Thursday, 14 February 2013

Celik Tapi Buta

     Pernah terdengar pepatah Arab, "Al-Jadiid kal A'maa (Orang baru itu ibarat orang buta)"? Ini antara pepatah yang selalu diungkapkan untuk mereka yang baru beralih ke alam persekolahan atau alam mahasiswa, sebagai peringatan untuk sentiasa berhati-hai dan memilih pembimbing yang betul untuk menyuluh jalan untuk melangkah.

     Pernah pula terdengar satu qaul yang dipetik dari Kitab Tafsir Al-Mukhtasar, "Al-Ibrah laisa liman sabaq, walakin liman sodaq (Kebenaran itu bukan bersama orang yang lama, tetapi bersama orang yang membenarkan)"? Perkara yang benar itu kadang-kadang bukan bersama orang yang veteran, tetapi boleh jadi kebenaran itu bersama orang baru, asalkan mereka menyuarakan kebenaran yang hakiki.

     Perkara orang baru, orang lama atau istilah tepatnya junior senior ini nampak biasa dan common di kalangan mahasiswa dan pe;ajar sekolah. Namun sebenarnya, kita kadang-kadang tidak menyedari, bahawa minda separa sedar kita menyebabkan kita melazimi suatu sifat yang tidak sihat untuk diri kita selaku mahasiswa.


    Secara tidak sedar, kita dibayangi sifat negatif iaitu sifat mesti berada di bawah telunjuk orang yang lebih dewasa. Mesti mengikut telunjuk dan bimbingan mereka pada setiap masa. Ini menatijahkan, sifat mahasiswa yang lesu dan tidak proaktif. Setiap masa memerlukan 'pembimbing' untuk melangkah dan menelusuri jalan. Akibatnya, mahasiswa tidak mampu berfikir secara kritikal, dan banyak keputusan dicapai dengan mengikut apa-apa yang diperkatakan oleh orang lama.

     Isu ini boleh dilihat dalam skop yang lebih besar. Dalam masyarakat Melayu, berapa ramai daripada kita yang mengikut bulat-bulat apa yang dihujahkan oleh golongan umara' (pemimpin) dan ulama' (orang alim). Pendapat diambil tanpa usaha untuk mendalami realiti dan perkiraan yang ada. Budaya negatif yang teramat subur di kalangan masyarakat Melayu ini sudah membarah dan menyebabkan masyarakat tidak mampu menilai kebenaran yang hakiki, kerana yang penting, "orang lama' sudah mengeluarkan hujah, dan seharusnya hujah itu perlu diikuti. "Mereka sudah lama dalam bidang pemerintahan dan agama ini, kau baru setahun jagung, apa kau tahu?"

       Sewajibnya kita meneliti Sirah Rasulullah dan para Sahabat untuk isu ini. Bagaimana Rasulullah dan Sahabat menguruskan perkara sebegini. Rasulullah dalam Perang Badar, menerima pendapat Khabbab Bin Al-Munzir untuk membina penempatan Muslimin di lokasi yang lebih strategik. Begitu juga Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang memberi pesanan kepada Muslimin sewaktu beliau dilantik menjadi khalifah. Beliau berpesan, agar semua ummat Islam mentaati beliau selagimana mereka mengikut kebenaran, dan jika beliau terpesong daripada kebenaran, maka semua umat Islam tidak wajib untuk mentaati perintahnya.

     Tidakkah ini amat bertepatan dengan qaul yang dikeluarkan di awal entri ini?

    Ya, kita perlu ada adab dan akhlak untuk menegur dan menyuarakan pendapat. Walaupau kita ada hak bersuara yang terjamin, namun itu tidak membolehkan kita lari daripada batas-batas akhlak seorang muslim. Lantaran kerana, akhlak itulah yang membezakan kita dengan orang lain.

     "Syeikh Ibnu Taimiyyah adalah mulia bagi kami, namun keBENARan itu lebih kami cintai..."-Ibnu Qayyim Al-Jauzi-
     

Amar Ismat,
10th District, Nasr City, Cairo
13 Feb 2013 09.29 PM

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon