Tuesday, 15 October 2013

Polemik Kalimah Allah, Antara Fakta dan Toleransi

     Laungan takbir diselangi sayup-sayup kesyukuran. Memanjatkan syukur atas kemenangan Khalilullah Nabi Ibrahim atas bisikan syaitan dan nafsunya untuk mengorbankan anakanda yang tercinta Ismail. Itu nun jauh di Semenanjung Arab beribu tahun ke belakang, namun kesyukuran ini juga dirafakkan atas kemenangan pihak peguam muslim dalam rayuan kes kalimah Allah.
Dato' Zainul Rijal Abu Bakar, antara frontline lawyers dalam Kes Rayuan Kalimah Allah

     Pelik bila memikirkan ada sesetengah Melayu Muslim yang tidak merasakan isu kalimah Allah sebagai satu ancaman yang mencabar kedudukan umat Islam di Malaysia ini.  Bahkan menggelarkan mereka yang memperjuangkan akan kedaulatan kalimah ini sebagai ekstremis agama yang kononnya berlagak sebagai hero. Kata mereka toleransi dalam beragama perlu wujud di Malaysia, dan kita tidak seharusnya memaksa mereka untuk tidak menggunakan kalimah Allah dalam teks-teks mereka.

     Jawapan mudah, pihak-pihak ini tidak memahami hujung pangkal kes yang dibincangkan. Pihak Gereja Kristian Katolik ingin menterjemahkan perkataan God kepada Allah dalam terbitan mereka yang berbahasa Melayu. Sedangkan jelas maksud yang difahami, bahawa Allah dalam Bahasa Melayu adalah Allah Yang Maha Esa, yang tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan. Sama sekali bercanggah dengan Tuhan yang diimani oleh penganut Kristian.

     Yang menjadi persoalan penting, kenapa kalimah Allah hanya diterjemahkan dalam terbitan Bahasa Melayu sahaja? Terbitan Bahasa Cina, India dan Inggeris tidak pula menggunakan kalimah yang sama. Adakah ada agenda yang tersembunyi di sebalik tuntutan pihak gereja ini?

     Tentang toleransi beragama pula, sebenarnya Malaysia adalah antara negara yang amat bertoleransi dengan masyarakat yang berbilang budaya dan agama. Mantan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy dalam isu pengharaman niqab pernah berkata bahawa niqab bukan sebahagian daripada budaya Perancis. Sesiapa yang merasakan tidak sesuai untuk mengadaptasi dirinya dengan budaya ini, maka dipersilakan untuk keluar dari bumi Perancis!

     Sudah jelas lagi bersuluh, norma-norma toleransi masih lagi diamalkan di Malysia. Kuil dan tokong dibina tanpa ada undang-undang yang menghalang. Perayaan agama dan bangsa lain dibenarkan tanpa ada sekatan yang ketara. Ini jelas mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 yang membenarkan agama lain dipraktikkan di bumi Malaysia. Hakikatnya, kita tidak memahami istilah toleransi yang dianjurkan oleh Islam. Toleransi versi Islam bukan toleransi terlampau, sehingga mencairkan identiti dan pegangan yang thabit daripada Al Quran dan As Sunnah.

     Sedarlah wahai Melayu Islam, mari celikkan mata dan pertahankan saki baki agama yang masih ada dalam struktur negara kita!
   

Amar Ismat,
Seksyen 16, Shah Alam
15 Okt 2013, 7.30 am