Fajar Ramadhan kini terbit lagi, alhamdulillah buat
kesekian kalinya. Ada yang merindui, ada yang menanti, dan tidak kurang juga
yang membenci. Walaupun pelbagai reaksi dan persepsi kita terhadap kedatangan
Ramadhan, bulan ini sudah terpahat sebagi sebuah bulan yang paling mulia di
sisi Allah SWT. Mulia Ramadhan pada
puasanya, pada perjuangannya, mungkin ramai yang sudah maklum dan tahu. Cuma
bezanya, dalam entri ini kemuliaan Ramadhan akan cuba diolah dari sisi pandang
yang agak berbeza.
RAMADHAN DAN AL-QURAN
Pernah terfikir, di mana kaitan kemuliaan Ramadhan dengan Al-Quran? Signifikan
kemuliaan Ramadhan dengan Al-Quran boleh dianalogikan begini.
Bayangkan di atas jalanan tempat lalu lintas
manusia, terdapat secarik kertas yang tertulis jenama sebuah pakaian bertaraf
antarabangsa. Manakala di sebelah kirinya pula terdapat secarik kertas lain yang
tertulis padanya beberapa potong ayat Al-Quran. Pastinya sebagai seorang Muslim
yang sensitif, kertas Al-Quran itu akan diambil lalu diletakkan di tempat yang
tinggi atau dibakar. Ini naluri iman yang sentiasa mengalir dalam hati seorang
muslim. Dia tidak sanggup untuk melihat kertas Al-Quran itu dipijak-pijak oleh
manusia. Berbeza dengan kertas jenama tadi, yang tidak menjadi perhatian
sesiapa lalu dibiarkan berada di jalanan walaupun kedua-duanya berasal daripada
bahan dan kertas yang sama.
Analogi seterusnya, antara sebuah
masjid dan sebuah kompleks beli-belah. Pengunjung yang ingin memasuki masjid
perlu menutup aurat dan menjaga adab-adab di masjid seperti yang termaktub di
dalam kitab Akhlak. Namun perkara sedemikian tidak pula berlaku pada pengunjung
kompleks beli-belah. Bahkan duduk bersahaja dan tidur di dalam masjid dengan
niat iktikaf pun ada ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah. Pernah
terlintas, mengapa situasi dalam dua bangunan ini berbeza, sedangkan material
untuk membina sebuah masjid dan kompleks beli-belah adalah sama sahaja?
Daripada kedua-dua analogi di atas,
ternyata faktor yang menjadikan secarik kertas dan sebuah bangunan itu mulia adalah
dengan Al-Quran. Kertas tersbut tertulis padanya kalimah-kalimah Al-Quran,
manakala masjid merupakan tempat berkumandangnya alunan dan tempat tersimpannya
Al-Quran. Dengan dinisbahkan pada Al-Quran, perkara yang biasa menjadi luar
biasa dan mulia di sisi semua!
Bagaimana pula keadaanya jika Al-Quran itu
dinisbahkan pada sebuah bangsa atau seorang individu? Pastinya ”bangsa
atau individu Al-Quran” tersebut merupakan semulia-mulia bangsa dan individu
yang wujud di dunia ini. Ini selaras dengan gelaran generasi Sahabat RA pada
zaman Rasulullah, yang digelar sebagai Jiil
Al-Quran Al-Farid (Generasi Al-Quran Yang Agung). Sebagaimana yang diketahui
juga, Rasulullah telah menyifatkan generasi baginda sebagai generasi terbaik
yang pernah wujud di muka bumi.
Kerana perkara yang sama Allah telah
memuliakan Ramadhan. Allah melengkapkan penurunan Al-Quran dari Sidratul Muntaha
ke Baitul Izzah di dunia pada bulan Ramadhan. Lupakah kita, ungkapan Al-Quran Al-Karim, sangat sinonim dengan
ucapan “Ramadhan Karim”?
Ramadhan Karim.
Allahu Akram.