KENAPA IKHWAN MUSLIMIN MENYERTAI PILIHANRAYA PARLIMEN?
Muktamar ke 6 Ikhwan Muslimin yang berlangsung di Kaherah pada Zulhijjah 1361H bersamaan Januari 1941 telah menetapkan bahawa Ikhwan Muslimin akan menyertai Pilihanraya Parlimen di Mesir. Maktab Irsyad Ikhwan telah mengambil keputusan ini, dan telah mengemukakan beberapa ahli Ikhwan pada pilihanraya yang lalu. Keputusan ini dibuat setelah proses pilihanraya diputuskan, iaitu selepas Parlimen dibubarkan.
Ramai orang bertanya; Kenapa Ikhwan menyertai Pilihanraya? Sedangkan Ikhwan Muslimin seperti yang diketahui umum serta diwar-warkan oleh mereka sendiri, bahawa mereka adalah pertubuhan untuk perkhidmatan awam, dan sebuah pertubuhan dakwah yang ingin mengembalikan kefahaman Islam yang sebenar dan mengislah masyarakat berteraskan kaedah dan pengajaran Islam.
Sebagai sebuah pertubuhan untuk perkhidmatan awam, Ikhwan telah melaksanakan khidmat mereka pada masyarakat dengan terang dan jelas, antaranya perkhidmatan dalam bidang pendidikan, kebajikan, sukan dan interaksi sesama manusia. Mereka mendirikan kemudahan-kemudahan seperti masjid, sekolah, klinik dan pusat-pusat penjagaan pada kadar kemampuan mereka.
Sebagai pertubuhan dakwah yang mengislah masyarakat pula, fikrah Ikhwan telah memandu masyarakat Mesir secara khusus dan masyarakat Islam keseluruhannya kepada kaedah dan pengajaran Islam yang dipraktikkan dalam setiap inci kehidupan manusia. Secara jelasnya tanpa memerlukan kepada penerangan, bahawa Islam bukan sekadar aqidah dan ibadah semata-mata, bahkan meliputi aqidah, ibadah dan amal yang mewarnai kehidupan masyarakat pada setiap lapangan secara rasmi dan nasional.
Mereka itulah Ikhwan Muslimin, pertubuhan dan dakwah. Dakwah menjadi teras fikrah dan tujuan perjuangan mereka. Dakwah itulah juga matlamat tertinggi untuk dipertaruhkan dengan diri mereka sendiri sepanjang kehidupan mereka. Paksi utama agar dakwah berjaya adalah dengan penerangan yang jelas dan berterusan, yang mampu mengetuk pendengaran manusia dan sampai ke hati dan pemikiran mereka. Ini adalah satu peringkat pencapaian yang telah dicapai oleh Ikhwan, pada pandangan mereka, terhadap masyarakat sekeliling dengan kadar kejayaan yang dapat dilihat dan dirasai.
Sudah tiba masanya bagi Ikhwan, untuk menyampaikan dakwah mereka yang mulia ini dalam persekitaran yang rasmi. Cara yang paling hampir untuk mencapai tujuan ini adalah melalui pentas parlimen. Ikhwan mesti memastikan pemidato dan du’at mereka berada di pentas ini, untuk meninggikan kalimah-kalimah dakwah mereka. Mereka juga hendaklah memastikan suara delegasi umat yang berada di pentas rasmi ini tersebar dan sampai ke seluruh masyarakat. Kerana sebab inilah Maktab Irsyad telah mengambil keputusan untuk bertanding di dalam pilihanraya parlimen.
Maka, pendirian untuk bertanding ini adalah pendirian yang biasa dan tiada yang kotor tentangnya. Pentas parlimen tidak didirikan atas seruan parti-parti politik yang berbeza, bahkan ianya adalah sebuah pentas umat. Pentas yang didengari daripadanya setiap fikrah yang baik, dan terbit daripadanya bimbingan yang sejahtera dan bermanfaat serta mengambil kira keprihatinan masyarakat.
Ikhwan akan memperoleh faedah yang mulia sepanjang perjalanan ini. Mereka berpeluang untuk menyebarkan dakwah pada persekitaran di mana berleluasanya pertembungan ideologi serta perbezaan pendapat. Tidak sepatutnya dakwah yang benar dan mulia ini mendiamkan dirinya, di saat berkumandangnya semua ideologi lain yang bercampur-baur, kerana kebatilan tidak akan tertegak melainkan dengan bisunya kebenaran. Mereka juga akan dapat memahamkan manusia bahawa dakwah Ikhwan bukan sekadar peringatan dan pidato semata-mata, bahkan dakwah perlu meniti jalan di atas pentas dan himpunan rasmi. Maka setiap yang mengimani dakwah ini perlu menggerakkan diri mereka dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan segala tribulasi yang terdapat di medan ini.
Antara manfaat lain bagi Ikhwan adalah mereka mampu membimbing manusia terhadap penampilan yang mulia dalam perlumbaan yang terdapat di medan ini. Kempen Ikhwan akan berdiri atas prinsip dan objektif, dan masyarakat akan melihat di hadapan mereka warna baru yang unik untuk kempen pilihanraya. Kempen yang bersih lagi suci yang bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum itu mencemuh kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka yang (dicemuh) itu lebih baik daripada mereka (yang mencemuh), dan jangan pula perempuan (mencemuh) perempuan lain, kerana boleh jadi perempuan (yang dicemuh) itu lebih baik daripada perempuan yang mencemuh. Janganlah kamu mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan fasik setelah beriman. Dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Jika ditakdirkan kemenangan bagi Ikhwan-dan itulah yang diharapkan, maka inilah sifat yang rasmi untuk dakwah mereka. Ini juga merupakan catatan untuk kejayaan mereka dalam menyampaikan dakwah kepada pengetahuan dan pendengaran masyarakat. Dengan kejayaan ini juga, masyarakat akan melihat isyarat cita-cita yang agung serta kebangkitan dan kehidupan yang baru. Tiadalah Allah berkehendak melainkan untuk menyempurnakan cahaya (agama)-Nya.
Ikhwan akan berhadapan dengan pertembungan ini berpaksikan bantuan Allah yang akan menguatkan mereka serta fikrah yang telah sebati di dalam diri dan jiwa mereka. Kelengkapan dan bantuan yang akan menolong mereka adalah iman. Keutamaan mereka adalah untuk memandu umat dan membimbing manusia untuk menemui jalannya kepada Allah.
Sebahagian manusia berkata dan bertanya: Bukankah dengan penyertaan Ikhwan ini akan menyebabkan mereka keluar daripada skop keagamaan kepada skop politik? Lalu mereka menjadi sebuah entiti politik sedangkan sebelum ini mereka adalah sebuah entiti agama?
Maka kami menjawab: Sesungguhnya Islam tidak mengenal pemisahan-pemisahan yang terdapat dalam hidup umat yang satu ini. Gerakan Islam dituntut untuk mengiklankan pandangan Islam pada setiap penjuru kehidupan, dan jalan parlimen adalah jalan yang paling hampir dan mulia untuk tujuan ini. Jalan parlimen ini tidak terkeluar daripada sifat dan bentuk entiti Islam itu sendiri.
Pihak ketiga pula telah berkata: Bukankah pilihanraya ini akan menyebabkan Ikhwan menjadi pesaing dan musuh kepada orang lain? Sedangkan dakwah itu memerlukan kepada penyelarasan dan saling meneguhkan antara satu sama lain.
Ini adalah perkataan yang baik dan kemas, bahkan kami bersemangat agar dakwah ini berjaya dengan sepenuh hati kami. Maka, pertembungan pilihanraya Ikhwan ini akan menjadi menjadi pertembungan yang ideal dan mithali, jauh daripada unsur mencemuh peribadi dan provokasi kedengkian dan kebencian. Jika masyarakat memahami makna ini, maka kita akan menyertai pilihanraya sebagai teman, dan keluar daripadanya sebagai teman juga. Adapun jika masyarakat tidak memahami erti ini, maka merekalah yang patut dipersalahkan.
Dakwah dan ashabud dakwah tidak perlu berasa takut untuk menyelusuri jalan menuju kejayaan yang diselubungi dengan ketakutan dan kegerunan manusia, kerana Allah itu yang sepatutnya digeruni dan ditakuti oleh ashabud dakwah. Kemuliaan itu juga terdapat pada dakwah dan ashabud dakwah yang bersaing dalam perkara kebaikan, dan berperang dengan senjata yang paling suci dan wasilah yang paling mulia.
Para pengkritik juga telah mengemukakan satu soalan yang bernas: Apa yang kamu akan lakukan dengan sumpah perlembagaan kamu jika kamu memenangi pilihanraya nanti? Kerana di dalamnya terdapat teks untuk meluhurkan perlembagaan, sedangkan kamu Ikhwan sekalian melaungkan dengan sepenuh jiwa kamu bahawa “Al-Quran adalah perlembagaan kami?”
Jawapan untuk soalan ini adalah amat nyata dan jelas: Perlembagaan Mesir dan tujuannya secara umum adalah berunsurkan perbincangan dan syura, mengukuhkan kekuasaan umat dan memelihara kemerdekaan dan kebebasan. Ini tidak bertentangan dengan Quran dan selari dengan kaedah dan pengajarannya. Jika terdapat subjek-subjek yang perlu kepada perubahan, maka perlembagaan itu sendiri memperuntukkan bahawa perubahan itu tertakluk pada parlimen dengan peruntukan undang-undang yang sudah digubal. Maka, parlimen sebenarnya adalah wasilah untuk mencapai seruan Ikhwan itu sendiri.
Maka kesimpulannya, Maktab Irsyad telah memutuskan untuk keputusan menyertai pilihanraya ini, setelah mengkaji setiap isi dan tajuk yang berkaitan dengannya. Maktab Irsyad akan memantau urusan Ikhwan secara dekat, melakar jalan yang akan dilalui Ikhwan untuk penyertaan mereka di dalam pilihanraya dan memimpin mereka dalam setiap keadaan dan situasi dengan kebijaksanan dan pemerhatian persekitaran secara umum dan khusus. Semoga dakwah memperolehi faedah dan pulangan yang besar dengan harga pengorbanan yang sedikit.
Segala urusan adalah di sisi Allah. Cukuplah Dia menjadi penolong bagi kami, dan Dia adalah sebaik-baik pelindung.
Penterjemah: Amar Ismat Mohd. Nasir
Sumber: Risalah Al-Ikhwan Lil Intikhabat, Imam Asy Syahid Hasan Al-Banna, 2010, Dar An Nasyr wa Tauzi’
2 comments
salam,erk, mungkin ana ada persoalan.
mungkin ana tak cukup baca habis tentang isu politik malaysia @ mesir @ mana2 pun.
ini bukan apa2. hanya persoalan, yg bermain difikiran.
soalannya adalah:
1. ana pernah dengar, sebelum ini, isu mengapa ikhwan tidak masuk kedalam politik. sbb kita tengokkan, ikhwan telah ditubukan pd 1924. and yet, selepas hampir 90 tahun, baru ikhwan menceburkan diri dalam politik. secara rasmi. persoalannya adalah, mengapa baru sekarang? maksudnya, adakah terdapat waktu2 @ faktor2 tertentu yg ikhwan rasa, "owh, dh smpai masanya untuk kita join politik.."
2. sebenarnya ana sangat setuju apabila ikhwan dh masuk politik. tetapi, nk tanya, adakah ikhwan menolak secara total untuk bekerja dgn yg bukan islam? contoh, kalau politik malaysia sekarang, mca,dap,pkr,bn ditolak mentah2 kerana mereka tidak menyokong islam. macamana ye?
beberapa soalan. serius, bukan niat provokasi atau apa2.. hanya tertanya2..jazakallah..
Wasalam.
1. Ikhwan ditubuhkan pada 1928, bukan 1924. Dan sebenarnya bila baca risalah ni, Ikhwan dah masuk pentas politik sejak dari 1942 lagi, bukan baru masuk pada 2010. Tahun 2012 Ikhwan masuk dengan menubuhkan parti, tapi sebelum2 tu Ikhwan bertanding atas tiket parti lain dan bebas.
2. Ikhwan dan Islam memang tak tolak bertahaluf dengan orang kafir secara mutlak. Namun apa beberapa syarat ketat yang digariskan oleh ulamak dalam hal ini. Rujuk http://www.youtube.com/watch?v=rRb2xtcKudI untuk maklumat lanjut
Syukran kerana komen.
EmoticonEmoticon