Wednesday, 26 October 2011

Unsur Yang Luar Biasa..?


Luar biasa. Abnormal.  Paranormal. Inilah yang akan diperkatakan bila kita menemui objek atau peristiwa yang terkeluar daripda lumrah kebiasaan bagi sesuatu perkara.  Kebanyakan unsur luar biasa ini dikaitkan dengan perkara-perkara ghaib (sam’iyyat), namun tidak kurang juga yang dinisbahkan kepada insan itu sendiri.
Entri kali ini, penulis ingin melayarkan semua yang membaca tentang unsur luar biasa daripada sudut pandang yang agak berbeza. Bukan norma yang asing dan tidak diketahui oleh kita, namun mungkin kita hanya menganggap peristiwa-peritistiwa tersebut  hanyalah sebuah mitos lagenda yang agak jauh perkaitannya dengan kita muslim pasca abad ke 20 ini.
Analisa beberapa peristiwa-
1.       Ketika menjelang Perang Tabuk, Rasulullah s.a.w memanggil seluruh para sahabatNya dan meminta semua para sahabat yang diredhai oleh Allah kesemuanya untuk menginfaqkan harta di jalan Allah sebagai persiapan untuk menghadapi peperangan melawan bala tentera Kaisar Rom. Lalu Abu Bakar r.a tanpa ragu-ragu menginfaqkan kesemua hartanya ke jalan Allah dan apabila ditanya oleh Rasulullah s.a.w tentang apa lebihan harta yang ditinggalkan untuk anak isterinya, dengan tawakal yang sepenuh hati, Abu Bakar menjawab- “Aku meninggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.”
Pengorbanan yang tidak terhingga oleh Saidina Abu Bakar dalam perang Tabuk membuatkan Saidina Umar kagum akan baginda. Benarlah hadith Rasulullah, "Jika ditimbang iman Abu Bakar Al-Siddiq dengan iman sekelian ummat maka berat lagi iman Abu Bakar.."

2.       Seorang Ummu Syahid di bumi perjuangan Gaza yang telah kehilangan anaknya yang  gugur syahid semasa mempertahankan Masjidil Aqsa telah berkata kepada media yang menemuramahnya, “Jika aku ada sepuluh orang anak lelaki, nescaya akan ku hantar kesemua mereka untuk berjihad dan mendapatkan syahid di jalan Allah..!  Ketahuilah bahawa tiada seorang pun ibu di dunia ini yang menyayangi dirinya sendiri lebih daripada dia menyayangi anak-anaknya. Tetapi di sini, kami cintakan Al Aqsa lebih daripada kami mencintai anak-anak kami sendiri..!’
Ummahat Palestin. Ibu-ibu luar biasa.


 Subhanallah. Sungguh ‘luar biasa’ dan dahsyat kalam dan fi’il mereka untuk agama dan pegangan mereka. Jika kita, korban duit minyak dan kredit sedikit untuk dakwah pun sudah berkeluh-kesah. Diminta untuk meluangkan sedikit masa dan wang ringgit untuk solat berjemaah, menghadiri program dan infaq, berat rasanya tangan untuk membelek dompet dan menghulurkan sadaqah.
Unsur ‘luar biasa’ inilah yang menjadikan Abu Bakar dan Ummu Syahid bukan sekadar manusia biasa. Unsur ‘luar biasa’ inilah yang menjadikan seseorang manusia itu berfikir, membuat pertimbangan dan melakukan perkara yang melangkaui batas manusia biasa. Unsur ‘luar biasa’ inilah yang dinamakan ‘IMAN’ yang terpasak kukuh dan benar di dalam hati, diperkatakan melalui lisan dan dipraktikkan melaui anggota.
JIika Abu Bakar dan Ummu Syahid menjadi manusia ‘luar biasa’ kerana iman yang tersemat kukuh di dalam dada, bagaimana pula dengan manusia ‘luar biasa’ yang sanggup untuk membuang anak mereka ke dalam lubang tandas? Yang sanggup mencabul anak dan anak saudara mereka sendiri?  Yang sanggup membunuh anak sendiri dengan kejam? Tidakkah mereka ini juga ‘luar biasa’? Kerana tiada seorang ibu dan bapa pun yang tidak menyayangi anak mereka seperti yang dikatakan di atas.
Ya. Mereka ini ‘luar biasa’ kerana tercabutnya IMAN daripada hati dan jiwa mereka. Dengan tercabutnya iman ini, maka mereka yang ‘luar biasa’ ini tergamak melakukan perkara yang binatang pun tidak sanggup untuk melakukan perkara yang sama kepada anak mereka  sendiri.
“…Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar, dan mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat,  dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Al A’raf:179)

Kesimpulannya, iman merupakan satu unsur yang luar biasa. Baik kepada mereka yang memilkinya ataupun tidak. Peluangnya kembali kepada diri kita sekalian, untuk mengejar ke'luarbiasa'an yang hakiki menurut sudut pandang agama.
"Bermulanya Islam itu dalam keadaan dagang. Dan ia akan kembali dagang. Maka beruntunglah orang-orang yang dagang.." Riwayat Imam Muslim.



Amar Ismat
Restoran DiNaina
26 Okt 2011 9.49 a.m



Artikel Terkait


EmoticonEmoticon