Fikrah Mufāsolah (Pemisahan Total) yang diarusperdanakan oleh Asy Syahīd Sayyid Qutb adalah satu formula penting dalam membentuk acuan pemikiran yang bersih daripada mana-mana unsur hawa dan jāhiliyyah, dalam merangka masyrū3 (projek) Islam atas muka bumi.
Elemen penting dalam fikrah ini, adalah pemisahan antara wahyu dan akal dalam berinteraksi dengan setiap inci kehidupan. Persoalan timbul, adakah wahyu menganaktirikan akal, dalam merangka sistem hidup? Adakah Islam menghalang daripada mengoptimakan akal dalam berfikir? Sampai ada yang menganalogikan wahyu-akal (revelations-reasons) ini umpama air-minyak, tidak akan bertemu sama sekali. Paradoks!
MEMBONGKAR SEJARAH
Kebangkitan golongan rasionalis yang mempertuhankan akal ini boleh diimbas dengan perkembangan sejarah tamadun manusia itu sendiri. Kita dapat melihat evolusi pemikiran manusia dengan berkembangnya tamadun, melalui suasana keagamaan yang melatari zaman-zaman tertentu. Bermula dengan animisme, paganisme dan Tauhid, zaman terus berkembang hinggalah berlakunya Renaissance. Zaman Renaissance yang menandakan kebangkitan ilmu dan pemikiran ini juga menoktahkan sebuah isu yang amat penting, iaitu tamatnya pengaruh agama (baca:Kristian Katolik) dalam kehidupan masyarakat Eropah. Ketika inilah wacana rasional dipopularkan, meninggalkan wacana wahyu yang ultra konservatif dan ketinggalan! Wahyu menjadi antitesis pada akal dan logik.
Agama Islam juga tidak terlepas daripada mengalami pengalaman yang sama dengan perkembangan sosiopolitik di Eropah. Sejarah menjadi saksi akan kemunculan beberapa aliran ekstrem, seperti aliran ultra konservatif yang sentiasa membid'ahkan perkara baru dalam agama (Salafi Ekstrem), juga aliran rasional yang mengutamakan hujah akal melangkaui hujah wahyu (Muktazilah). Tidak dinafikan, kedua-dua aliran ini memainkan peranan penting pada bidang masing-masing untuk menjaga kesucian agama Islam. Salafi Ekstrem cuba mematahkan wacana yang terkeluar daripada literal wahyu, manakala Muktazilah cuba mempelopori arus reform (pembaharuan) dalam agama. Namun apabila tidak berlaku sintesis yang bersepadu dan seimbang antara wahyu dan akal, maka timbullah idea-idea keterlaluan seperti yang ada dalam aliran Salafi Ekstrem dan Muktazilah.
Jadi, bagaimakah idea sebenar wacana wahyu dan akal yang dianjurkan oleh Islam, berdasarkan sirah baginda Rasululllah SAW?
NOKTAH PENTING
1. Peranan akal dalam Islam amat berbeza, jika dibandingkan dengan agama dan aliran lain yang wujud. Islam tidak pernah menganaktirikan dan mematikan akal, bahkan menganjurkan supaya manusia berfikir dan mengkaji, dalam KERANGKA WAHYU. Allah berfirman,
إِنْ
أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ
وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ.
Maksudnya; ..Aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-An3am: 50)
Begitu juga sepanjang peristiwa dalam sirah, Rasulullah tidak menafikan peranan akal seperti dalam peristiwa Khabbab Bin Munzir ketika Perang Badar dan Salman Al Farisi di mana Rasulullah memberi peluang untuk para sahabat memberikan buah fikiran masing-masing.
2. Akal berperanan sebagai dalīl dan penguat hujah yang terkandung di dalam syarak. Sebab itu dalam penghujahan hukum ada istilah dalīl naqlī (bersumberkan nas) dan dalīl aqlī (bersumberkan akal). Epistemologi Islam tidak hanya bersumberkan empirikal dan rasional, tetapi ditambah dengan wahyu sebagai sumber utama. Namun apabila berlaku pertembungan antara wahyu dan akal, maka wahyu akan diutamakan. Ini menepati kaedah dalam aliran Asyāirah الحسن ما يسحنه الشرع والقبح ما يقبحه الشرع. Selari dengan firman Allah,
كُتِبَ
عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا
وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ
لَّكُمْ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya; Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al Baqarah : 216)
3. Islam meletakkan kerangka fikir yang sempurna pada akal manusia, dengan menjadikan wahyu sebagai landasan yang memandu gerabak akal. Akal tidak boleh sewenang-wenangnya menerawang tanpa petunjuk daripada wahyu. Neraca yang menjadi ukuran dalam Islam, adalah neraca wahyu, bukan neraca akal semata-mata yang kadangkala menyimpang daripada bimbingan wahyu.
Inilah WAHYU (Revelations/Revealed Knowledge) yang dimaksudkan. Tidak bermakna AKAL dinafikan secara total apabila wacana wahyu diarusperdanakan, kerana wahyu di dalam Islam adalah hasil cerapan antara teks wahyu dan konteks akal. Sintesis yang sempurna yang tidak pernah disaksikan oleh mana-mana peradaban manusia!
EmoticonEmoticon