Sunday, 24 August 2014

JATIDIRI VS GLOBALISASI; MENDEFINISIKAN IDENTITI BANGSA

DERAS ARUS GLOBALISASI

Dalam kerancakan dunia menghadapi arus globalisasi dan gerbang dunia tanpa sempadan, tamadun Islam menghadapi beberapa masalah untuk berinteraksi dengan arus deras yang menderu di serata dunia ketika ini.

Masalah yang timbul adalah kecairan jatidiri (self perception) pada identiti sesebuah bangsa. Jatidiri masyarakat dunia cuba disatukan dengan menjadikan hak asasi (baca: Deklarasi Hak Asasi 1948) dan konsep negara bangsa sekular sebagai sumber rujukan utama dalam pembentukan jatidiri. Ini akan menjadikan masyarakat dunia yang berbilang ras dan bangsa ini kepada sebuah bangsa sahaja, iaitu bangsa "manusia" yang akan bernaung bawah satu pemerintahan New World Order, bertuhankan humanisme dan satanisme.




Arus idea ini sangat bercanggah dengan fikrah Islam. Islam tidak mencairkan jatidiri mana-mana bangsa yang menganut agama Islam. Islam sebuah agama abstrak, yang perlu dikonkritkan dalam jasad sebuah bangsa. Budaya sesebuah bangsa boleh dipraktikkan selagimana berlandaskan lunas-lunas syarak. Tidak wujud istilah Islam meleburkan identiti bangsa kerana ketika zaman Rasulullah, baginda tidak menghilangkan identiti kabilah-kabilah Arab, Parsi, Habsyah dan lain-lain yang memeluk agama Islam. Apa yang dipesan oleh baginda hanyalah amaran tentang bahaya al-asobiyyah al-jāhiliyyah (membantu kaum keluarga atas dasar kezaliman).

MENGHADAPI GLOBALISASI

Sifir bagaimana tamadun Islam menghadapi arus globalisasi amatlah mudah, namun hakikatnya memerlukan perancangan yang teliti dan kemas. Sebuah bangsa Islam perlu menguatkan jatidiri dan identiti, serta konsisten dalam menjaga dan memelihara kedua-duanya. Mana-mana bangsa, Islam atau bukan Islam yang lemah dan cair jatidirinya akan mudah diidentitikan oleh anasir-anasir luar yang diimport masuk dengan pelbagai cara. Jika utuh dan teguh jatidiri sesebuah bangsa, maka arus globalisasi sukar untuk menyerap masuk ke dalam jiwa bangsa tersebut.

Contoh yang mudah dan signifikan bagi rakyat Malaysia boleh disaksikan pada rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan yang pekat loghatnya, apabila merantau ke negeri lain dan bertutur dengan mereka, pasti akan menggunakan loghat asal mereka, kerana normalisasi budaya itu sudah mengalir dalam jiwa mereka sejak sekian lama. Ini berbeza dengan rakyat Kelantan yang sedikit cair dan longgar loghatnya, mereka akan cenderung untuk bertutur dengan bahasa baku apabila merantau ke luar negeri. Daripada kedua-dua situasi ini, kita dapat merumuskan bahawa rakyat Kelantan yang berloghat pekat akan lebih dikenali identitinya, kerana menzahirkan ciri-ciri khusus yang hanya ada pada mereka.

Atas sebab itulah, bangsa Islam perlu diteguhkan jatidiri mereka dengan ajaran Islam dan budaya bangsa yang tidak bercanggah dengan syarak. Peneguhan jatidiri ini adalah sifir penting untuk diaplikasikan oleh tamadun Islam dalam kerangka menghadapi hegemoni Barat yang menggunakan globalisasi sebagai salah satu medium untuk menguburkan semua agama di dunia ini, terutamanya agama Islam. Pembangunan agama, bahasa, budaya dan sejarah perlu diperkasakan demi memastikan survival tamadun Melayu Islam pada era milenia ini.

Sesuai dengan kata pahlawan Melayu Islam ulung Hang Tuah, "TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA..!

Sunday, 10 August 2014

MERUNGKAI KHAZANAH FALSAFAH DAN WORLDVIEW (PANDANGAN ALAM) ISLAM

AL-ISTIKHLAF

Antara sebab utama yang menyebabkan falsafah politik Islam berbeza dengan politik Barat adalah unsur Rabbāniyyah ataupun Ketuhanan yang terkandung dalam ajaran Islam.

Prinsip yang melatari unsur ini adalah al-istikhlāf, di mana manusia dilantik dan diamanahkan oleh Allah untuk menjadi khalīfah (pentadbir) di muka bumi. Bertitik tolak daripada unsur ini, segala cabang pemerintahan seperti legislatif, eksekutif dan judisiari akan berdasarkan wahyu Ilahi, kerana seorang muslim mengimani bahawa Allah adalah penggubal dasar, polisi dan undang-undang hakiki di dunia ini.

Ini sangat berbeza dengan falsafah politik Barat yang kebanyakannya terbentuk daripada acuan "atheis" yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, dan acuan "sekular" yang memisahkan unsur agama dan negara. Jika ada pun agama yang menjadi dasar pemerintahan di Barat, agama itu menjadi kuda tunggangan untuk monopoli politik semata-mata, sebagaimana dunia menyaksikan kerajaan Kristian Katolik semasa zaman Gelap. Lantas ini menunjukkan penyelewengan agama yang dianuti oleh Barat!

KONSEP TAUHID DAN ONTOLOGI TUNGGAL

Konsep Tauhid, yang merupakan asas dalam aqidah Islam memainkan peranan penting dalam menentukan pandangan alam Islam, terhadap politik, ekonomi, sosial serta semua sisi kehidupan manusia. 




Menurut Prof Dr Ahmet Davutoglu, asas prinsip universal Islam berdiri atas fikrah ketuhanan, iaitu Aqidah Tauhid La Ilah illa Allah, yang juga boleh ditafsirkan sebagai Tuhan yang Suci. Daripada fikrah ini, muncul unsur tanzih (penyucian) Allah, iaitu sebuah kaedah dasar yang membawa makna penyucian Allah daripada segala kekurangan dan penyekutuan. Kaedah ini menafikan segala autoriti dan legitimasi selain daripada Allah, serta ketaatan mutlak segala makhluk dan alam kepada Allah tanpa disetarakan dengan mana-mana unsur lain.

Konsep Tauhid ini boleh dinisbahkan sebagai "Ontologi Tunggal" dalam istilah falsafah. Allah sebagai pencipta al-mumkinat (alam dan segala makhluk), lantas menafikan Atheisme, Darwinisme dan Naturalisme. Selain itu, konsep ini meletakkan Allah sebagai the first cause (sebab utama), yang membawa makna setiap event (peristiwa) dan effect (akibat) secara mutlaknya berpunca daripada Allah. Causes (sebab-sebab) lain hanya  menjadi faktor pengantara kepada sebab utama iaitu Allah. Sebagai contoh, hari menjadi siang [event] kerana matahari terbit [cause]. Dengan konsep Ontologi Tunggal, muslim mempercayai bahawa sebab utama 'hari menjadi siang' secara mutlaknya adalah kerana kudrat Allah, manakala sebab 'matahari terbit' hanyalah menjadi pengantara semata-mata.

Ontologi Tunggal ini berbeza dengan konsep ontologi yang dipraktikkan oleh aliran-aliran falsafah lain, seperti falsafah Yunani yang mempercayai demigod dan Hinduisme yang mempercayai avatar. Demigod dan avatar adalah manusia yang memiliki unsur tuhan di dunia, yang disifatkan sebagai Tuhan Bumi dan mempunyai hak mutlak untuk memerintah di dunia. Begitu juga dengan agama Kristian yang meletakkan Jesus Christ sebagai anak Tuhan, memiliki kuasa menyerupai tuhan dan berhak mentadbir atas nama bayangan tuhan. Ontologi sebegini menyamatarafkan Tuhan dengan manusia ciptaanNya, bercanggah dengan prinsip Ontologi Tunggal yang diimani oleh Islam.

Percanggahan falsafah ini menatijahkan perbezaan besar pada worldview Islam dengan aliran dan agama lain. Sebagai contoh dalam sistem sosial manusia, hanya ada golongan tertentu dalam masyarakat yang mampu berkomunikasi dengan demigod, avatar dan Jesus Christ, bertentangan dengan Islam yang menggalakkan semua manusia berhubung terus dengan Allah tanpa melalui apa-apa pengantara. Ini menyebabkan terbentuknya sistem kasta yang mempertuhankan pendeta, golongan brahma dan paderi gereja, kerana hanya golongan atasan ini mampu berhubung dengan unsur Tuhan secara langsung, berbanding golongan bawahan yang lain.


Bersambung..


Rujukan;
1. Fi Zilal Al-Quran, Asy Syahid Sayyid Qutb
2. Alternative Paradigm, The Impact of Islamic and Western Weltanschauungs on Political Theory, Prof Dr Ahmet Davutoglu







Thursday, 7 August 2014

WACANA WAHYU DAN AKAL, SEBUAH PENILAIAN SEMULA

     Fikrah Mufāsolah (Pemisahan Total) yang diarusperdanakan oleh Asy Syahīd Sayyid Qutb adalah satu formula penting dalam membentuk acuan pemikiran yang bersih daripada mana-mana unsur hawa dan jāhiliyyah, dalam merangka masyrū3 (projek) Islam atas muka bumi.


     Elemen penting dalam fikrah ini, adalah pemisahan antara wahyu dan akal dalam berinteraksi dengan setiap inci kehidupan. Persoalan timbul, adakah wahyu menganaktirikan akal, dalam merangka sistem hidup?  Adakah Islam menghalang daripada mengoptimakan akal dalam berfikir? Sampai ada yang menganalogikan wahyu-akal (revelations-reasons) ini umpama air-minyak, tidak akan bertemu sama sekali. Paradoks!




MEMBONGKAR SEJARAH

     Kebangkitan golongan rasionalis yang mempertuhankan akal ini boleh diimbas dengan perkembangan sejarah tamadun manusia itu sendiri. Kita dapat melihat evolusi pemikiran manusia dengan berkembangnya tamadun, melalui suasana keagamaan yang melatari zaman-zaman tertentu. Bermula dengan animisme, paganisme dan Tauhid, zaman terus berkembang hinggalah berlakunya Renaissance. Zaman Renaissance yang menandakan kebangkitan ilmu dan pemikiran ini juga menoktahkan sebuah isu yang amat penting, iaitu tamatnya pengaruh agama (baca:Kristian Katolik) dalam kehidupan masyarakat Eropah. Ketika inilah wacana rasional dipopularkan, meninggalkan wacana wahyu yang ultra konservatif dan ketinggalan! Wahyu menjadi antitesis pada akal dan logik.

     Agama Islam juga tidak terlepas daripada mengalami pengalaman yang sama dengan perkembangan sosiopolitik di Eropah. Sejarah menjadi saksi akan kemunculan beberapa aliran ekstrem, seperti aliran ultra konservatif yang sentiasa membid'ahkan perkara baru dalam agama (Salafi Ekstrem), juga aliran rasional yang mengutamakan hujah akal melangkaui hujah wahyu (Muktazilah). Tidak dinafikan, kedua-dua aliran ini memainkan peranan penting pada bidang masing-masing untuk menjaga kesucian agama Islam. Salafi Ekstrem cuba mematahkan wacana yang terkeluar daripada literal wahyu, manakala Muktazilah cuba mempelopori arus reform (pembaharuan) dalam agama. Namun apabila tidak berlaku sintesis yang bersepadu dan seimbang antara wahyu dan akal, maka timbullah idea-idea keterlaluan seperti yang ada dalam aliran Salafi Ekstrem dan Muktazilah.

Jadi, bagaimakah idea sebenar wacana wahyu dan akal yang dianjurkan oleh Islam, berdasarkan sirah baginda Rasululllah SAW?

NOKTAH PENTING

1. Peranan akal dalam Islam amat berbeza, jika dibandingkan dengan agama dan aliran lain yang wujud. Islam tidak pernah menganaktirikan dan mematikan akal, bahkan menganjurkan supaya manusia berfikir dan mengkaji, dalam KERANGKA WAHYU. Allah berfirman, 

إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya;  ..Aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir? (Al-An3am: 50)

Begitu juga sepanjang peristiwa dalam sirah, Rasulullah tidak menafikan peranan akal seperti dalam peristiwa Khabbab Bin Munzir ketika Perang Badar dan Salman Al Farisi di mana Rasulullah memberi peluang untuk para sahabat memberikan buah fikiran masing-masing.

2. Akal berperanan sebagai dalīl dan penguat hujah yang terkandung di dalam syarak. Sebab itu dalam penghujahan hukum ada istilah dalīl naqlī (bersumberkan nas) dan dalīl aqlī (bersumberkan akal). Epistemologi Islam tidak hanya bersumberkan empirikal dan rasional, tetapi ditambah dengan wahyu sebagai sumber utama. Namun apabila berlaku pertembungan antara wahyu dan akal, maka wahyu akan diutamakan. Ini menepati kaedah dalam aliran Asyāirah الحسن ما يسحنه الشرع والقبح ما يقبحه الشرع. Selari dengan firman Allah, 

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا   شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya; Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al Baqarah : 216)

3. Islam meletakkan kerangka fikir yang sempurna pada akal manusia, dengan menjadikan wahyu sebagai landasan yang memandu gerabak akal. Akal tidak boleh sewenang-wenangnya menerawang tanpa petunjuk daripada wahyu. Neraca yang menjadi ukuran dalam Islam, adalah neraca wahyu, bukan neraca akal semata-mata yang kadangkala menyimpang daripada bimbingan wahyu.

Inilah WAHYU (Revelations/Revealed Knowledge) yang dimaksudkan. Tidak bermakna AKAL dinafikan secara total apabila wacana wahyu diarusperdanakan, kerana wahyu di dalam Islam adalah hasil cerapan antara teks wahyu dan konteks akal. Sintesis yang sempurna yang tidak pernah disaksikan oleh mana-mana peradaban manusia!