MASJID SULTAN AHMED
Masjid Sultan Ahmet diselubungi kabus |
Kami menunaikan solat jamak qasar
Zohor Asar di Masjid Sultan Ahmed, atau lebih dikenali dengan nama Masjid Biru.
Sebenarnya, istilah Masjid Biru tidak pernah digunakan oleh rakyat setempat
Turki sepanjang sejarah.. Tetapi istilah ini hanya digunakan oleh masyarakat
Barat kerana mozek biru yang digunakan untuk membina dinding dalam Masjid
Sultan Ahmed ini. Tetapi seingat saya sepanjang 10 hari berada di Turki,
saya tidak pernah jumpa mozek biru ini. Mungkin pandangan mata saya yang kurang
tajam.
Binaan luar dan dalam masjid
iras-iras binaan Masjid Ali Pasha di Kaherah. Menurut Saudara Abdul Halim Bin Mohd. Khayat, Presiden Persatuan Mahasiswa
Malaysia Turki, arkitek Uthamniyyah yang sama yang telah membina kedua-dua
masjid ini. Bahkan, lampu chandelier dan warna karpet merah juga sama dengan
apa yang ada di Masjid Ali Pasha!
ISTANA TOPKAPI
Usai solat dan mengambil gambar di
Taman Sultan Ahmed yang amat menarik, kami meneruskan perjalanan ke Topkapi
Palace. Istana Topkapi telah dibina semasa zaman Sultan Muhammad Al-Fateh
selepas beliau menawan Kota Konstaninople. Rasa kagum dan takjub tidak
berhenti-henti mengalir dalam diri setiap kali menapak meneroka Istana Topkapi
yang seakan-akan sebuah kompleks pentadbiran yang besar ini. Terlalu banyak
binaan dalam kawasan istana sehingga tak sempat untuk mengetahui apa kegunaan setiap satu
binaan!
Tempat Sultan mendengar masalah rakyat |
Salah sebuah binaan di dalam istana |
Dari istana kelihatan Selat Bosphorus |
Apa yang lebih mengagumkan saya
adalah, bukan sahaja orang Islam yang kagum akan simbol ketamadunan yang dibina
oleh Sultan Muhammad Al Fateh ini, bahkan orang bukan Islam dari pelbagai
pelosok benua juga amat kagum dan takjub dengan peradaban Uthmaniyyah ini.
Cuma timbul satu persoalan penting dari
kedua-dua pembinaan Masjid Sultan Ahmed dan Istana Topkapi ini. Adakah
binaan-binaan yang sudah tentunya mahal dan menelan jutaan wang ini mengikut
sunnah baginda Rasulullah dan Khulafa’ Ar Rasyidin semasa mereka memerintah negara?
Bahkan teratak yang Rasulullah diami hanya mempunyai sehelai kain hamparan
seperti yang diriwayatkan, dan binaan Masjid Nabawi pula hanyalah berlantaikan
pasir, berbumbungkan pelepah tamar dan bertiangkan batang pohon kurma. Apakah
ijtihad yang telah diambil oleh khalifah sejak zaman Umayyah untuk membina
binaan yang tersergam indah sebagai simbolik kemegahan tamadun Islam?
Ada sebarang komen?
Insya Allah jika ada rezeki, saya akan kongsikan pendapat saya dan rakan yang lain tentang perkara ini dalam post akan datang.