting iaitu revelasi (wahyu), yang tidak terdapat dalam mana-mana sumber epistemologi lain. Ini bermakna, wujud sesetangah pengetahuan yang tidak mampu dicapai oleh akal dan kajian manusia, tetapi hanya boleh diperolehi setelah disingkapkan oleh Allah SWT melalui Rasul dan KitabNya. Segala perbahasan metafizik yang merentasi perkara fizikal yang boleh dikaji dan difikirkan oleh manusia telah diajar oleh rasul dan Kitab, yang diutuskan oleh Allah.

Selain itu, ilmu bukan murādun lizātihi, tetapi ianya murādun lighairihi. Ini bermaksud, tujuan ilmu itu dipelajari bukan kerana zat ilmu itu sendiri, tetapi ilmu dipelajari untuk sebuah tujuan yang lebih besar dan murni, iaitu IMAN dan TAQWA. Ilmu yang tidak meninggikan darjah iman dan taqwa adalah tidak bernilai di sisi epistemologi Islam.



RUJUKAN

  1. Fi Zilāl Al Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb
  2. Al-Madkhal ila Al-Falsafah Al-Ammah, Syeikh Hasan Mahmud 
  3. A'lam Al-Falsafah Al-Islāmiyyah fil Masyriq, Syeikh Jamal Afifi
  4. Political Science; An Islamic Perspective, Abd Rashid Moten
  5. http://eprints.usm.my/9060/1/IBN_TAYMIYYAH_DAN_PANDANGANNYA_TERHADAP_KONSEP_KENABIAN_ALIRAN_FALSAFAH_ISLAM_AL-MASYA'IYYAH.pdf
  6. http://danihamdani.wordpress.com/2012/12/17/pandangan-ibnu-taimiyah-terhadap-filsafat-dan-para-filsuf/
 Bersambung...