Tuesday, 30 September 2014

SEKULARISME, BERHALA DUNIA SEPANJANG ZAMAN

Hairan apabila ada cendekiawan Muslim yang galak memperjuangkan negara Sekular. Mungkin mereka terlupa istilah dan definisi sebenar negara dalam rangka politik Islam dan Siyāsah Syariyyah. Tidak sedikit daripada mereka yang mengatakan negara Sekular adalah solusi bagi negara yang mempunyai pelbagai populasi bangsa, yang kerap kali timbul huru-hara disebabkan rusuhan kaum.

SEKULARISME NEGARA KETIGA

Sekularisme di negara-negara ketiga diadaptasi dari aliran sekular Barat dan sekular Marx. Pimpinan-pimpinan negara yang baru mencapai kemerdekaan dari imperialis selepas Perang Dunia Kedua menyedari sekular Marx bukanlah identiti yang sesuai untuk diimport pada negara mereka. Begitu juga pemisahan total antara agama dan negara dalam aliran sekular yang ditaja Barat tidak boleh dipraktikkan, kerana latar belakang keagamaan yang kuat di negara-negara ketiga terutamanya di Asia Tengah dan Nusantara.
Maka pimpinan-pimpinan negara ketiga ini cuba mencari unsur-unsur "positif" daripada sekularisme untuk disesuaikan dengan negara masing-masing. Justeru sekularisme negara ketiga ini bukanlah bererti hilangnya agama dalam public sphere (skop awam), tetapi lebih kepada religious neutrality (kesetaraan antara agama). Religious neutrality ini diinterpretasikan sebagai kesamarataan peluang untuk semua agama bernaung di bawah struktur negara dan keterlibatan yang sama dalam hal ehwal awam/umum. 

Persoalan yang timbul, wujudkah negara yang mempunyai kesetaraan antara agama yang total atau ini hanyalah retorik yang tidak menjadi praktik? India pernah cuba melaksanakan sekularisme seperti ini, namun kesamarataan peluang dan keterlibatan yang sama itu tidak pernah wujud. Dan yang paling penting, adakah identiti sebuah negara dalam konteks politik dan sejarah Islam memang sedemikian rupa?

IDENTITI NEGARA ISLAM 

Sifat zāti (essential) sebuah negara Islam berdiri atas tiga unsur. At-Tauhīd (unity and sovereignty of Allah), Ar-Risālah (messengership of Muhammad) dan Al-Khilāfah (vicegerency of man).

Manakala sifat aradhi (accidental) sebuah negara Islam adalah segala unsur yang tumbuh dari unsur-unsur sifat zāti, sebagai contoh kesamarataan, hak asasi, kebebasan bersuara dan segala yang berkaitan dengan akhlāq (ethics).

Mengatakan negara-negara OIC adalah negara Islam yang sempurna merupakan definisi yang kurang tepat. Tetapi mendakwa Kanada sebuah negara yang lebih Islamik adalah istilah yang sangat dangkal dan terkeluar daripada topik perbincangan negara dalam kerangka syarak. Kerana sifat zāti adalah karakter tabie yang mesti wujud untuk mendapat jenama negara Islam.

Perjuangan menegakkan negara Islam adalah perjuangan mengidentitikan negara dengan kedua-dua sifat zāti dan aradhi-itulah syiar yang difahami-. Perjuangan ini perlulah seiring dan tiada dikotomi antara keduanya. Jangan pula ada yang mengatakan, sibuk memperjuangkan simbol agama semata-mata tetapi mengabaikan intinya.

Firman Allah;

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. <Al Hajj: 32>

Dalam sebuah negara Islam, semua agama diberikan peluang untuk dipraktikkan dalam private sphere (skop peribadi). Tiada sekatan yang dikenakan untuk apa-apa ritual keagamaan diamalkan, selagi tidak melanggar lunas-lunas yang ditetapkan oleh undang-undang dan kontrak sosial negara. Cuma ini tidak menafikan Islam adalah agama tertinggi dalam negara, dan tidak boleh diganggu gugat oleh agama-agama lain, seperti yang dilaksanakan oleh Rasulullah dan Khulafā' Ar Rāshidīn pada zaman pemerintahan mereka. Bahkan sebenarnya, Islamlah agama yang paling menjamin keadilan dan kesaksamaan antara kaum, seperti yang pernah berlaku semasa Saidina Umar Al Khattāb menawan Palestin. Hakikatnya, 'keadilan' dan 'kesaksamaan' yang dilaungkan Barat  bersifat selektif dan hanya memilih beberapa isu yang menguntungkan mereka sahaja. 

KESIMPULAN 

Sekularisme, liberalisme, humanisme dan modernisme adalah aliran pemikiran dan falsafah yang diarusperdanakan untuk menentang agama dan mencarik unsur-unsur agama dari kehidupan. Baik pada politik, sosial, ekonomi atau nilai-nilai peribadi.

Ini bertepatan dengan apa yang diungkapkan oleh ahli falsafah dan penyair Jerman pada zaman Renaissance, Friedrich Nietzsche yang mengungkapkan "God is dead". Tuhan sudah berkubur. Agama sudah tamat tempoh sah lakunya!

Bagaimana sebuah gerakan ataupun individu Islam, yang menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai manhaj dan hakimiyyah Allah sebagai matlamat, boleh mendokong agenda sekularisasi? Paradoks! Ini tak mungkin berlaku, kerana agama dan sekular itu sifatnya bertembung dan tidak akan bersatu di bawah satu panji yang sama. Melainkan gerakan dan individu yang hanya menempelkan jenama Islam pada fizikal mereka semata-mata.

RUJUKAN
1. Fi Zilal Al-Quran, Asy Syahid Sayyid Qutb
2. Political Science; An Islamic Perspective, Prof Dr Abd Rashid Moten