Monday, 29 October 2012

KORBAN DAN CINTA, BERPISAH TIADA!

Banyak perkaitan yang boleh dibuat sempena dengan hari Allah Eid Adha ini. Perkaitan ataupun ta'liq perlu dilakukan, supaya maqasid disyariatkan sesuatu ibadah dapat kita hayati dan dipraktiskan dengan penuh khusyuk.

Saban tahun, seruan korban akan berkumandang di seantero dunia muslim. Ada yang berkorban harta untuk membeli bahagian-bahagian korban, ada pula yang berkorban tenaga untuk menyembelih dan melapah haiwan-haiwan korban. Tidak kurang juga yang mencapai klimaks pengorbanan harta dan tenaga, iaitu dengan menziarahi tanah yang paling mulia di muka bumi, Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah.

Falsafah korban sebenarnya amat mudah untuk ditafsirkan. Tidak perlu pada method kajian yang pelbagai. Korban adalah titik penghujung untuk sebuah CINTA. Cinta akan menuntut seorang pencinta untuk berkorban terhadap perkara atau orang yang dicintainya. Jika dilakarkan sebuah graf, cinta menjadi paksi X dan pengorbanan menjadi paksi Y, maka kita akan melihat graf tersebut adalah berkadar terus. Teorinya, semakin mendalam cinta terhadap sesuatu perkara, semakin besar pengorbanan yang akan dilakukan demi perkara tersebut.

Korban Eid Adha tahun ini di Kaherah, bersama Ikatan Muslimin Malaysia ISMA Mesir

Gelaran Khaliullah, Kekasih Allah untuk Nabi Ibrahim AS bukanlah diperoleh dengan tawa dan kegembiraan. Noktah hidup Nabi Ibrahim, antara Nabi yang memegang watak Ulul Azmi dalam kalangan Anbiya' ini, ternyata membuktikan beliau mengorbankan pelbagai perkara dan kepentingan peribadi, semata-mata untuk meraih cinta kekasih agungNya Allah S.W.T.

Nabi Ibrahim menerima cabaran seawal usiaNya seorang remaja. Dimarahi ayah dan kaumNya kerana menghancurkan berhala yang menjadi sembahan mereka. Meningkat dewasa, baginda dijatuhkan hukuman bakar oleh Raja Namrud. Setelah beristeri, baginda diuji dengan tiadanya zuriat untuk satu tempoh masa yang panjang. Akhirnya kemuncak ujian baginda adalah dengan perintah Allah agar beliau menyembelih anakandanya sendiri iaitu Nabi Ismail AS walapum baginda hanya beberapa kali sahaja sepanjang hidupnya dapat berjumpa dengan anakandanya itu.


'Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya.' An-Nisa': 125

Namun, cinta yang tersemat kukuh di hatinya merelakan baginda untuk mengorbankan segalanya.

Agungnya pengorbanan Ibrahim. Sungguh yang bertakhta di hati baginda hanyalah Allah. Walaupun cintanya diuji beberapa kali dan dari pelbagai penjuru, namun cinta baginda tulus suci buat kekasihnya Allah dan bebas dari cinta fana yang lain.

Cinta akan selamanya disulami dengan pengorbanan. Korban topup, wang ringgit, masa, nyawa dan sebagainya. Cinta tanpa pengorbanan, adalah cinta retorik semata. Hanya manis meniti di bibir sahaja.

Persoalannya, siapakah yang bertakhta di hati kita, dan sebesar manakah pengorbanan kita untuk meraih cinta itu..?

'Ya Allah, letakkan Dunia itu di tanganku, dan Akhirat itu di hatiku, supaya Dunia itu senang diberi dan Akhirat itu senang dibawa mati...'


Amar Ismat,
10th District, Nasr City, Cairo.
28 Okt 2012 11.15 PM

Ramuan Segala Bagai

"Harini aku nak keluar riadhah. Tapi aku tak tahu nak main apa ni. Korang ada cadangan tak?" Tanya Fateh pada housematenya yang lain.

"Main street soccer jelah mcm biasa kat depan Imarah Selangor tu, kan ramai main kat situ." Cadang Khaled.

"Carilah kelainan sikit. Asyik nak ikut orang je. Apa kata main takraw kat sebelah Imarah Pahang, bolehlah rapatkan sket ukhuwwah dengan student negeri lain," Abg Farhan, senior Fateh dan Khaled pula bersuara.

"Mudah kau joging je Fateh, boleh kau explore tempat menarik sket sekitar Hayyu Ashir ni. Nanti boleh kau teman aku jalan-jalan nanti.." Bisik Faiz pula.

Pening jadinya Fateh. Bertalu-talu cadangan housemate menerjah telinganya. Akibat terlalu pening untuk membuat keputusan, akhirnya Fateh hanya termenung sahaja, memerhatikan mereka yang bermain street soccer, sepak takraw dan joging dari dur 4 di Imarah Selangor, bangunan yang paling gah tersergam di Kompleks Pelajar Malaysia di Hayyu Ashir, Madinat Nasr, Kaherah. Kaku dek kerana terlalu banyak berfikir akan cadangan yang diutarakan, menyebabkan dia terlupa tujuan asalnya hanya untuk beriadhah semata.



Awas!!!

Anda pasti menerima banyak kalam-kalam nasihat dan bimbingan sebelum permusafiran anda untuk mendalami ilmu. Abang-abang yang prihatin juga beraksi sedemikian rupa. Ada yang mencadangkan anda agar ikut sahaja seperti apa yang siswa lain lakukan. Ada yang menyuruh anda mencari kelainan. Tidak kurang juga yang 'menyasarkan' anda dari landasan anda yang sebenar.

Paksinya, anda adalah diri anda. Orang lain hanya mampu memotong rumput dan memberikan panduan, tapi anda sendirilah yang akan memulakan langkah bersejarah itu. Jangan kerana terlalu banyak berfikir cadangan orang lain, sehingga anda tersungkur sebelum mula melangkah.

Saya tidak hanya mahu 'melihat' sejarah itu dilakar. Saya mahu menjadi watak yang membangunkan sejarah itu. Saya ingin mencipta dan memahat sejarah yang agung dalam hidup saya.

Inilah saya, anda pula bagaimana?

Wednesday, 3 October 2012

Musafir Seribu Batu

Akhirnya aku menjejakkan kaki jua ke bumi bersejarah ini. Orang Arab menggelarnya Ardhul Kinanah, Ardhul Anbiya', dan Ardhu Firaun dan Musa.

Aku menyimpan hasrat untuk berkelana di bumi ini, sejak sekian lama. Sejak aku berumur 16 tahun. Sejak itu, aku mengiringi teman-teman seperjuangan setiap tahun sehingga pada tarikh keramat 25 Sept 2012, giliran orang lain pula yang mengiringi permusafiranku. Sebak, girang, duka, teruja semua bercampur-baur dalam perasaanku. Airmata yg menitis, sama ada airmata suka atau duka pun aku keliru.

Ucapan keramat pertama sebaik sahaja aku melangkah kaki atas debu pasir Kaherah, adalah 'Ahlan Wasahlan ila Ardhil Kinanah'..!!!
Ucapan yang amat menyentuh kalbuku. Perjuangan musafir menjadi alim, tarbawi dan haraki telah bermula.

Doakan agar aku mampu menggapai impianku, dan impian semua sekalian.


Amar Ismat,
10th District, Nasr City,
Cairo, Egypt.
3 Okt 2012.